"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berapa lama lagikah Najib mampu bertahan?

Shahbudin Husin
Berikutan keputusan terbaru kerajaan memotong lagi subsidi petrol dan diesel yang menyebkan harganya meningkat daripada RM2.10 kepada RM2.30 seliter, luahan kemarahan rakyat ketika ini boleh didengari di mana-mana. Apatah lagi keputusan itu dibuat hanya tiga hari menjelang sambutan Hari Raya Aidil Adha dan kenaikan harga petrol dan diesel itu tentu sekali akan menyebabkan berlakunya peningkatan berantai harga barang keperluan pengguna.

Walaupun kemudiannya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pemotongan subsidi itu tidak dapat dielakkan untuk memastikan kelancaran pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang dan meminta rakyat berkorban demi kepentingan negara, kemarahan rakyat tidak juga reda.

Selain ada yang meluahkan kemarahan secara nyata, terdapat juga yang mengucapkannya melalui sindiran ucapan "tahniah" dan "terima kasih" kepada kerajaan yang dianggap terus membebankan kehidupan rakyat.

Di laman sosial FB milik Perdana Menteri sendiri, nada kemarahan itu amat jelas dirasai oleh sesiapa saja. Jika Datuk Seri Najib Razak sendiri membaca semua luahan kemarahan itu, tentunya jika beliau seorang yang memahami derita rakyat sebagaimana yang sering dilaung-laungkannya, beliau dapat merasakannya ianya bukanlah main-main.

Dalam masa yang sama, di sebalik kemarahan, cacian, makian dan ugutan akan mengajar BN dalam pilihanraya akan datang itu, pembela-pembela Datuk Seri Najib dan BN juga seakan-akan terdiam tidak mampu berhujah mengenai rasionalnya kenaikan harga minyak yang dilakukan tiga hari sebelum Hari Raya Korban ini. Ini tentu sekali menjadikan seolah-olah keputusan kerajaan itu tidak bijak sama-sekali.

Sebelum pun umat Islam menyambut Hari Raya Korban, rupa-rupanya mereka lebih dahulu dijadikan korban oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang didapati paling kerap menaikkan harga barang dan memotong subsidi rakyat bawahan. Di sebalik kekalnya gelaran Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan Tun Abdul Razak pula sebagai "Bapa Pembangunan", sudah ada yang tidak ragu-ragu menggelarkan Datuk Seri Najib sebagai "Bapa Barang Naik".

Dengan luahan kemarahan yang semakin nyata ini, ramai juga yang bertanya, berapa lama lagikah beliau boleh bertahan sebagai Perdana Menteri?

Dengan menaikkan beberapa kali harga gula, petrol dan diesel sejak 2009 lalu, persoalan yang bermain-main di fikiran rakyat juga ialah berapa banyak lagikah pemotongan subsidi akan terus di lakukan di masa-masa akan datang? Ini kerana Datuk Seri Najib terlihat seolah-olah tidak mampu menambah kantung kewangan negara melalui kerancakan pertumbuhan ekonomi walaupun sering membesar-besarkan angka mengenai kejayaan pembangunan negara, sebaliknya sering memilih cara mudah menjimatkan perbelanjaan dengan memotong subsidi rakyat?

Sudah begitu kerap subsidi dipotong, tetapi kenapakah perbelanjaan negara tetap defisit dan hutang kian bertambah tahun demi tahun? Ke manakah perginya wang subsidi yang dipotong itu?

Nada seperti ini adalah antara yang semakin kerap didengari di mana-mana sekarang ini. Dengan menaikkan harga petrol dan diesel yang tidak kena pada masanya kali ini, ia bukan saja umpama memberi peluru tambahan kepada pembangkang untuk terus menghakis kepercayaan terhadap UMNO dan BN, tetapi juga secara automatik menambahkan lagi keraguan rakyat terhadap kemampun pimpinan yang ada mentadbir negara ini.

Walaupun ada yang berkata, kemarahan rakyat itu pasti akan reda apabila menerima BR1M dan pelbagai gula-gula dalam Belanjawan pada 10 Oktober depan, hakikatnya jika berkali-kali terus dibebankan dengan beban sara hidup yang kian meningkat pastilah kepercayaan mereka akan goyang juga. Jika sebahagian penerima BR1M boleh dipujuk semula, tetapi bagaimana pula dengan pengundi muda dan mereka yang semakin terdedah kepada dunia maklumat yang terbuka?

Mahu tidak mahu, kenaikan berterusan petrol dan diesel kali ini terus menyebabkan keyakinan rakyat terhadap BN kian terhakis. Datuk Seri Najib dan pimpinan kerajaan tidak dipercayai lagi mampu membawa negara ini ke arah yang lebih baik. Sudah ramai pula yang ragu sama ada Wawasan 2020 yang tinggal enam tahun lagi akan tercapai dengan jayanya atau hanya tinggal impian saja.

Meskipun kerajaan sering berbangga dengan pelbagai petunjuk dan angka yang menggambarkan keadaan negara bertambah baik, hakikat yang sebenarnya derita rakyat bertambah dalam masa yang sama. Selain ramai yang tidak mempercayai lagi angka-angka yang ditunjukkan itu, ramai juga mengingatkan Perdana Menteri bahawa menjadi CEO negara bukanlah seperti menjadi CEO syarikat-syarikat besar

CEO syarikat besar mungkin dilihat berjaya jika setiap tahun dapat menunjukkan angka pertumbuhan dan keuntungan tetapi kejayaan CEO negara lebih diukur dari segi kemampuan memberi kesejahteraan dan kegembiraan kepada rakyatnya. Memotong subsidi beberapa kali sehingga menyebabkan derita rakyat bertambah tetapi negara tidak juga mempunyai wang yang lebih banyak sehingga perlu menambah hutang setiap adalah kegagalan yang nyata seseorang pemimpin.

Datuk Seri Najib memang diketahui ingin berkuasa lebih lama lagi, tetapi peningkatan kemarahan dan luahan perasaan tidak puas hati yang kian meningkat hari demi hari yang tercipta melalui kegagalannya sendiri, bukan saja dari luar tetapi mula bercambah daripada dalam, adalah batu besar yang bakal menghalang impiannya itu.

Tiada ulasan: