"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda didakwa kritik Agong mohon maaf

ARIF ATAN
Mohd Faiz mohon maaf melalui akaun facebook
Ekoran kritikan berkaitan Yang di-Pertuan Agong baharu yang kemudiannya viral di media sosial, pengguna Facebook atas nama Mohd Faiz tampil memohon maaf dan memberi penerangan tentang apa yang dimaksudkannya sebelum ini.

"Ingin diakui keterlanjuran kata dan bahasa diri ini dalam menyampaikan buah fikiran saya di dalam media sosial ini, dengan merujuk kepada posting FB yang sebelum ini tentang kuasa YDPA dan institusi Majlis Raja-raja.

"Saya merafak sembah dan memohon maaf kepada YDPA dan sekalian rakyat Malaysia atas kenyataan yang dilihat menyinggung. Posting itu dihiasi dengan semangat anak muda yang inginkan perubahan kearah Malaysia yang lebih baik," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, beliau langsung tiada niat menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja sebaliknya hanya mahu melihat kuasa Majlis Raja-raja diperkukuhkan dalam menjaga institusi Islam dan Melayu di negara ini.

"Itulah yang dimaksudkan dengan Kesalehan Sosial yang saya suarakan sebelum ini. Institusi Raja bukan sahaja Soleh Spiritual, malah Soleh Sosial (dengan maksud mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial).

"Negara unggul yang kita impikan tentunya negara yang membahagiakan dan sekaligus membanggakan. Atas dasar itulah, peranan YDPA dan Raja-Raja serta institusi Islam lainnya dapat berfungsi dengan baik," jelasnya.

Sehubungan itu, institusi Yang di-Pertuan Agong, katanya, tidak harus sekadar terlalu dipuja tanpa peranan yang signifikan.

"Kita tidak mahu nama Agong itu fungsinya dilihat secara literal pada namanya. Contohnya jika dia seorang guru, dia bukan hanya digurukan, malah dibapakan, dimurabbikan, dimentorkan. Kita tidak mahu nama Agong itu hanya tinggal di Agung agungkan, tanpa sebarang peranan yang besar," ujarnya.

Terdahulu, Faiz turut memetik kesetiaan Melayu yang bersyarat dan bersyariat antara Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat dan Seri Teri Buana di pihak raja.

"Sebolehnya saya mahu mengelakkan salah faham yang berpanjangan atas posting saya yang sebelum ni. Dan mahu melihat negara ini bersama semua pemimpin dan rakyat terus hidup makmur semakmurnya dan sebahagianya," tambahnya lagi.

Pendapat Faiz yang menjadi tular di media sosial itu susulan daripada sikap sesetengah pihak yang dilihat terlalu memuja Yang di-Pertuan Agong yang tampil bersederhana turun ke masjid menunaikan solat berjemaah.

Parti Amanah Negara (Amanah) secara tidak langsung turut dikecam terutamanya oleh pihak dipercayai penyokong Umno dan Pas hanya kerana status Faiz itu disebar bersama-sama fotonya dengan logo parti yang baharu sahaja selesai konvensyen kali pertama minggu lalu.

Tiada ulasan: