"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

FOMCA: Coklat Cadbury ada DNA babi, kenapa KKM tunggu 3 bulan baru nak umum?


SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) patut memaklumkan segera berhubung pengesanan DNA babi dalam produk Cadbury kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bukan menunggu hampir tiga bulan.


Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata sepatutnya KKM bertindak pantas memaklumkan segera kerana pemeriksaan makmal yang dilakukan itu ialah pada 27 Februari.

Katanya, tindakan KKM yang lambat memaklumkan perkara itu melanggar isu sensiviti umat Islam yang membabitkan soal halal dan haram.

“Kita perlu diperjelaskan mengapa KKM mengambil masa yang lama untuk dihebohkan? Pengguna hanya tahu selepas dihebohkan di internet dan media massa, mengapa isu ini disenyapkan?,” soalnya ketika dihubungi Selangor Kini.

Yusof berkata kredibiliti pihak Jakim turut tercalar dalam isu terbabit seterusnya mendedahkan kelemahan-kelemahan pihak berkenaan yang terbabit.

“Kita sebelum ini yakin dengan logo halal. Jika sebelum ini, kita cuma rasa selamat dan yakin apabila sesuatu produk mempunyai logo halal. Suka atau terpaksa kita terpaksa percaya.

“Namun, disebabkan perkara ini, kita tentu meraguinya. Di Malaysia, banyak produk coklat yang diimport negara luar, sudah tentu kita perlu berhati-hati,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak Jakim perlu melakukan siasatan dan analisa menyeluruh dalam isu itu supaya dapat mengenal pasti punca sebenar.

“Apabila timbul isu ini, ia perlu siasatan menyeluruh terhadap seluruh produk syarikat itu.

“Bagaimana produk yang ada DNA babi boleh terlepas ke pasaran?, dan ia berpunca daripada proses di kilang atau bahan dalam ramuan yang dibekalkan kepada syarikat Cadbury?,” katanya.

Beliau berkata pihak berwajib perlu membuat pemantauan rapi seperti KPDNKK yang boleh mengambil tindakan terhadap produk itu kerana Jakim hanya boleh menarik sijil halal sahaja.

Selain itu, Yusof menasihati pengguna supaya menghentikan pembelian produk coklat Cadbury walaupun hanya terdapat dua produk sahaja.

Katanya, ia kerana status halal kesemua produk syarikat terbabit diragui dan bimbang kerana syarikat terbabit mengeluarkan banyak produk coklat.

“Jakim juga perlu melihat balik kesemua produk syarikat itu kerana ia diragui tidak halal,” katanya.

Sebelum ini,Kementerian Kesihatan mendedahkan dua sampel produk coklat berjenama Cadbury iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond mengandungi DNA babi (porcine).

Ekoran itu, Jakim menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury yang dikesan mengandungi bahan terbabit.

Tiada ulasan: