"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Sabu, Mujahid dan Faiz Fadzil akan bertanding di Pulau Pinang

Radzi Razak
SEKURANG-KURANGNYA tiga pemimpin kanan Amanah, termasuk Presiden, Mohamad Sabu, akan bertanding di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata sumber.

Mohamad Sabu akan bertanding di salah satu daripada tujuh kerusi Parlimen di Seberang Perai, manakala Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa pula akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian pulau.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil pula dijangka bertanding di kerusi DUN di Seberang Perai.

Daripada tujuh kerusi parlimen yang ada di Seberang Perai, hanya dua dipegang oleh Barisan Nasional (BN) iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor, sementara lima lagi disandang oleh PKR atau DAP.

"Langkah meletakkan tiga pemimpin kanan Amanah bertanding di Pulau Pinang ialah kerana pengaruh parti itu yang kuat di negeri itu," kata sumber yang arif tentang rundingan pengagihan kerusi Pakatan Harapan itu.

Menurut sumber, Mujahid akan bertanding kerusi DUN Bayan Lepas, yang terletak dalam kawasan Parlimen Balik Pulau.

Faiz pula dijangka bertanding di kerusi DUN Permatang Pasir, dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, kerusi DUN Bayan Lepas dimenangi Nordin Ahmad dari BN dengan majoriti tipis 458 undi. DUN Permatang Pasir pula dimenangi Mohd Salleh Man dari PAS dengan majoriti 6,826 undi.

PH yang memerintah Pulau Pinang sejak dua penggal lepas, menguasai 30 daripada 40 kerusi negeri.

Penetapan Mohamad bertanding di Pulau Pinang, negeri kelahirannya, akan menjawab teka teki yang beliau akan diturunkan di Shah Alam, menggantikan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang sebelum ini disahkan akan berpindah ke Johor.

Kelmarin, Khalid berkata PH sudah menyelesaikan 90% rundingan kerusi Parlimen dan baki 10% itu akan selesai dibincangkan akhir bulan ini.

Katanya, kedudukan kerusi Parlimen itu akan membantu pimpinan PH negeri berunding kerusi peringkat negeri.

Mujahid, ahli Parlimen Parit Buntar, dan Faiz, seorang peguam, adalah anak kepada dua pemimpin lagenda PAS yang memimpin parti Islam itu pada dua era yang berbeza.

Ayah Mujahid, Yusof Rawa merupakan presiden PAS (1983-1989) yang menerajui parti Islam itu selepas krisis kepimpinan yang menyaksikan kebangkitan golongan ulama menyingkirkan bekas Presiden Asri Muda. Yusof kemudian menjadi Mursyidul Am PAS yang pertama antara 1989 hingga 2000.

Faiz pula adalah anak kepada Fadzil Noor, yang menjadi presiden PAS menggantikan Yusof pada 1990. Fadzil menjadikan PAS sebuah parti Islam yang progresif dan seterusnya bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain, termasuk DAP yang berlainan ideologi.

Kerjasama dengan Semangat 46 dan parti-parti kecil lain pada Pilihan Raya 1990 membolehkan PAS merampas Kelantan daripada BN, negeri yang dikuasainya sehingga sekarang.

Beliau juga memimpin PAS untuk bekerjasama dengan DAP, PKR dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam Barisan Alternatif pada Pilihan Raya 1999 ketika era Reformasi selepas Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan BN.

Dalam pilihan raya itu, PAS dan Barisan Alternatif mengekalkan Kelantan dan menawan Terengganu, serta mula bertapak di beberapa kawasan di Kedah dan Perak.

Tiada ulasan: