"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pentas ceramah Pas akan sepi selepas ini

Shahbudin Husin

Salah satu kekuatan Pas selama ini ialah penguasaannya dalam pentas-pentas ceramah di seluruh negara. Sama ada terdapat isu-isu besar yang melanda negara atau sekadar menyampaikan mesej perjuangan, kekuatan di pentas ceramah itulah antara sebab yang menjadikan Pas semakin kukuh di hati orang-orang Melayu.

Dalam ceramah yang disampaikan itu, bukan saja aspek perjuangan Islam, keperluan menegakkan apa yang disuruh Allah dan menghuraikan isu-isu semasa yang menjadi penekanan, tetapi penting juga ialah siapa yang menyampaikan ceramah itu.

Bagi kebanyakan orang, khususnya yang tinggal jauh di pedalaman atau kampung-kampung, menghadiri ceramah Pas bukan saja untuk mengukuhkan lagi keyakinan terhadap perjuangan parti, bahkan juga untuk mendapat tambahan ilmu dan maklumat mengenai isu-isu semasa berikutan ahli Pas memang dididik untuk tidak mempercayai berita daripada media arus perdana.

Selebihnya, ramai juga yang menghadiri ceramah Pas kerana tertarik, kagum atau terhibur dengan penyampaian penceramah yang dijemput itu.

Suatu ketika Allahyarham Datuk Fadzil Noor, bekas Presiden Pas amat dikagumi dan sentiasa mendapat limpahan hadirin setiap kali ceramahnya diadakan. Beliau bukan saja berceramah dengan lantang mengenai ketidakadilan dan pelbagai salah UMNO dan BN yang diselitkan dengan ayat-ayat Al Quran dan Hadis, tetapi mempunyai kritikan dan analisa yang tajam dari sudut politik. Lawak jenaka dan sindiran politiknya seringkali membuatkan ramai tidak kering gusi mendengar ceramahnya.

Datuk Seri Haji Awang pula, ketika zaman mudanya digilai di mana saja ceramahnya diadakan kerana isi dan suaranya yang keras serta tiada komprominya dalam memperkatakan kebenaran. Perkataan kafir, taghut, zalim, munafik dan seumpamanya jarang lekang daripada pengucapannya. Anak-anak muda dan mereka yang baru mengenal perjuangan Pas amat mudah terangsang dengan kata-kata semangat yang disampaikannya.

Allahyarham Nik Aziz tidak terkecuali daripada kehebatan menguasai pentas-pentas ceramah di seluruh negara. Kedudukannya sebagai seorang yang alim, zuhud dan kata-kata yang disampaikannya bersandarkan hukum Al Quran dan Hadis menjadikannya antara paling digemari.

Namun sejak 10 atau 15 tahun kebelakangan ini pula, antara tokoh Pas yang menjadi minat ramai di pentas-pentas ceramah ialah Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Husam Musa, Salahuddin Ayob, Khalid Samad, Dr Mujahid, Dr Hatta Ramli, Nizar Jamaluddin dan ramai lagi. Mereka ini bukan saja hebat di pentas ceramah dengan pembongkaran isu-isu semasa politik negara, bahkan juga aktif dalam forum, sidang akhbar dan sentiasa peka untuk mengulas isu-isu semasa dalam negara.

Antara kelebihan mereka ini ialah kehebatan berpidato atau berceramah dan memberi penerangan mengenai pelbagai isu semasa. Sambil berceramah, menegakkan hukum, mengukuhkan keyakinan dan memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa negara, mereka juga menyelitkannya dengan unsur hiburan atau lawak jenaka.

Selama berpuluh tahun itu, tokoh-tokoh Pas daripada kalangan profesional inilah yang ligat menguasai pentas ceramah di seluruh negara, tambahan pula Haji Hadi Awang tidak lagi seagresif dulu menyampaikan ceramahnya berikutan kesibukan lain sebagai Presiden Pas banyak mengekang jadualnya.

Seiring dengan itu, tokoh-tokoh Pas dari kalangan ulama atau berpendidikan agama hampir tenggelam di pentas ceramah berikutan isu-isu semasa yang berlarutan dan silih berganti menjadikan mereka daripada kalangan profesional ini lebih digemari oleh khalayak ramai.

Bagaimanapun, berikutan pertembungan antara kumpulan ulama dan profesional dalam Pas, semua tokoh-tokoh ini kecundang dalam pemilihan baru-baru ini. Mohamad Sabu kecundang di tangan Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan Timbalan Presiden. Bagi jawatan Naib Presiden pula, Husam Musa, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayuh tewas ditangan Idris Ahmad, Mohd Amar Abdullah dan Iskandar Samad.

Bagi jawatan AJK, kecuali Mazlan Aliman, kesemua tokoh daripada kalangan profesional yang mana antaranya menjadi Ahli Parlimen, bekas Menteri Besar dan sebagainya serta cukup dikenali di kalangan rakyat, telah "dibersihkan" oleh kumpulan ulama daripada menduduk kerusi kepimpinan Pas di peringkat pusat.

Dengan wajah baru Pas sekarang, tidak dapat tidak Pas akan berdepan dengan masalah yang berbagai di masa depannya. Walaupun ingin kekal bersama PR, tetapi kepimpinan baru ini semestinya lebih bermasalah dengan DAP dalam fasa-fasa seterusnya.

Selain undi dan dan sokongan daripada bukan Melayu akan berkurangan, Pas juga mungkin tidak lagi diminati oleh kalangan profesional, kakitangan awam, swasta dan pengundi muda berikutan ketiadaan kepimpinan profesional dalam kepimpinan tertinggi parti itu. Mereka selama ini menyokong perjuangan Pas adalah kerana tertarik dengan Islam yang dibuktikan dengan penyertaan ramai kalangan profesional menyertai dan menguasai kepimpinan parti itu.

Sudah tentu tidak ramai golongan tersebut yang menyertai Pas kerana tertarik dengan Tuan Ibrahim Tuan Man, Nik Abduh atau Nasharuddin Tantawi berbanding daya tarikan daripada Mohamad Sabu, Husam Musa, Salahuddin Ayub, Mahfuz dan seumpamanya.

Yang lebih memberi kesan kepada Pas selepas ini ialah kelopongan dalam menguasai pentas-pentas ceramah di seluruh. Tuan Ibrahim sebagai Timbalan Presiden tidak dinafikan boleh berceramah kerana selalu muncul dalam program Forum Perdana Ehwal Islam di TV sebelum ini, tetapi kehebatannya menarik audiens tidaklah sekukuh Mohamad Sabu.

Di kalangan Naib Presiden, siapakah yang mahu mendengar ceramah Idris Ahmad, Nik Amar Abdullah dan Iskandar Samad berbanding Husam, Mahfuz dan Salahuddin Ayub sebelum ini?

Begitu juga di kalangan AJK baru yang ada sekarang, mereka mungkin lebih ilmu agama dan pengetahuan dalam hukum halal haram, namun hampir tidak dikenali dan kosong aura dalam menarik kehadiran orangramai di pentas- ceramah berbanding tokoh-tokoh profesional yang tewas itu.

Dengan ini, dalam tempoh dua tahun akan datang di mana kepimpinan baru ini memikul tanggungjawabnya, kesuraman dan hilangnya daya tarikan Pas sudah pun dapat dirasai. Jika berlarutan sehingga PRU 14 akan datang, tidak mustahil bukan saja kehilangan lebih banyak kerusi akan dialami oleh parti itu, bahkan Kelantan pun akan kembali ke pangkuan BN.

Tiada ulasan: