"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semua orang menderita apabila Umno, PAS berpakat’

Nurul Azwa Aris

PETALING JAYA: Ahli sosiologi Prof Syed Farid Alatas berkata sebarang kerjasama antara Umno dan PAS yang membawa kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang akan memberi kesan buruk kepada segenap lapisan masyarakat, dan bukan sahaja bukan Islam.

Prof Syed Farid Alatas dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) adalah tidak benar tanggapan yang hanya umat Islam berfikiran “liberal” sahaja akan menderita.

“Tanggapan perkara ini masalah orang Islam dan orang bukan Islam atau masalah sekular-liberal melawan orang Islam pelampau adalah salah,” katanya diminta mengulas pandangan diutarakan East Asia Forum, sebahagian daripada wacana di bawah Universiti Kebangsaan Australia (ANU).

Beliau berkata banyak permasalahan yang dihadapi negara memberi kesan ke atas segenap masyarakat Malaysia, “sama ada kamu kononnya liberal, pelampau, Kristian, Buddha atau Hindu”.

Dalam artikel diterbitkan East Asia Forum baru-baru ini, ia meramalkan pemerintahan BN akan kekal bagi tahun-tahun akan datang sekiranya pakatan Umno-PAS berjaya.

Menurutnya, perkembangan itu berita buruk buat orang bukan Islam dan orang Islam liberal kerana Umno akan terpaksa tunduk kepada kemahuan parti Islam itu.

“Umno tahu permainan itu – ia boleh memerintah selama-lamanya selagi mana PAS mengizinkan. Umno takut pada kuasa pilihan raya dalam tangan PAS yang boleh digunakan terhadap Umno. PAS juga sedar perkara itu,” kata Clive Kessler dalam artikel itu.

“Itulah asas kerjasama mereka – kadangkala bersama, kadangkala tidak, tetapi sentiasa beriringan. Situasi itu memihak kepada PAS dan diterima baik oleh Umno.”

Farid mengingatkan sesetengah orang mengkritik Umno-BN yang didakwa tidak bersungguh melawan rasuah manakala ada pula yang mengkritik bagaimana Islam dipolitikkan oleh Umno dan PAS.

Beliau membidas pihak berkuasa agama di negara ini kerana “asyik bercakap mengenai khalwat atau hudud tetapi tidak pernah mengenai rasuah”.

Menurutnya, Islam memberi penekakan kepada usaha melawan rasuah dan mengeluh kerana hanya kumpulan sekular yang aktif menyeru amalan itu dihentikan.

Jika Umno dan PAS adalah pejuang Islam seperti yang didakwa, kata Farid, sudah tentu mereka akan memastikan isu rasuah menguasai perbahasan nasional.

Beliau menjangkakan kerajaan BN yang akan datang akan merumuskan dasar Islamisasi gaya PAS jika ia bekerjasama dengan parti Islam itu.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Maszlee Malik bagaimanapun meragui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan lebih menggunakan undang-undang syariah untuk menarik undi.

Beliau percaya Najib sedar orang ramai lebih memikirkan isu kualiti kehidupan, kos sara hidup yang tinggi, kualiti pendidikan dan keperluan menambah baik perkhidmatan awam.

Tiada ulasan: