"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa Tamrin Ghafar Nak Keluar Pas?

Shahbudin Husin
Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka, Tamrin Tun Ghafar dikhabarkan akan meninggalkan parti Pas yang disertainya lebih setahun lalu, tidak lama lagi.
Desas-desus telah bertiup kencang sejak semalam mengatakan beliau akan membuat pengumuman mengenainya pada minggu hadapan atau selewat-lewatnya dua minggu daripada sekarang.

Adalah dipercayai Tamrin berbuat demikian berikutan kecewa dengan sikap pemimpin tertentu dalam parti itu yang sejak akhir-akhir ini menambahkan lagi kekusutan dalam PR, terutamanya berhubung isu pertukaran Menteri Besar Selangor.

Sikap permimpin tertentu dalam Pas yang seolah-olah melihat rakan sendiri iaitu PKR dan DAP sebagai musuh berbanding UMNO sedangkan perjuangan PR ialah untuk menggantikan BN mentadbir negara ini dikhabarkan menyebabkan beliau merasakan berada di dalam Pas bagaikan tidak memberi banyak erti kepada perjuangannya.

Lantaran itu, Tamrin yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba memutuskan pilihan terbaik baginya ialah meninggalkan Pas yang disertainya sebelum PRU 13 lalu.

Dikatakan juga, meskipun memutuskan meninggalkan Pas tetapi Tamrin tidak akan menyertai PKR mahupun DAP, malah tidak juga akan kembali semula menyertai UMNO.

Beliau dikhabarkan akan menjadi individu bebas yang tidak terikat kepada mana-mana parti lagi selepas ini.

Bagaimanapun Tamrin sehingga ini tidak dapat dihubungi untuk mengulas sejauh mana benarnya desas-desus beliau akan meninggalkan Pas ini. Telefon bimbitnya tidak dijawab walaupun dihubungi beberapa kali, malah pesanan SMS dan Whatsapp yang dihantar kepadanya juga tidak dibalas.

Sejak menyertai Pas sebelum pilihanraya umum lalu, Tamrin adalah antara penceramah yang aktif berkempen ke seluruh negara bagi memastikan PR memperolehi kemenangan dan mampu menewaskan BN. Dalam banyak pilihanraya kecil juga, penglibatannya hampir tidak pernah terkecuali.

Namun, sejak tercetusnya isu pertukaran Menteri Besar Selangor yang telah menimbulkan kekalutan selama beberapa bulan sehingga akhirnya Sultan Selangor memilih Azmin Ali menggantikan Khalid Ibrahim, Tamrin berpendirian sama dengan kumpulan progresif dan profesional dalam Pas yang mahukan parti itu berpegang pada janji dan muafakat dalam PR.

Tindakan Pas yang berdolak-dalik, berubah pendirian dan akhirnya turut mencalonkan Adunnya sendiri dipercayai adalah antara punca berpanjangannya kemelut itu di Selangor sehingga meretakkan hubungan antara kumpulan ulama dengan profesional dalam parti itu.

Walaupun Pas, terutamanya kumpulan ulama mungkin mengatakan keputusan Tamrin ini tidak menjejaskan perjuangan parti itu tetapi haruslah disedari bahawa kekecewaan terhadap sikap Pas itu turut juga dikongsi oleh banyak kelompok lain dalam masyarakat sejak kebelakangan ini seperti kakitangan kerajaan, swasta, guru-guru, pekerja profesional dan sebagainya.

Semua mereka ini mempunyai jiwa Islam dan ingin melihat kemenangan Islam tetapi sikap yang ditunjukkan dalam kemelut di Selangor yang seolah-olah Pas mula "bermain mata" dengan UMNO bukan saja menyebabkan ada yang sudah tidak mahu lagi menyokong Pas, bahkan ramai juga yang enggan mengundi calon Pas dalam pilihanraya umum akan datang.

Selain Tamrin, antara pemimpin UMNO yang telah menyertai Pas sebelum ini ialah bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Mohd Taib dan tokoh korporat daripada Pulau Pinang, Abdul Rahman Maidin.

Adakah mereka ini juga bakal mengikuti jejak Tamrin selepas ini?

Tiada ulasan: