"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Sabu calon terbaik Permatang Pauh

Ilyas Hussein
Sewaktu tulisan ini dikarang, hampir pasti pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh bakal diadakan tidak lama lagi. Ini memandangkan petisyen rayuan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak Lembaga Pengampunan.
Membaca judul tulisan ini barangkali ada yang berpandangan sinis. Mungkin juga ada yang merasakan ianya tidak masuk akal. Mana mungkin kerusi Parlimen Ketua Umum PKR mahu diserahkan kepada PAS? Mustahil!

Saya cuba melontarkan sebuah idea politik yang bukan lazim, suatu idea diluar kotak. Bukan niat saya mahu mencetuskan provokasi melalui tulisan ini.
Walaupun idea ini mungkin dianggap terlalu idealis dan tidak praktikal setengah pihak tetapi saya yakin jika diperhalusi sedalam-dalamnya ada kebaikannya bagi perjuangan dan kelangsungan nyawa Pakatan Rakyat.
Hujah saya begini.

Umum melihat mutakhir ini kesatuan politik yang terbina melalui PR semakin goyah akibat sengketa dan silang pendapat antara pimpinan PR dalam banyak perkara.

PR sebelum ini berjaya membina kekuatannya hingga berhasil meraih 51% dari keseluruhan undi pada PRU ke 13 yang lalu. Ini suatu pencapaian yang sangat luarbiasa mengambil kira suasana demokrasi negara kita yang masih tempang dan penuh dengan pelbagai kekangan dan kecurangan.

Kendati demikian, PR kini semakin melemah gara-gara gelagat segelintir pimpinan yang gerak-geri politik mereka tidak ubah seperti "duri dalam daging."

Mereka ini tidak henti-henti melakukan sabotaj dan mengeluarkan perbagai kenyataan di media massa bertujuan memperbesar-besarkan lagi perselisihan pendapat sesama pimpinan PR tetapi dalam waktu yang sama menutup mulut dari membicarakan isu yang jauh lebih penting yang melibatkan rakyat terbanyak.

Tindak tanduk songsang mereka ini semakin dilihat rakyat sebagai usaha jahat untuk memecah-belah dan mengkhianati kesepakatan yang dibina dengan jerih payah, doa dan harapan jutaan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan.

Bayangkan jika Tuan Haji Mohamad Sabu diberi laluan PKR untuk dipilih sebagai calon PAS mewakili PR. Langkah ini akan memberi pukulan maut kepada fraksi dalam PAS yang dilihat semakin terkinja-kinja mahu membawa PAS keluar dari PR dan bekerjasama dengan Umno.

Apa lagi yang mahu mereka lakukan bila PR yang melemah akibat isu Hudud kembali bangkit dengan semangat baru yang menyala-nyala, bingkas menyusun segala kekuatan untuk membantu Mat Sabu menang dalam pertempuran menentang kemungkaran Umno? Pasti terkedu!

Sekiranya Mat Sabu benar menjadi calon mewakili PR di kerusi Permatang Pauh, kelompok yang selama ini cuba merosakkan kerjasama yang terjalin di dalam PR akan berjaya diasingkan dengan sendirinya dan tak ubah seperti kera sumbang di saat pimpinan dan penyokong PR yang lain bertungkus lumus bekerja untuk memenangkan Mat Sabu!

PKR juga sebenarnya tidak rugi sama sekali sekiranya ia memberi laluan kepada PAS dengan meminjamkan sebentar kerusi Permatang Pauh untuk membolehkan PR menghantar Mat Sabu menjadi anggota Parlimen Malaysia.

Tindakan ini sekiranya dilakukan memang sesuatu yang radikal sifatnya tetapi pada hemat saya sangat baik bagi kelangsungan survival PR, malah juga bagi PKR.

PKR sebagai parti yang paling bongsu dikalangan abang-abang PAS dan DAP semakin dihormati dan disayangi rakyat kerana mampu menunjukkan tauladan yang mulia, sanggup berperanan sebagai pendamai dan berkorban demi memperkukuhkan lagi kerjasama dalam PR.

Segala ungkit-mengungkit, kata mengata dibelakang, dan suara tidak berpuas hati khususnya di kalangan anggota dan pimpinan PAS gara-gara peristiwa Kajang Move bakal terpadam dengan sendirinya dengan langkah terbaru "Serampang Permatang Pauh" ini.

Apa kurangnya Mat Sabu kita letakkan sebagai calon PR di Permatang Pauh? Mengapa tidak?

Mat Sabu adalah anak jati Pulau Pinang. Mat Sabu juga adalah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. Ini tentunya akan sangat membantu dan mempengaruhi kekuatan jentera pilihan raya PR.

Mat Sabu tidak syak lagi adalah tokoh penyatu penting dalam PR yang dilihat semakin melemah semenjak pemenjaraan Anwar dan kepulangan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz ke rahmatullah.

Menghantar Mat Sabu ke Parlimen dapat merapatkan kembali dan memperkukuhkan kekuatan PR.

Parlimen Permatang Pauh juga sebenarnya bukanlah kawasan yang asing buat Mat Sabu.

Mat Sabu pernah bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1986 ketika Anwar menjadi calon Umno ketika itu.

Mencalonkan Mat Sabu di Parlimen Permatang Pauh tak ubah ibarat menghantar sireh pulang ke ganggang.

Meletakkan Mat Sabu sebagai calon PR juga akan memberi manfaat politik kepada DAP. Umum mengetahui keakraban Mat Sabu dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sama-sama pernah ditahan dibawah ISA dalam Operasi Lalang 1987.

Pencalonan Mat Sabu akan mengeratkan kembali kerjasama di peringkat anggota dan penyokong akar umbi PAS dan DAP.

Rekod Mat Sabu sebagai pejuang rakyat sangat cemerlang dan tidak dapat dipertikaikan. Tidak ramai tokoh politik tanahair kita yang mengalami ujian seperti Mat Sabu. Dua kali ditahan di bawah ISA, berpuluh-puluh kali ditahan dan ditangkap polis tetapi Mat Sabu terus istiqamah dalam perjuangan membela rakyat.

Mat Sabu juga adalah tokoh PAS yang pintar membawa isu-isu ekonomi, isu bread & butter yang mudah difahami rakyat bawahan. Berbanding dengan segelintir pemimpin PAS yang hanya jaguh berkhutbah soal agama tetapi jahil dalam mengupas isu ekonomi semasa, Mat Sabu adalah tokoh all-rounder.

Mat Sabu adalah pemimpin yang berfikiran jauh dan luas pembacaannya. Beliau bukan hanya menguasai kefahaman Islam dengan baik tetapi juga arif dengan aliran politik kontemporari, dan tahu selok-belok revolusi dan pemikiran politik kiri.

Berbanding dengan presiden partinya, Mat Sabu juga boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Walaupun tidak berjaya memenangi kerusi parlimen dalam dua pilihan raya di era kemunculan PR (PRU 12 & PRU 13) pengaruh Mat Sabu di kalangan akar umbi PAS tetap kuat.

Buktinya, walaupun tidak lagi berjawatan sebagai yang berhormat, Mat Sabu tetap berjaya menang dan mempertahankan kerusi timbalan presiden PAS dalam dua muktamar, suatu pencapaian yang wajar dihormati.

Mat Sabu adalah pemimpin yang berupaya naik atas kekuatan sendiri walaupun kempen untuk menjatuhkan Mat Sabu ditiup begitu kencang sekali fraksi pro Ulama dalam PAS.

Mat Sabu juga tokoh yang mudah bergaul dengan semua peringkat pimpinan PR. Pimpinan PKR dan DAP dapat berkerjasama dengan sangat baik bersama Mat Sabu.

Lihatlah perhimpunan-perhimpunan raksaksa anjuran PR dan juga gabungan NGO seperti BERSIH. Siapakah loud hailer utamanya yang menggerakkan seluruh kekuatan rakyat untuk bangkit dan berhimpun kalau bukan Mat Sabu kita?

Tunggu sebentar. Barangkali ada yang bertanya bagaimana pula dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah?

Pendapat saya begini. Kepimpinan dan ketokohan Dr Wan Azizah sebagai presiden PKR sudah terbukti dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Jika difikirkan secara mendatar, memang secara tradisinya Dr Wan Azizahlah yang paling layak menyambung obor perjuangan Anwar di Permatang Pauh.

Meskipun demikian, pencalonan Dr Wan Azizah di kerusi Parlimen Permatang Pauh kali ini menurut hemat saya tidak akan memberi nilai tambah baru buat PR. Lebih-lebih lagi Dr Wan Azizah dipilih dan menang dalam Pilihan raya Kecil Kajang yang penuh kontroversi sebelum ini.

Saya berpendapat, mencalonkan Dr Wan Azizah sekali lagi dalam pilihan raya kecil buat kali kedua dalam satu penggal adalah kurang bijak dan akan kelihatan sumbangnya. Langkah ini tidak akan membantu memperkuatkan lagi PR yang dilihat semakin rapuh.

Pencalonan Dr Wan Azizah akan memberi beban tugas yang berlebihan kepada beliau. Secara strategi juga, ini tidak baik kerana beliau adalah presiden PKR.

Jarak yang jauh untuk berulang-alik antara Permatang Pauh dan Kajang di samping tugas di Parlimen akan memberatkan Dr Wan Azizah daripada fokusnya sebagai presiden parti.

Sebarang kekurangan dalam menguruskan kedua-dua kerusi ini akan mendedahkan Dr Wan Azizah untuk diserang bertubi-tubi mesin propaganda pihak lawan.

Begitu juga dengan mencalonkan Saifuddin Nasution. Walaupun Saifuddin diakui sebagai seorang tokoh yang sangat pintar berhujah, kemenangan Saifuddin tidak akan memberi impak yang besar kepada kekuatan dan kelangsungan nyawa PR berbanding kemenangan Mat Sabu sebagai calon PR.

Apa lagi kalau PKR mencalonkan seorang lagi anak Anwar. Simpang malaikat empat puluh empat. Moga-moga ini tidak terjadi. PKR hanya akan meletakkan dirinya dalam krisis kredibiliti.

Mencalonkan seorang lagi anak Anwar adalah tindakan elitisme politik yang miskin imaginasi. Ini hanya meletakkan PKR di kedudukan defensif dan apologetik kerana ianya sangat mudah untuk dikaitkan dengan amalan nepotisme, walaupun ianya belum tentu benar.

Sudah sampai waktunya PKR benar-benar mempelopori dan mejiwai politik baru. PKR harus terus berani menongkah arus dengan berfikir diluar dari kerangka biasa.

PKR sebelum ini punya sejarah gelap mencalonkan beberapa nama yang meragukan. Setelah menang, mereka-mereka ini akhirnya khianat dalam perjuangan dan menikam Anwar dan PKR.

Kalau mereka yang mempunyai perwatakan meragukan boleh diangkat dan dicalonkan PKR, amat disayangkan permata PR seperti Mat Sabu dibiarkan lelah di pinggir pentas politik nasional.

Melihat dengan saksama, tentu ada pro dan kontra dalam mengusulkan Mat Sabu sebagai calon PR di Permatang Pauh. Menurut pandangan saya ada dua halangan yang paling besar.

Halangan pertamanya ialah persetujuan dari pimpinan PAS sendiri, khususnya presiden PAS dan Majlis Syura Ulama.

Dengan hikmah dan kebijaksanaan pimpinan PR, saya yakin hal ini dapat diatasi. Tidak ada yang mustahil dalam politik. Yang paling penting ialah adanya iltizam dan kesungguhan untuk menjayakannya.

Kalau difikirkan dengan jernih, tiada sebarang alasan bagi PAS untuk menolak tawaran PKR melainkan memang sengaja mahu menghalang kemajuan karier politik Mat Sabu.

Soal wala' juga tidak timbul kerana Mat Sabu adalah tokoh yang lahir dan mendewasa dalam PAS. Mempertikaikan kesetiaan Mat Sabu adalah penghinaan kepada anggota PAS yang memilih Mat Sabu secara sah sebagai timbalan presiden.

Mat Sabu menghadapi perbagai macam tribulasi dan mehnah dalam perjuangan. Beliau lulus ujian sebagai pemimpin rakyat. Kesetiaan Mat Sabu pada perjuangan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Persetujuan pencalonan Mat Sabu PAS untuk mewakili PR juga adalah kayu pengukur dan acid test kekuatan pengaruh golongan progresif dan sederhana dalam PAS yang mahu PAS kekal bersama PR.

Halangan terbesar kedua pula ialah ancaman kes Mahkamah. Umum mengetahui Mat Sabu menghadapi beberapa kes mahkamah yang masih tertunggak.

Senario terburuk sekiranya Mat Sabu berjaya dicalonkan dan menang di Permatang Pauh (insyaAllah) ialah mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman bersalah pada Mat Sabu dan kerusi yang baru dimenanginya terpaksa dikosongkan semua.

Kalau disorot dari kacamata yang penuh kebimbangan, tentu hal ini akan diambil kira sebagai faktor penamat untuk menolak idea pencalonan Mat Sabu di Permatang Pauh.

Tetapi menurut pendapat saya ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang bermudarat kepada Mat Sabu, PKR atau PR, malah sebaliknya.

Menghukum dan menafikan kemenangan Mat Sabu sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh melalui taktik kotor hanya akan menambahkan lagi simpati rakyat kepada PR. Ini tentukan menambahkan lagi kebencian rakyat pada kerajaan.

Saya berpandangan, untuk menumbangkan regim yang begitu lama berkuasa, radikalisasi di kalangan penyokong adalah sangat penting.

Radikalisasi di sini bukan bermakna liar, buas atau mahu mencetuskan huru-hara sebagaimana yang sering ditafsirkan media-massa kawalan pemerintah. Radikalisasi bermakna kefahaman dan keazaman yang mendalam mengapa perubahan politik itu perlu diusahakan dengan sedaya upaya dan penuh keberanian tanpa ragu.

Menafikan kemenangan Mat Sabu melalui kes mahkamah hanya akan meradikalisasikan para pendukung PR. Ini akan menjadi satu lagi proses pendidikan politik yang sangat penting bagi rakyat Malaysia.

Kalau ini yang terjadi, PR masih boleh mencalonkan tokoh lain. Kalau Mat Sabu menang tapi hilang kelayakan gara-gara kes Mahkamah, kita calonkan pula Husam Musa!

Bayangkan sejenak senario politik negara kedepannya. Hayat politik PR pasti semakin panjang, menarik dan penuh warna-warni!

Seperti kata Anwar sendiri, PR perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun.

PR juga perlu melihat jauh kehadapan. Ketika perjuangan melalui perlembagaan semakin dipersempit dan dipersulitkan laluannya, tiada tokoh yang lebih layak untuk dihantar ke Parlimen selain jeneral dan "Imam jalanraya" (istilah yang diberi Anwar ) kita, Mat Sabu.

Amat merugikan tenaga, semangat dan suara abang Mat Sabu hanya berlegar di luar Parlimen.

Mat Sabu adalah harimau rakyat yang perlu kita hantar ke Parlimen untuk membaham para koruptor yang semakin buas menggasak harta dan khazanah rakyat.

Keberanian dan keikhlasan PKR untuk memperkuatkan PR dengan memberi laluan kepada Mat Sabu sebagai calon PR pasti dikenang selama-lamanya sebagai salah satu momentum terpenting dalam sejarah perjuangan rakyat Malaysia menentang kemungkaran Umno dan Barisan Nasional.

Sudah sampai waktu dan ketikanya PR berani meletakkan calon yang terbaik di kalangan kita, walaupun calon itu bukan secara tradisinya dari parti yang mewakili kerusi itu sebelumnya.

Saya yakin, bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh kali ini, Mat Sabu adalah tokoh yang terbaik dari kalangan kita

Tiada ulasan: