"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan perpaduan: Rafizi dedah Nasharudin terima dana 1MDB

MALAYSIA DATELINE
Nasharudin Mat Isa
Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Nasharudin Mat Isa pernah menerima dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dakwa Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini, beliau menamakan bekas timbalan presiden Pas itu sebagai penerima dana 1MDB.

Rafizi juga membuat akuan berkanun berhubung perkara itu.

Beliau mendakwa Nasharuddin menerima dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Nasharuddin yang kalah kepada Mohamad Sabu dalam pertandingan timbalan presiden parti selepas itu sering dikaitkan dengan agenda kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno.

Beliau kini memimpin Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), yayasan yang diilhamkan oleh Najib.

Rafizi pada 6 April lalu mendakwa mempunyai bukti seorang yang rapat dengan kepimpinan Pas menerima dana itu yang disalurkan langsung daripada akaun peribadi Najib.

Rafizi Ramli
Rafizi kemudian terus berteka-teki selama seminggu dan hanya memberi bayangan individu itu sebagai pemimpin Pas dan pernah ditegur mursyidul am Pas Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam akuan bersumpah yang ditandatanganinya, Rafizi berkata tranksaksi itu diberitahu kepadanya oleh seorang bekas pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB.

"Pas perlu kembali semak pastikan tidak ada satu sen pun wang 1MDB kerana rapatnya Dr Nasharudin Isa dengan tokoh-tokoh yang masih mahu menggabungkan Umno dan Pas," kata Rafizi.

Menurut Rafizi, pegawai kanan SPRM itu juga menjelaskan bahawa siasatan ke atas anak syarikat 1MDB iaitu SRC International mendapati sejumlah dana dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebelum sebahagiannya berpindah kepada peguam tertentu.

SPRM katanya sudah menyoal siasat peguam tersebut dan mendapatkan bukti individu yang dibayar dengan wang SRC International melalui beliau.

Salah seorang penerima bayaran itu ialah Nasharudin, namun Rafizi tidak dapat mengesahkan sama ada peguam yang dimaksudkan ialah Datuk Hafarizam Harun, peguam Najib, seperti didakwa portal Sarawak Report.

Menurutnya lagi, ahli parlimen Pas Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali juga pernah bertemu bekas pegawai SPRM itu untuk mendapatkan kesahihan mengenai dakwaan pemindahan dana 1MDB membabitkan Najib.

Menurutnya, perkara yang didedahkannya itu menjurus kepada salah guna kuasa yang boleh disiasat di bawah pelbagai undang-undang negara kerana bayaran kepada pemimpin Pas itu dibuat bagi 'melunakkan' suara Pas dalam isu 1MDB.

Menurutnya, ia juga menunjukkan Nasharudin tidak layak menganggotai Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

“Sebagai seorang penerima dana, Nasharudin tidak layak dilantik ke panel tersebut," tegas beliau.

Rafizi juga memutuskan membuat dakwaan itu di bawah akuan berkanun supaya beliau boleh membuktikan kebenaran dakwaan itu.

"Kalau petang ini ada perkara yang saya sebut tak betul, boleh buat laporan polis supaya boleh lalui proses undang-undang.

"Saya sudah bagi lesen untuk menggari saya. Kalau yang saya sebut ini tak betul, boleh tangkap masukkan saya dalam lokap malam ini juga," cabar beliau.

Ahli Parlimen Pandan itu bagaimanapun mengalu-alukan sebarang proses perundangan supaya dapat membuka jalan menyiasat perkara ini.

Tiada ulasan: