"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Abduh anggap Umno dan Pas dapat markah, Pakatan Harapan kosong

ARIF ATAN

Selepas menyiarkan wawancara Presiden Pas Utusan Malaysia semalam menampilkan pula Nik Abduh

Tampil mengisi lebih separuh halaman Utusan Malaysia semalam, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menganggap partinya dan Umno mempunyai kelebihan berbanding Pakatan Harapan jika berlaku pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Dalam situasi sekarang Pas dapat satu (markah), Umno dapat satu dan Pakatan Harapan kosong. Mungkin Umno akan rasa lega kerana pertandingan dua penjuru tidak berlaku, itulah yang mereka harapkan supaya pakatan pembangkang pecah.

"Pas pula mendapat markah apabila Umno terpaksa berlembut dalam isu agama. Mereka (Umno) hari ini telah menunjukkan sikap yang lebih baik berbanding sebelum ini terutama ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad," ujarnya dalam wawancara itu.

Nik Abduh turut menyalahkan DAP kononnya menjadi punca perpecahan kesepakatan parti pembangkang sekaligus mengundang pertembungan tiga penjuru walaupun Pas, tambahnya, telah berusaha untuk mengelak situasi itu berlaku.

"DAP keras dengan sikapnya yang tidak boleh kita terima, jadi di situ markah dia pada Umno," dipetik daripada halaman 11 akhbar pro-Umno-BN itu.

Menyentuh era Mahathir, beliau berpendapat suara politik Islam ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri itu ditekan begitu kuat sehingga menakutkan rakyat untuk mendekati Pas.

"Pimpinan Pas kini boleh hadir dalam program-program kerajaan, diberi ruang bercakap di televisyen dan akhbar," ujarnya yang sebelum diwawancara dilihat oleh wartawan terbabit dari muka pintu Masjid Pulau Melaka membaca al-Quran selama 30 minit.

Sekalipun tarikh pembubaran Parlimen masih belum diketahui, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menganggap Pas telah menjuarai PRU14.

"Pakatan Harapan hanya harapkan menang Putrajaya, itu sahaja. Mereka tidak harapkan dakwah Islam kecuali mereka hendak jatuhkan Umno, menang Putrajaya.

"Oleh itu, tekanan adalah kepada Pakatan Harapan, jadi mereka mula menyalahkan orang lain termasuk Pas.

"Saya ada sebut dalam ucapan dan tulisan saya bahawa sebelum PRU14 ini Pas sudah menang, Pas sudah dapat satu kemenangan yang ditunggu-tunggu dan kita harap kalau kekal ini adalah terbaik untuk agama Islam," dipetik daripada wawancara itu lagi.

Tiada ulasan: