MALAYSIA DATELINE
Aksi lucu berkemban di Pejabat Menteri Besar Selangor oleh Datuk Seri Jamal Yunos dan sidang media bisu Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow tidak dapat melawan pengumuman kerajaan untuk menyiasat Tun Dr Mahathir.
Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, yang menyifatkan Malaysia tidak pernah sunyi daripada cerita berunsur jenaka.
"Bayangkan Mahathir yang kini sudah bukan sahaja berpangkat datuk tapi moyang, dalam usianya yang jauh 91 tahun, disiasat kerana dituduh ‘terlibat dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen’ setelah jadi Perdana Menteri selama 22 tahun!" katanya.
Hal tersebut diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Nur Jazlan, baru-baru ini.
“Beliau memaklumkan bahawa Tun Mahathir tidak akan terlepas daripada disiasat mengikut Seksyen 124C atas cubaan memudaratkan demokrasi berparlimen,” ujar Kit Siang dipetik Roketkini.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, negara bakal menjadi bahan ketawa dunia jika pengasas yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu disiasat polis berhubung dakwaan berkenaan.
Pagi kelmarin, Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berdiri di hadapan pagar Pejabat MB Selangor dengan aksi bertuala dan berus gigi terselit di celah telinga sebagai protes terhadap isu bekalan air di negeri itu.
Manakala pada hari yang sama di Pulau Pinang, Chang Yeow melakukan aksi gimik berpelekat mulut dalam sidang medianya sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berhubung isu Pulau Jerejak.
"Mungkin Harith Iskandar, yang telah berjaya merangkul gelaran individu paling kelakar di dunia, patut berikan takhtanya itu kepada dua orang badut yang beraksi sarkas di Selangor dan Pulau Pinang," kata Kit Siang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan