"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan Terengganu tidak stabil?

WAN NORDIN WAN YAACOB
EPISOD gempar politik di Terengganu hanya berlangsung selama dua ke tiga hari sahaja. 
Sebaik bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said bertindak keluar Umno, beliau sendiri menjilat ludahnya dengan kembali semula kepada parti asalnya yang disertai sejak usia 17 tahun.



Bagaikan filem Hindustan, babak mendebarkan akhirnya berkesudahan dengan tarian dan nyanyian, pukulan hebat penjahat terhadap hero tidak menjejaskan hero untuk beraksi semula seperti tiada kesan sakit akibat dipukul

Ahmad Said bermula dengan garang, sebaik mengumumkan keluar parti, beliau menempelak kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang tidak langsung bertimbang rasa untuk melanjutkan tempih beliau memegang jawatan sehingga majlis pernikahan anaknya selesai

Ketika tragisnya episod ‘amukan Ahmad Said’ ini, PAS meletakkan partinya dalam keadaan bersedia jika sebarang perubahan yang membolehkan pemerintahan bertukar tangan, atau dipulangkan mandat kepada rakyat untuk memilih semula siapa pemerintah yang layak menerajui negeri tersebut.

PAS tidak gopoh untuk meniru BN dalam aksi rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009 membabitkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat yang diborong oleh BN ketika itu untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

PAS telah menunjukkan contoh dan teladan yang cukup terpuji dalam menangani krisis politik di Terengganu dengan mengambil sikap tidak akan menjatuhkan kerajaan Terengganu dengan memujuk tiga wakil rakyat BN yang keluar parti untuk bersama mereka, seperti dilakukan BN di Perak pada tahun 2009.

Azam itu dinyatakan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahari Mamat pada sidang media di Kuala Terengganu, pada petang 13 Mei, dan diikuti dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Dato’ Mahfuz Omar yang menegaskan perlunya pembubaran Dun andai kemelut tidak selesai.

Pastinya keadaan di Terengganu dan sikap pemimpin PAS ini amat berbeza dengan tindakan setengah golongan dalam kemelut politik di negeri Perak pada 2009 dulu.

Saiful menyatakan, “Hasrat sultan beri kepercayaan kepada Razif itu, biar diberikan peluang kepada beliau untuk membina majoriti dia tetapi kalau dia gagal kita akan maklumkan kembali tindakan sewajarnya,” katanya.

Langkah PAS mengesyorkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ‘berpijak di bumi yang nyata’ walaupun risikonya amat besar seperti kata Pengerusi Ilham Center, Hishomuddin Abu Bakar bahawa PAS boleh sahaja mengalami penyusutan jumlah kerusi andai Pilihan Raya Kecil Negeri diadakan (sebelum tiga Adun BN kembali semula kepada Umno).

“Andai PRN berlaku, PAS harus bersedia dengan senario terburuk kerana Umno akan all out. Kita harus melihat bagaimana Umno menurunkan lebih 30 juta untuk pilihan raya kecil Kuala Besut, mengapa mereka pertahankan sangat kerusi itu, dan mereka akan sanggup untuk bekerja keras untuk mempertahankan Terengganu,” kata Hishomuddin

Najib akan membaiki imejnya yang telah musnah akibat keputusan terburu-burunya dalam menggantikan Ahmad Said dengan Ahmad Razif, sehubungan itu jika ada PRN, maka Najib akan turun dengan kedudukan mempertahankan pemerintahan.

“Najib akan all out jika berlaku PRN. Tetapi sekarang ini semuanya seperti sudah selesai,” katanya lagi.

Namun, sekalipun jika berlaku Ahmad Said dan rakan-rakannya keluar Umno dan tidak kembali semula ke dalam parti nasionalis itu, kedudukan kerajaan yang menggantikan kerajaan BN yang terbentuk ketika itu pastinya rapuh.

Disebabkan itu kata Hishomuddin, PAS mengambil langkah yang terbaik dengan tidak menjalankan sebarang urusan untuk mengambil alih pentadbiran secara terburuburu, sebaliknya menanti dan melihat pergolakan dalam BN di Terengganu.

Bagi Hishomuddin, tindakan PAS itu tepat kerana selepas dua hari ‘amukan Ahmad Said’ akhirnya reda, dan kemudian Ahmad Said memohon maaf kepada Perdana Menteri selepas beberapa perjanjian mungkin telah dimeterai secara verbal mahupun bertulis

Malah Ahmad Said mula menyerang PAS dengan menuduh adanya usaha pihak PAS untuk melobinya agar menyertai Umno.

Seperti mana kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bahawa Ahmad Said “berbohong” berhubung dakwaan pihaknya memujuk beliau menyertai parti Islam itu.

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahmad itu, Dr Syed Azman sebaliknya mendakwa “pihak Ahmad Said” yang menghubungi PAS untuk menyertai dan menyokong parti itu

Mujur PAS tidak melatah, tidak segera untuk menyahut ajakan pihak yang dalam kekecewaan kerana akhirnya terbukti Ahmad Said menyerang PAS kembali selepas sengketanya dengan Najib selesai

Melihat pula kepada kedudukan Menteri Besar baharu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman, Hishomuddin mengandaikan bahawa Ahmad Razif akan menjadi ‘budak suruhan’ Najib dalam meneruskan kelangsungan politik Najib yang sedang berkecamuk dalam Umno.

Mengulas pertukaran yang berlaku antara Ahmad Said kepada Ahmad Razif, Hishomuddin berkata pastinya hanya akan menjadi satu lagi titik mula kepada Najib untuk mencatur kedudukannya di Terengganu.

Bagaimanapun Hishomuddin melihat walaupun suasana politik Terengganu kembali tenang, Ahmad Razif perlu bekerja keras untuk pulihkan sokongan rakyat.

Selain itu katanya, Ahmad Razif akan berdepan dengan sebarang kemungkinan jika Ahmad Said bertindak luar dugaan lagi selepas ini, atau mana-mana individu yang bersama Ahmad Said melakukan comeback selepas ‘serang hendap’ pertama tidak menjadi kenyataan

Politik Terengganu sebenarnya masih belum reda, walaupun tiga watak penting dalam aksi 13 Mei menarik kembali peluru berpandu yang bisa sahaja menukar kerajaan negeri ke tangan PAS.

Selepas ini, tidak mustahil kata Hishomuddin bahawa episod yang hampir sama akan berlaku di Terengganu jika Najib gagal memastikan janji yang dimeterai untuk meredakan keadaan tidak tertunai.

Tiada ulasan: