"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesta Arak 'Octoberfest' lambang penjajahan pemikiran - Abim

HARAKAHDAILY  

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyatakan bantahan terhadap satu promosi berkaitan penggunaan arak oleh segolongan rakyat Malaysia yang dinamakan ‘Octoberfest’.


"Untuk perhatian masyarakat, asal usul ‘Octoberfest’ ini adalah dari negara Jerman. Ia merupakan satu pesta meraikan perkahwinan diraja," ujar Presidennya, Amidi Abdul Manan.

Katanya, pandangan bahawa ia perlu dibenarkan kerana ia merupakan hak warga yang bukan Islam adalah kurang tepat dan mengelirukan.

"Wujudkah agama yang membenarkan penganutnya hidup di bawah pengaruh alkohol atau pun membenarkan penganutnya mabuk?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, sama ada Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain agama mahukan penganutnya hidup dengan penuh kesejahteraan.

Oleh itu, ujarnya ‘kemabukan’ yang bermakna hilangnya fungsi akal adalah amat-amat dilarang dalam mana-mana agama.

Justeru, kata beliau justifikasi yang mengatakan bahawa ia perlu dibenarkan bagi mereka yang bukan beragama Islam adalah tidak berasas sama sekali.

Begitu juga, katanya apabila mudarat arak ditinjau dari sudut sains, kesihatan, keselamatan mahu pun sosial.

Tegasnya, ia jelas mengundang lebih banyak mudarat dari manfaat yang boleh diperolehi masyarakat.

Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber alam jika diurus dengan penuh amanah tidak perlu bergantung dengan hasil cukai dari jualan arak.

Abim juga, ujar beliau ingin merakamkan kekesalan apabila pihak penganjur beria-ia menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan pembelian arak yang boleh menjurus kepada kemudaratan.

Antaranya, kata beliau cabutan ‘bertuah?’ Magnum-4D, melakarkan rekod Malaysia dalam ‘6-Pedalist Beverage Cart’dan sebagainya.

Tambahnya, turut sama menganjurkannya adalah sebuah kelab diraja pada 8 Oktober ini, yang merupakan malam 14 Zulhijjah iaitu sehari selepas hari Tasyrik.

Begitu juga, ujar beliau dengan ungkapan ‘the sexy dirndl ladies’ jelas membayangkan tahap moral yang begitu rendah dan menjurus kepada gejala sosial yang tidak terbendung.

Tambahnya, jelas penganjuran ‘Octoberfest’ ini datang dari mereka yang terjajah pemikirannya dengan acuan Barat yang cuba membawa pengaruh buruk budaya kehidupan Barat secara membuta tuli tanpa keupayaan menyaring yang betul dan baik.

"Keadaan ini memberi gambaran bahawa wujud ketempangan dalam pertimbangan pemimpin, ahli politik, penganjur dan mereka yang terlibat sebagai peserta," ujarnya.

Beliau menegaskan, Abim membantah penganjuran majlis ini bukan sahaja dari sudut Islam sebagai agama kesejahteraan, tetapi juga atas nilai manusia sejagat yang seharusnya menjunjung tinggi ‘kewarasan’ akal dan membenamkan segala usaha mempromosi gaya hidup yang tidak wajar dalam kalangan masyarakat.

Tiada ulasan: