"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semangat asal perjuangan PAS sudah mati, kata Husam

Mohamad Fadli
KUALA LUMPUR: Datuk Husam Musa menyifatkan kematian bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 2 tahun yang lalu sebagai kematian bersama idea perjuangan PAS yang asal.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, sikap mesra PAS dengan Umno sekarang jelas berbeza dengan sikap PAS sebelum ini yang saling bermusuhan.

“Kematian Nik Aziz bukan sahaja kematian dirinya yang bernama Nik Aziz, tetapi permulaan era baru hala tuju PAS dan penghakisan pendekatan dan pemikiran politik Nik Aziz dari PAS.

“Apabila PAS memperkenalkan slogan baru iaitu budaya politik matang dan sejahtera, secara tak langsung PAS mengisytiharkan pendekatan politik ketika Nik Aziz menerajui PAS sebagai tidak matang,” kata beliau di Seminar Pemikiran Nik Aziz di Auditorium Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Amanah secara rasmi mengumumkan pelantikan Husam sebagai naib presidennya berkuat kuasa hari ini.

Husam, bekas setiausaha akhbar Nik Aziz ketika pemimpin itu menjadi menteri besar Kelantan, menyifatkan perkembangan PAS itu sebagai cubaan parti berkenaan meninggalkan cara pemikiran tokoh itu.

Husam juga percaya perjuangan beliau dan rakan-rakan lain bersama Amanah, selain bekerjasama dengan seteru Nik Aziz iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menewaskan Barisan Nasional (BN) ‘direstui’ pemimpin berkenaan.

Beliau juga percaya jika hayat Nik Aziz masih panjang, beliau yakin bekas mursyidul itu akan menjadi orang pertama yang akan duduk bersama bekas perdana menteri itu.

“Kali terakhir Nik Aziz bertembung dengan Dr Mahathir selain enakmen jenayah syariah adalah kenyataan Dr Mahathir supaya Nik Aziz balik duduk mengajar di pondok. Nik Aziz jawab kemudian, suruh tinggalkan jawatan perdana menteri dan jaga klinik.

“Sejak itu, saya lihat Dr Mahathir nampak logik Nik Aziz sebagai ‘tajam’, maka tak ada lagi main-main.

“Jika Nik Aziz ada lagi pada hari ini, sudah tentu beliaulah orang pertama akan duduk dengan Tun Mahathir, berceramah keliling seluruh negara untuk membebaskan Malaysia.

“Apabila saya lihat Mohamad Sabu duduk dengan Dr Mahathir, maka saya lihat inilah mewakili Nik Aziz,” katanya.

Tiada ulasan: