"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warkah raya buat Pesuruhjaya PAS Selangor

Riesya H.
Selamat hari raya .Eid Mubarak. Taqabalallahu Minna Wa Minkum. Ditujukan kepada semua. Terutama sekali tuan pesuruhjaya negeri tempat saya menumpang mencari rezeki dan bermastautin, negeri Selangor. Pesuruhjaya parti yang saya undi pada PRU13, parti Pas. Tetapi tidak mungkin untuk PRU14.

Moga tuan pesuruhjaya Pas Selangor sentiasa di dalam peliharaan Allah hendaknya. Apa khabar tuan PJ? Apa khabar negeri Selangor tercinta? Diharap tuan dapat beraya sakan sebagai PJ Selangor, makmur negerinya tetapi kabur politiknya.

Tuan Pesuruhjaya,
Syabas kerana menang besar pada PRU13. Lonjakan hamper sekali ganda, dari 8 kerusi pada PRU12, melonjak kepada 15 kerusi pada PRU13. Satu pencapaian cemerlang, berbanding DAP yang menambah cuma 2 kerusi, manakala PKR pula merosot1 kerusi. Umno mampu ucapkan sekalung terima kasih kepada Din Ayam, yang membantu memberi laluan kerusi Kota Damansara. Tuan layaknya boleh berbangga dengan pencapaian Pas.
Tetapi satu perkara yang tuan perlu ingat, pencapaian itu bukan hasil titik peluh tuan sendiri. Masa PRU13 tuan Cuma sekadar macai, bukan numerouno. Yang jadi pesuruhjaya masa PRU13 ialah Rani. Yang layak menuntut jadi hero ialah tuan Rani, bukan tuan. Tuan Cuma mewarisi harta pencarian YB Rani. Itu saja. Mungkin rezeki tuan terlebih sedikit dari orang lain. Mungkin angkara terlebih ampu tuan presiden. Ataupun terlebih mesra dengan istana. Tidakpun, terikut cara tok guru yang nak berbaik dengan Umno. Mungkin.

Semuanya mungkin, tanpa kajian saintifik, atau mimpi berjumpa Nabi. Itu cuma telahan hamba. Mungkin juga tuan lebih selesa bercerita retorik tentang melayu, raja dan hudud. Melebihi isu tatakelola, atau menjuarai isu korupsi songlap duit 1MDB, Felda, Tabung Haji atau Mara. Atau juga tuan sudah jadi pet boy kakak tua kepada tok guru demi menyelamatkan jawatan seorang pegawai agama bergaji 40 ribu di Kumpulan Perangsang.

Tuan Pesuruhjaya

Ingat-ingatlahkan nasib yang menimpa Pak Lah. Dia menang besar pada PRU2004, dijulang sebagai hero dan pejuang bangsa. Beliau gah dengan slogan terbilang gemilang dan cemerlang. Tapi itu dulu. Setelah Umno dihempuk tsunami pada PRU2008, aura beliaupun hilang dibawa angin. Kekalahan Umno dan jatuhnya Perak dan Kedah pun di nisbahkan kepada beliau. Hilang sudah terbilang gemilang dan cemerlang. Yang ada Cuma hilang dan tenggelam.

Janganlah dibanggakan sangat dengan pencapaian PRU13. Dalam klimaks dan perubahan mood rakyat Selangor sejak langkah Kajang, dan imej Pas yang bercelaru, bukan mudah untuk kekalkan 15 kerusi. Silap haribulan, 8 kerusi pun mengah nak dicapai. Kurang dari 8 kerusi, nasib dan masa depan tak ubah sama macam Pak Lah. Hilang dan tenggelam.

Tuan Pesuruhjaya,

Ingatlah, Pas menang selesa PRU13 kerana ada 360 ribu orang yang mengundi Pas. Bukan semua mereka ini orang Melayu Islam. Dan bukan semua mereka ini ahli Pas.

Ditakdirkan 125 ribu orang Cina dan India yang mengundi PAS pada PRU13 yang lalu berubah angin, dan tidak lagi mengundi PAS, bala yang besar sedang menanti. Silap haribulan, satu kerusi pun tidak menyangkut, hatta kerusi ‘selesa’ seperti Bangi, Meru, Cempaka ataupun Seri Serdang.

Pas mula bertapak selesa di Selangor selepas menang PRU12 dek kerana sokongan 216 ribu pengundi. 75ribu dari mereka adalah bukan melayu, yang berani mengundi Pas buat pertama kali. Pada PRU11 (2004), Pas belum ada dalam kamus mereka. Tanpa undi mereka ini, belum tentu kerusi Cempaka dan Selat Kelang milik Pas pada PRU12.

Tuan Pesuruhjaya,

Adakah tuan masih berangan 125 ribu orang Cina dan India akan mengundi Pas pada PRU14 nanti? Jangan bermimpi. Setiap kali manusia macam Din Ayam buka mulut, saya pasti seribu orang Cina akan lari. Tantawi pula buka mulut, 5 ribu yang lari. Tuang presideng buka mulut, 10 ribu lari. Dibuatnya 5 kali presideng buka mulut 50 ribu Cina akan lari. Cukupun tuk membawa pergi 10 kerusi Pas!

Salam kata, ambillah kesempatan syawal untuk refleksi diri. Turunlah padang dan tinjau-tinjaulah anak mukim. Dan fikir-fikirkanlah apa yang terbaik untuk negeri. Janganlah terikut-ikut dengan macai-macai dan pencacai presiden. Atau lebai-lebai yang tak berapa alim. Atau geng ilmuan yang tak berapa cerdik. Ataupun doctor pengkaji yang penuh hasad dengki.

Tuan Pesuruhjaya,

Fikir-fikirkanlah.!

1 ulasan:

Abdul Said berkata...

Satu warkah terbuka yang berterus terang. Suatu warkah yang mengambarkan perasaan orang-orang yang telah mengundi PAS. Namun saya percaya warkah itu tidak mendatangkan apa-apa perubahan pada PAS. Pemimpin-pemimpin PAS kini sedang mabuk, sedang khayal dan lalok. Tidak mungkin boleh merendah diri, tidak mungkin boleh befikiran rasional. Zaman mengecapi nikmat kuasa dunia sedang sampai ke penghujung. Sedikit kuasa yang diberi oleh Allah s.w.t telah menguji mereka yang terlibat. Lulus atau gagal akan ditentukan oleh mood pengundi-pengundi bijaksana. Dalam pada itu teringat akan kehebatan Kerajaan Uthmaniah. Pelbagai bangsa dan pakar diraikankan dikota Istanbul. Bandar maju dan mencerminkan budaya yang tinggi. Semua ini kerana sifat tolensi pemerintah zaman dulu.!! Negara itu berpaksikan kehebatan Islam secarah total dan bukan hanya memperjuangkan satu juzuk sahaja sehinggakan rakyat mangsa banjir tidak dipedulikan.!!!