"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Interpol tolak arahan tangkap Zakir Naik

Interpol tolak arahan tangkap Zakir Naik
Menerusi mesej video, Dr Zakir Naik mengalu-alukan keputusan Interpol itu dengan berkata beliau berasa lega, tetapi akan lebih lega sekiranya kerajaan dan agensi India berinya keadilan dan membersihkan namanya atas semua dakwaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2017.

INTERPOL membatalkan notis arahan merah terhadap pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik pada Sabtu lalu, tetapi Agensi Penyiasatan India (NIA) berkata ia akan memfailkan permohonan baru tidak lama lagi.

New Delhi Television Ltd melaporkan notis merah yang difailkan pada Mei itu ditolak Interpol atas alasan polis India tidak memfailkan seberang tuduhan rasmi terhadap Zakir.

Oktober lalu, NIA hanya memfailkan kertas pertuduhan terhadap Zakir, yang dikatakan bersembunyi di Malaysia kerana didakwa menghasut anak-anak muda menjalankan kegiatan keganasan dan memberi ucapan berunsur kebencian.

"Suruhanjaya mendapati, pada peringkat prosiding ini, arahan notis merah untuk menangkap pemohon bagi ekstradisi beliau adalah pramatang," Suruhanjaya bagi Kawalan Fail Interpol dilaporkan berkata dalam keputusan pada Oktober.

Sementara itu, jurucakap Zakir mendakwa penolakan notis merah itu disebabkan kekurangan bukti, kegagalan pihak berkuasa India mematuhi undang-undang dan kecenderungan politik dan agama.

“Interpol telah membatalkan notis amaran merah ke atas Zakir dan mengarahkan pejabat seluruh dunia memadam segala data mengenai Zakir.

“Termasuk alasan kecenderungan politik dan agama,” kata jurucakap Zakir kepada portal India berbahasa Inggeris, Times Now.

“Interpol menegaskan terdapat kekurangan bukti, kegagalan pihak berkuasa India untuk menuruti proses perundagan, kecenderungan politik dan agama selain kurang kepentingan antarabangsa.”

Menerusi mesej video, Zakir mengalu-alukan keputusan Interpol itu dengan berkata: " Saya berasa lega, tetapi akan lebih lega sekiranya kerajaan dan agensi India beri saya keadilan dan membersihkan nama saya atas semua dakwaan."

Sebelum ini peguam Zakir, Shaharudin Ali berkata tidak menerima sebarang permintaan dari India untuk mengekstradisi pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, berdasarkan surat dari Jabatan Peguam Negara (JPN).

Menurut Shaharuddin, surat JPN itu mengesahkan tiada sebarang arahan diterima dari kerajaan India mengenai ekstradisi Zakir yang memiliki status penduduk tetap di negara ini.

Manakala jurucakap Kementerian Luar India, Ravessh Kumar dalam reaksinya terhadap pembatalan tangkap Zakir berkata, mereka perlu melalui proses undang-undang dalam negeri terlebih dahulu bagi proses ekstradisi dari negara lain.

Beliau berkata pihak sudah hampir menyelesaikan proses tersebut dan akan membuat permohononan rasmi kepada kerajaan Malaysia.

“Kita hampir menyelesaikan proses perundangan dalam negara dan apabila ia selesai kami akan buat permohonan rasmi kepada kerajaan Malaysia berhubung perkara tersebut.”

Dalam rayuannya kepada Interpol, Zakir didakwa menulis bahawa agensi di India menyasarkannya secara tidak adil, hanya kerana dia beragama Islam, dan berkata semua ucapannya hanya menganjurkan keamanan dan dia menafikan terbabit mempromosikan keganasan atau jihad.

Zakir berkata dia menyampaikan ceramah Islam sejak 25 tahun lalu di beberapa negara, di mana dia dihormati dan dialu-alukan.

Katanya, agensi India melanggar hak kebebasannya untuk bersuara dengan mengharamkan NGO Islamic Research Foundation (IRF) yang diasaskan dan menghalangnya berceramah mengenai Islam.

Pada 8 November, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Zakir akan dihantar pulang jika kerajaan India memohon ekstradisi.

Katanya, Zakir juga tidak melanggar undang-undang atau melakukan kesalahan di Malaysia.
-themalaysianinsight

Tiada ulasan: