"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seruan pemimpin PAS supaya ahli-ahlinya berhimpun di Wisma Tok Guru adalah provokasi, Amanah buat laporan Polis

AMANAH Kubang Kerian lapor polis provokasi Pas
AMANAH Kubang Kerian lapor polis provokasi Pas
ZIKRI ABDULLAH
Tindakan Pas Kelantan berhasrat memasuki Wisma Tok Guru pada 16 November seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar kelmarin dianggap satu provokasi.

Ketua AMANAH kawasan Kubang Kerian, Fauzi Mohamad petang semalam membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut.

Menurutnya, kenyataan yang telah dibuat oleh Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mengerah ahli-ahli Pas supaya berhimpun beramai-ramai pada tarikh tersebut tidak harus dipandang ringan.

“Perbuatan ini adalah satu tindakan provokasi yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan mencetuskan huru-hara.

“Tindakan Pas ini adalah tindakan pramatang serta mendahului proses perundangan kerana hartanah tersebut masih lagi terlibat dengan pertikaian mahkamah di mana kesnya masih lagi dalam perbicaraan di kedua-dua mahkamah syariah dan sivil,” katanya dalam laporan polis yang diserahkan di balai polis Kubang Kerian itu.

Tanah tapak Wisma Tok Guru katanya, masih dalam prosiding Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, kes mal bil. 03100-099-0269-2017.

“Manakala berkenaan tuntutan sivil pula pihak peguam cara dalam proses memulakan tindakan di Makamah Tinggi Kota Bharu bagi mendapatkan satu perintah injunksi dan mengekalkan status quo berkait dengan kedudukan hartanah tersebut sehingga proses undang-undang berakhir diputuskan oleh pihak mahkamah,” katanya.
.
Menurutnya, adalah tidak wajar pihak Pas mengambil apa-apa tindakan yang boleh mengganggu proses keadilan di Mahkamah Syariah mahupun di Mahkamah Sivil.

“Secara perundangannya tiada kaitan antara Pas dan hartanah terbabit kerana tanah tersebut adalah atas penama pihak ketiga.

“Pas tidak pernah dinamakan sebagai benefisiari dalam pendaftaran hartanah tersebut.

“Tindakan tersebut jelas membelakangi undang-undang Malaysia dan merupakan satu provokasi yang boleh mencetuskan pecah keamanan, huru-hara dan pergaduhan,” katanya.

Fauzi berharap laporan polis itu diambil perhatian dan tindakan supaya satu penyiasatan dimulakan bagi mencegah sebarang kejadian buruk daripada berlaku.

Turut bersama Fauzi membuat laporan itu adalah Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Yusuf serta sekumpulan ahli AMANAH kawasan Kubang Kerian.

Tiada ulasan: