"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas dulu lain sekarang lain - Nakhaie

MALAYSIA DATELINE
Datuk Nakhaie AhmadBekas Naib Presiden Pas Datuk Nakhaie Ahmad mendedahkan ketika beliau di dalam barisan kepimpinan parti itu tidak timbul langsung berkaitan 'wang berjuta-juta' bagi tujuan menggerakkan parti itu.
Beliau berkata, pengalamannya mengadakan ceramah di seluruh negara mahupun di luar negara kos akan ditanggung diperingkat cawangan dan kawasan parti itu.

"Masa saya dalam saf kepimpinan Pas dulu tak timbul langsung duit berjuta-juta.

"Pergi ceramah seluruh dunia duit minyak disediakan oleh cawangan atau kawasan yang menganjurkan.

"Kadang-kadang cukup.. kadang-kadang tidak. Kalau program Pas Pusat kena keluar duit sendiri.Jika ceramah di luar negara tiket disediakan pergi balik oleh penganjur. Tak ada bayaran apa pun diberi. Duit poket sendiri ala kadar. Pernah juga pergi poket kosong," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini di facebook.

Nakhaie meninggalkan Pas pada 1989 dan kemudiannya mengisytiharkan menyertai Umno, juga mengimbas kenangannya yang pernah ditahan di Lapangan Terbang Chicago kerana membeli tiket sehala dan di dalam poketnya hanya ada AS$100 sahaja.

"Saya pernah di tahan di LT Chicago kerana tiket sehala dan hanya ada 100 USD. Tetapi dibenar juga masuk kerana dijamin oleh Sayed Azman dan kawan-kawannya ketika ditahan.

"Saya sering balik ke rumah tangan kosong tanpa bawa apa-apa buah tangan kepada anak-anak kerana tiada wang untuk beli apa-apa," ujarnya.

Setelah menyertai Umno Nakhaie dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah MALAYSIA (Yadim) pada 1999 dan bersara pada 2009.

Sambungnya lagi, ketika di dalam Umno beliau masih lagi mengamalkan berjimat cermat walaupun memperoleh elaun ketika berkhidmat di bawah Yadim.

"Semasa dalam Umno saya berjimat dari elaun bekerja di Yadim selama 10 tahun dan dapat kumpul RM400 ribu yang saya guna untuk bina rumah yang ada sekarang.

"Itulah habuan saya menyertai politik selama 39 tahun. Banyak orang kata saya bodoh tak ambil kesempatan.

"Ya!...saya memang bodoh kerana tidak ambil kesempatan mengumpul kekayaan.

"Macam mana saya nak ambil kesempatan kerana jika saya pakai RM10 sahaja pun, duit itu bukan hak saya, kerana saya dah tak boleh tidur sehingga saya terpaksa ganti kembali duit yang saya pakai itu.

"Sebab itu saya tak pernah urus kewangan semasa bertugas di Yadim.Biarlah saya jadi bodoh dari tak dapat tidur," ujarnya.

Nakhaie pernah dilanda krisis apabila didakwa kononnya memperalatkan Yadim untuk memungut harta dan makan rasuah sehingga beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana dua laporan telah dibuat ke atasnya.

Nakhaie kini yang berusia 75 tahun turut menceritakan bagaimana beliau diberikan RM1000 oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Mohamad Rahmat (Allahyarham) untuk bertugas ketika Pilihan Raya Kecil Merlimau.

"Masa berkerja di pejabat Umno saya minta wang daripada Datuk Mohamad Rahmat untuk bertugas dalam PK Merlimau.

"Dia bagi saya RM1,000.Saya rasa dah banyak sangat dah. Ada yang beritahu saya buat apa minta sikit sangat. Saya kata sekadar nak belanja kawan-kawan minum. cukup la tu. Lagi sekali dia orang kata saya bodoh.

"Saleh Ya'kub Baling kata pada saya... ustaz buka pondok dah la. Sekarang dunia dah berubah. Dalam Pas pun sudah ada cerita wang berjuta.

"Dulu makan nasi bungkus sekarang tiada lagi.Dulu tidur berbantal lengan di surau sekarang hotel-hotel mewah. Itu dulu. Dulu lain sekarang lain.

"Perjuang orang dahulu menghidupkan yang sekarang sebaliknya, perjuangan sekarang dengan segala kemewahan meruntuhkan yang dibina oleh orang terdahulu.

"Kita semua akan mati dan akan dibangkit dengan niat dan amalan masing-masing.

"Jika tak malu kepada Allah buatlah apa sahaja yang disukai," ujarnya.

Tiada ulasan: