"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pegawai kanan tentera ikrar lindungi Dr Mahathir

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Sebuah kumpulan veteran tentera berikrar memberi perlindungan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan keputusan kerajaan menarik balik perkhidmatan pengawal peribadinya.

Persatuan Patriot Kebangsaan (PPK) berkata mereka komited untuk memastikan tiada bahaya fizikal yang akan menimpa Dr Mahathir pada bila-bila masa, dan menggesa semua yang mendakwa diri mereka patriot memberikan komitmen sama.

“Seseorang tidak boleh menjadi ‘patriot’ bangsa jika dia tidak mempedulikan pemimpin negara yang telah berkhidmat kepada rakyat, negara dan pemerintah Malaysia.

“Sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada kesejahteraan peribadi Dr Mahathir, ahli PPK akan menyalahkan sepenuhnya kepada kepimpinan negara dan penjaga undang-undang dan ketenteraman, dan akan menuntut siasatan bagi mendedahkan kegagalan kerajaan hari ini,” kata Presiden PPK, Brig-Jen (Bersara) Datuk Mohamed Arshad Raji.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan penarikan balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) Dr Mahathir.

Putrajaya turut menamatkan kontrak tukang masak dan pembantu rumah di pejabatnya.

Tahun lalu, khidmat polis trafik mengiringi perjalanan Dr Mahathir ditamatkan, dengan alasan beliau menyertai perhimpunan yang bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

Dr Mahathir, yang mentadbir negara dari 1981 hingga 2003, merupakan perdana menteri Malaysia paling lama berkhidmat. Beliau keluar Umno tahun lalu dan kini mempengerusikan pakatan pembangkang melalui Pakatan Harapan.

Arshad berkata keputusan menarik balik pengawal peribadi Dr Mahathir adalah bersifat “amatur, tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah dan jelas merendahkan martabat”.

“Saya tidak fikir rakyat Malaysia yang patriotik mahu melihat bekas pemimpin yang mereka dihormati dan dihargai, yang menjadikan Malaysia lebih baik, dilayan dan dimudaratkan dalam keinginannya yang tinggi untuk perubahan kepimpinan negara sekarang.

“Pemimpin dunia memandangnya dengan penuh hormat, dan Malaysia pernah dipandang tinggi semasa kepimpinannya. Semasa kemelesetan dunia pada 1998 yang turut merebak ke Asia Tenggara, tindakan Dr Mahathir yang menyelamatkan ekonomi kita.

“Tidak kira bagaimana beliau hari ini, lelaki yang begitu tegas menentang kerajaan pemerintah sekarang kerana alasan yang kita semua tahu, beliau pastinya tidak layak menerima layanan yang tidak bertanggungjawab oleh kerajaan.”

Melihatkan pelbagai perkhidmatan yang ditarik balik, Arshad persoal apa lagi yang akan diambil.

Tiada ulasan: