"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Alasan sebenar di sebalik kenaikan harga bahan api

Ng Kee Seng
Kenaikan harga petrol RON95 serta minyak disel sebanyak 20 sen mengejutkan rakyat Malaysia kerana harga minyak di peringkat antarabangsa kini berada di paras terendah.

Apa alasan sebenar kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) melakukan langkah tidak popular ini, yang bakal membebankan lagi sosio-ekonomi rakyat Malaysia?

Daripada pandangan ekonomi makro, BN dilihat terdesak mengekalkan pentadbirannya kerana ia sedang memerintah dengan kantung yang hampir kekeringan. Hutang persekutuan kini mencecah RM800 bilion.

Dengan beban hutang yang sebegitu besar, kerajaan pusat bukan hanya perlu berhutang malah mendapati keadaan semakin sukar baginya mendapatkan pinjaman.

Pentadbiran yang dibebani hutang ini tidak mampu meyakinkan pembiaya, lantas terpaksa memotong subsidi terutamanya bagi harga bahan api.

Satu lagi kenaikan dijangka pada penghujung tahun ini, diikuti perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan.

Kenaikan 20 sen ini sudah tentu menyebabkan kesan domino, dengan peningkatan harga barangan dan kos pengangkutan dijangka menyusul.

Tidak mengejutkan sekiranya kedai kopi menaikkan harga secangkir kopi sebanyak 20 sen. Pengendali kawasan parkir juga telah mengumumkan kenaikan bagi kadar meletak kenderaan.

Reuters melaporkan di Tokyo hari ini, kesan daripada kenaikan cukai pada April 2014 yang dilaksanakan Perdana Menteri Shinzo Abe lebih buruk daripada jangkaan. Ia lebih memberi kesan berbanding pada tahun 1997 di mana perdana menteri ketika itu terpaksa meletak jawatan.

Sejarah menunjukkan, laporan ekonomi yang teruk di Jepun telah menyebabkan kenaikan cukai mendapat tentangan. Tetapi “Abenomics” yang dilaksanakan Abe sebenarnya memang telah terjejas teruk.

Langkah pemulihan ekonomi Jepun dilihat berdepan halangan walaupun Abe menggalakkan perbelanjaan dalam tempoh 21 bulan kebelakangan ini. Jepun semakin merudum dan beliau perlu memutuskan samada hendak meningkatkan cukai sekali lagi.

Pada masa yang sama, penangguhan langkah itu juga membawa kesan buruk. Pakar ekonomi, pelabur dan ahli perniagaan berpendapat pasaran kewangannya akan semakin gusar kerana hutang yang ditanggung kerajaan Jepun.

“Jika mereka tidak meneruskannya, ia mampu menggugat keyakinan terdapat kewangan Jepun,” ujar Takao Yasuda, ketua eksekutif gergasi diskaun runcit Don Quijote Holdings Co.

“Rakyat bakal melihatnya sebagai bukti kelemahan ekonomi,” Yasuda memberitahu Reuters pada 30 Sept. “Pada saya, lebih baik meningkatkan sebanyak 10% dan hadapi faktor negatif.”

Ekonomi Jepun turut menguncup sebanyak 7.1% sekitar April-Jun. Ini lebih teruk berbanding 1997, ketika perdana menteri terdahulu Ryutaro Hashimoto menaikkan cukai jualan.

Kegagalan Hashimoto semakin nyata akibat krisis kewangan Asia, tetapi keadaan Abe sedikit berbeza.

Ini sebenarnya berita buruk buat ekonomi dan kewangan serantau terutama Malaysia. Tekanan dalaman dan ekonomi dijangka memberi kesan terhadap sosio-ekonomi dan iklim politik di negara ini.

Jepun menyumbang kepada pelaburan asing terbesar di Malaysia sejak 1980an.

Tahun lalu, sebanyak US$1bilion disalurkan ke sektor pengilangan di negara ini.

Menurut agensi berita Bernama, sejumlah RM10.1bil pelaburan diluluskan negara Jepun pada 2011 dan jumlah ini meningkat ke paras RM2.79bil tahun lalu.

Syarikat dari Jepun menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di Malaysia terutama di bidang otomotif, tenaga yang diperbaharui serta industri bioteknologi.

Jumlah dagangan di antara Malaysia dan Jepun pada 2011 berada pada paras RM145.3bil dengan RM80bil disumbangkan ekspot Malaysia ke Jepun, manakala impot menyumbang RM65.3 bilion.

Terdapat 1,400 syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia, yang menawarkan 11,000 peluang pekerjaan.

India pula baru sahaja mengumumkan penurunan harga petrol sebanyak 65 paise (4 sen) manakala United Kingdom menurunkan harga petrol sebanyak 5p (27 sen). Maka tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meningkatkan harga petrol di kala negara-negara lain menurunkannya dilihat tidak berasas.

Alasan sebenar, ialah pentadbirannya tidak mampu memberi subsidi yang mustahak kerana tabung negara hampir kontang.

Tiada ulasan: