"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas kabinet baru, laluan Pas-Umno lebih mudah di Selangor?

AHMAD LUTFI OTHMAN

Mustafa dan Iskandar yang pro pembangkang terpinggir dalam kabinet baru Pas.
Politik di Selangor memang menarik tetapi saya tidak bercadang mengulasnya -- selepas menulis tentang situasi di Kedah, Johor dan Perak -- sehinggalah muktamar tahunan Pas baru-baru ini mengambil ketetapan sebulat suara untuk memutuskan hubungan dengan KeADILan.

(Sebenarnya saya lebih berminat untuk membuat tinjauan di Kelantan, dengan membayangkan kemungkinan berlaku arus perubahan pada akar umbi, selain keistimewaan faktor Husam Musa dan kesediaan Parti Amanah Negara untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada Pas, yang memerintah sejak 1990).

Dalam muktamar 2015 di Kuala Selangor, Pas meluluskan usul -- tanpa bahas -- menamatkan kerjasama politik dengan DAP, ekoran resolusi muktamar Dewan Ulama, seterusnya menguburkan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun Parti Islam itu kekal dalam kerajaan negeri Selangor, dengan tiga Adunnya dilantik anggota exco, kerana, antara lain, masih ada hubungan dengan KeADILan.

Majoriti lebih besar

Dalam PRU13, Pakatan Rakyat menang besar dengan majoriti lebih dua pertiga, iaitu 44 kerusi Dun (KeADILan, 14; Pas, 15; DAP, 15). Berbanding pilihan raya 2008, prestasi Pas melonjak hampir dua kali ganda, KeADILan kurang satu dan DAP menambah dua kerusi. Bagaimanapun atas persefahaman bersama tiga parti, wakil KeADILAN tetap dilantik menteri besar.

Dalam PRU1999, Pas sudah menunjukkan keupayaannya sebagai pembangkang utama di Selangor apabila menguasai empat kerusi Dun, manakala KeADILan dan DAP masing-masing satu. Adun Pas Sungai Burong, Dr Hasan Ali dilantik ketua pembangkang dan berjaya menggegarkan sidang Dewan Negeri dengan isu salahguna kuasa MB Dr Khir Toyo.

Sebenarnya hubungan dingin di antara Pas dan KeADILan ini sudah dikesan sejak lama. Ya, bukan mudah untuk memastikan kerjasama politik kedua-dua parti yang tertumpu kepada konstituensi hampir sama, iaitu kerusi majoriti pengundi Melayu. (Ia juga terjadi dalam BN dahulu, antara Pas dan Umno, yang hanya bertahan dalam satu pilihan raya, 1974). Maka berlakulah pertandingan melibatkan pertembungan sesama sendiri calon Pas dan KeADILan, di beberapa kerusi Dun, khususnya pada 2013, menyebabkan Umno memperolehi keuntungan besar.

Lebih sukar bertahan 

Hubungan Pas dan PKR telah diputuskan oleh muktamar, namun apa yang akan dibuat oleh Majlis Syura untuk mengurangkan kesan buruk kepada Pas.
Saya secara peribadi pernah meramalkan hubungan Pas-KeADILan lebih sukar dipertahankan berbanding persefahaman Pas-DAP. Ini kerana kerusi tumpuan Pas tidak bertindan dengan DAP, walaupun dari segi dasar perjuangannya cukup berbeda. Malangnya, rakaman sejarah menunjukkan tanggapan saya meleset.

Kematangan dan pengalaman kepemimpinan kedua-dua parti juga meyakinkan saya bahawa hubungan unik itu tidak mudah retak, apatah lagi untuk putus terus, sehingga dianggap musuh utama pula! Saya teringat pertemuan pada bulan Ramadan 2010 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), dengan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Waktu itu, saya masih uzur selepas beberapa bulan menjalani operasi pembedahan jantung.

Setiausaha Agung DAP itu memberitahu saya, beliau yakin hubungan baik antara Pas-DAP mampu dipertahankan sekurang-kurangnya jika masih ada dua tokoh, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Lim Kit Siang.

"Kedua-duanya berkongsi susah-senang bersama, terutama berdepan tindakan keras dan zalim Umno-BN. Mereka tahu betapa sukarnya untuk kita bekerjasama dan tentu sekali tidak mudah untuk membiarkannya putus," kata Guan Eng, sementera menunggu pesawat ke Pulau Pinang, sambil menasihatkan saya menjaga kesihatan "agar dapat bersama membantu Pakatan Rakyat berdepan PRU13".

Keluar BA tapi tetap berkawan 

Perselisihan pada 2001, yang membawa DAP keluar Barisan Alternatif tidak seteruk sekarang apabila Pas-DAP masih menjalin hubungan tidak rasmi dan di sesetengah negeri kerjasama terus berjalan baik.

Selagi parti-parti pembangkang utama bercakaran, dan terus berbalah atas perbedaan masing-masing, Umno-BN boleh tidur lena. Keupayaan elit pemerintah mengekalkan kuasa lebih difaktorkan oleh perpecahan sesama oposisi, berbanding prestasi baik kerajaan.

Dan hanya berpunca daripada faktor remeh-temeh atau sengaja dimanipulasi seteru politik, tanpa pengurusan konflik dalaman yang berkesan, gabungan pembangkang boleh terburai dengan senang. Apatah lagi bagi strategis BN, survival kuasa hanya boleh dipertahankan jika persefahaman dua parti berlainan kutub, iaitu Pas-DAP, dapat dipisahkan kembali.

Dalam konteks Selangor, apakah sekiranya Pas menarik diri susulan keputusan muktamar di Kota Sarang Semut, Kedah, kerajaan negeri boleh ditumbangkan? Saya kira Majlis Syura Ulama Pas tidak mempunyai pilihan selain menurut usul yang dipersetujui itu. Ruang yang ada kepada mereka hanyalah menentukan bila ia akan dikuatkuasakan; satu pertimbangan strategi politik dan bukan lagi soal hukum-hakam.

Nilai-tambah buat Amanah

Amanah pimpinan Izham Hashim kini mempunyai peluang cerah di Selangor.
Banyak pihak berpendapat, sukar bagi wakil-wakil Pas mengosongkan beribu-ribu jawatan politik di Selangor, bukan hanya atas kepentingan peribadi, tetapi ia akan memberi nilai-tambah yang besar kepada saingan utamanya, iaitu Parti Amanah Negara. Ia boleh dianggap satu bonus tambahan kepada Amanah yang cukup bermakna menjelang PRU14.

Secara umum, Amanah akan diberikan kepercayaan mewakili Pakatan Harapan, di kawasan-kawasan yang pernah ditandingi Pas. Pada 2013, Pas menang 15 daripada 21 kerusi Dun. Dengan kehadiran satu lagi parti baru, Bersatu, dipercayai Amanah akan memberi laluan kepadanya, terutama di kerusi yang Pas kalah ataupun di kawasan majoriti pengundi Melayu, khususnya di sekitar Tanjong Karang, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

"Ramai tokoh Pas Selangor yang dikenali ramai dulu kini menyertai Amanah. Saya percaya majoriti penyokong Pas di negeri ini, yang bersikap terbuka, juga tidak bersetuju bukan saja dengan keputusan tamat hubungan DAP, malah menentang tidak bekerjasama dengan KeADILan. Secara senyap mereka ini menyokong Amanah," kata seorang pensyarah politik.

"Dan Amanah akan makin mantap dan diperkukuhkan jika kerajaan negeri Pakatan Harapan benar-benar tertegak di Selangor. Sekarang, seolah-olah tidak wujud Pakatan Harapan di Selangor, " tambahnya.

Banyak kerusi bakal kalah 

Menurut analisis sebuah akhbar Cina, Oriental Daily, daripada 15 kerusi yang dimenangi Pas itu, lapan Dun atas sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Chempaka, Meru, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

Malah di beberapa kerusi lagi, misalnya, Sabak, Gombak Setia, Selat Kelang, Sijangkang, majoriti kemenangan calon BN adalah kecil berbanding jumlah pengundi bukan Melayu. Dalam situasi imej Pas dilihat negatif pada kacamata masyarakat bukan Islam, kemungkinan untuk mempertahankan kerusi berkenaan juga sukar, jika mereka menarik balik sokongan.

Pada awalnya, peluang BN untuk kembali berkuasa jika berlaku pertandingan tiga penjuru agak terbuka. Namun, faktor kehadiran Bersatu dan penubuhan Amanah meranapkan impian itu, apatah lagi sentimen kepembangkangan dan anti-BN begitu terasa di Selangor, negeri termaju, pesat dengan proses perbandaran, sekali gus terdedah dengan informasi.

Sentimen anti-BN 

Penganalisis politik yang banyak membuat kajian pendapat awam, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, aritmetik mudah menunjukkan PAS akan mengalami lebih banyak kekalahan jika mereka meninggalkan pakatan pembangkang di Selangor pada PRU14.

"Di atas kertas, dengan sentimen anti-BN masih kuat di Selangor. Pembangkang hanya akan memperoleh majoriti lebih kecil dalam kerajaan. Saya menjangkakan DAP dan KeADILan mengekalkan 14 kerusi mereka tetapi Pas akan mengalami penurunan kepada separuh," ujarnya kepada sebuah portal berita.

Rakyat Selangor juga tentunya masih belum lupa dengan pentadbiran BN di bawah Khir Toyo. Pelbagai salahlaku dan kes korupsi dibongkar. Di peringkat lokal, masyarakat tempatan melihat wakil-wakil rakyat BN mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri dan kroni, terutama melalui projek-projek pembangunan yang rancak berjalan. Sementalahan pula, kerajaan Pakatan melancarkan banyak skim peduli rakyat, yang membawa keuntungan untuk dinikmati bersama.

Sekadar penglipurlara 

Khabar angin bertiup kencang. Kerajaan pimpinan Azmin Ali mungkin tumbang disebabkan gabungan baru Umno-BN, Pas dan dua Adun Bebas, ditambah beberapa Adun KeADILan yang dijangka melompat. Saya tidak menganggapnya sebagai berita yang mengejutkan, sekadar penglipurlara atau jenaka hujung minggu. Dan tiada sebarang petunjuk bahawa MB Azamin gelabah dengan cerita dongeng itu.

Situasi di Selangor sekarang jauh berbeda dengan keadaan di Perak pada 2009, yang menyebabkan kerajaan pimpinan Nizar Jamaluddin tumbang, walaupun menyedari dalam politik segalanya serba mungkin. Pergolakan politik ekoran usaha menyingkirkan Khalid Ibrahim, Ogos 2014, dilihat lebih kritikal berbanding sekarang. Namun Adun Hulu Kelang, Saari Sungib cepat-cepat memadamkan khabar angin wakil-wakil Pas akan bersama Umno dan Khalid ketika itu, yang akhirnya menyebabkan beliau dan Adun Morib dilabelkan sebagai barua dan pengkhianat.

Selain itu, bersediakah Pas mengambil risiko besar, yang bakal memusnahkan sisa-sisa reputasinya yang masih berbaki? (Selangor merupakan antara lima negeri sasaran dalam PRU14). Kecenderungan masyarakat di Selangor juga ketara, yakni berpatah arang dengan Umno-BN, apatah lagi dalam suasana skandal besar menyelubungi Perdana Menteri Najib Razak dan suvey menunjukkan populariti MB Azmin melonjak 62 peratus.

Lebih dipercayai Adun Pas keluar 

Malah, jika Umno dan Pas cuba untuk berkonspirasi menumbangkang kerajaan Selangor, saya percaya beberapa Adun Pas akan isytihar keluar parti, termasuk bekas Pesuruhjayanya yang tidak dilantik semula, Iskandar Samad, yang juga Exco Kanan kerajaan negeri dan Naib Presiden parti yang terpilih buat kali kedua dalam muktamar lalu.

Di atas kertas, Iskandar yang dilihat berfikiran terbuka dan cenderung kepada persefahaman dalam grand coaltition pembangkang. tidak dilantik ke posisi strategik itu atas alasan agar beliau dapat memberi tumpuan kepada jawatan baru, iaitu untuk memantau negeri-negeri selatan tanahair, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bagaimanapun ramai pemerhati politik beranggapan ia satu deraan di atas sikapnya yang kurang serasi dengan pendekatan Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Selangor juga dilihat kubu kuat aliran keras dalam Pas walaupun banyak manfaat diperolehi ketika berkongsi kuasa bersama DAP dan KeADILan, terutama dengan menguasai masjid dan surau, serta 5,000 lantikan politik lainnya.

Dikhabarkan, Iskandar juga pernah menempelak pimpinan kanan Pas yang dilihat cuba mempengaruhi hal ehwal kerajaan Selangor dengan pendekatan Pantai Timur yang tidak sesuai dengan suasana di negeri termaju itu.

Nasib Iskandar sama Khalid Samad

Hubungan Iskandar dan Khalid Samad agak baik di Selangor.
Menurut Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, keputusan Pas tidak melantik semula Iskandar itu sekali gus mencerminkan sikap Pas untuk tidak bersama-sama dengan Amanah, DAP, KeADILan dan Bersatu pada PRU14.

"Ia juga menggambarkan Pas sudah hampir pasti tidak akan bersama Pakatan Harapan pada PRU14 kelak. PJ yang baharu dilihat akan memastikan calon-calon 'all president's men' dalam pilihan raya yang semakin hampir," tegasnya kepada Malaysia Dateline.

Malah, dalam mesyuarat Pas Selangor sebelum ini, Iskandar dikritik keras disebabkan pendekatan politiknya yang agak sederhana. Menurut sumber, nasib Iskandar yang dilabelkan pelbagai istilah negatif seolah-olah mengulangi bekas pimpinan Pas negeri itu yang terdahulu, misalnya bekas PJ Dr Abd Rani Osman dan Khalid Samad.

Kes Muastafa Ali 

Begitu juga dengan kes yang menimpa strategis utama Pas, Mustafa Ali. Dengan perlantikan Ketua Pengarah Pilihan Raya yang baru menggantikan Mustafa, dipercayai sudah tertutup harapan kemungkinan ada persefahaman di antara Pas dan Pakatan Harapan dalam PRU14.

"Hubungan baik Ustaz Hadi dan Mustafa adalah cerita lama yang menarik. Bukan hal baru Ustaz Hadi seperti mahu menjarakkan diri dengan Mustafa, yang nampaknya punya pendekatan lebih realistik. Banyak keputusan penting Pas tidak lagi dirujuk dengan Mustafa. Walaupun Mustafa juga menganggap Amanah sebagai seterus Pas yang mesti ditumpaskan segera, tetapi dia bersikap terbuka kepada KeADILan dan Bersatu," kata sumber.

Oleh itu tidak pelik apabila ramai beranggapan perkembangan pasca muktamar lebih mendorong kerjasama atau persefahaman politik di antara Pas-Umno. Namun begitu, ia tidak menjanjikan hamparan permaidani merah kerana dipercayai penyokong dan aktivis akar umbi tetap beranggapan Umno-BN sebagai seteru politik selamanya tidak boleh dipercayai, terutama semasa masih memegang teraju kuasa.

Dengan perkembangan ini, bukan sahaja Selangor mungkin kekal dalam genggaman Pakatan Harapan, malah hasrat Pas untuk mempertahankan Kelantan dan merebut beberapa negeri itu dijangka tidak kesampaian. Bibit-bibit menunjukkan Pas terpaksa memikul "biawak hidup" seperti tidak dapat dielakkan lagi!

Tiada ulasan: