"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tetak tiga lelaki di depan restoran, 6 termasuk tiga beradik didakwa

Sinar Harian

Kesemua tertuduh dibawa polis ke Mahkamah Seremban untuk pertuduhan. -Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Enam lelaki termasuk tiga beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap tiga lelaki di hadapan sebuah restoran di Lukut, Port Dickson, bulan lalu.

Tertuduh, K A Yogentheran, 31, (pekebun); K A Kugentheran, 26, (bekerja buruh); K A Sinielkumar, 24, (kelindan lori); S Sathia Moorthy, 29, (kerja sambilan); K Muniswaran, 21, (kelindan lori) dan A Shelan, 27, (juruteknik) bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap tiga lelaki berusia 36, 31 dan 43 tahun dengan menetaknya menggunakan senjata parang yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Kesalahan berkenaan dilakukan pada 27 Disember 2025 jam lebih kurang jam 8.05 malam di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Lukut, Taman Aman, Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan.

Peguam, Paul Krishnaraja dan S Kartikeyan memohon jaminan minimum bagi kesemua tertuduh kerana mereka dari keluarga miskin.

Beliau mencadangkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh untuk semua pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 setiap tertuduh bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kesemua tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu mangsa dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 11 Mac depan. -Sinar Harian

Tiada ulasan: