"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar nyaris maut dihempap tembok batu berlogo Pas (Gambar)

PBT, Pas Kelantan tidak muncul ziarah pelajar dihempap tembok batu berlogo Pas
ARIF ATAN 
Selepas empat hari insiden seorang pelajar dihempap struktur batu berlogo Pas, pihak Majlis Daerah Bachok dan Pas Kelantan tidak muncul menziarahi mangsa yang terpaksa menerima rawatan di hospital.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan memberitahu struktur batu setinggi kira-kira satu meter itu menghempap Muhammad Alif, 12, yang sedang menunggu bas sekolah sejurus menunaikan solat Jumaat untuk pulang ke sekolah tahfiz Ulul Albab di Bachok, 19 Januari lalu.

Akibat binaan tanpa kerangka besi yang runtuh secara tiba-tiba itu, mangsa yang cedera dan patah kaki dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Sehubungan itu, Hazmi menggesa seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu membuang mana-mana struktur yang usang dan berisiko membahayakan keselamatan orang awam bagi mengelak kemalangan sama berulang.

“Saya dihubungi seorang rakan yang memaklumkan seorang pelajar berasrama di Bachok kerana dihempap papan tanda Pas.

“Sehingga kini pihak Majlis Daerah Bachok, Pas Kelantan dan Kawasan Bachok masih tidak datang melawat bertanya khabar atau menghubungi keluarga adik Muhammad Alif,” jelasnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, pihak keluarga mangsa juga difahamkan telah menghantar mesej memaklumkan kemalangan tersebut kepada Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary tetapi turut tiada maklum balas dan tindakan daripada pemimpin Pas berkenaan.

“Pihak keluarga masih belum membuat laporan polis. Saya bersama pihak keluarga adik Muhammad Alif akan berbincang dengan peguam bagi tujuan mengambil tindakan undang-undang jika pihak berwajib gagal untuk menemui keluarga mangsa,” tegas Hazmi lagi.
Runtuhan tembok batu yang dibina tanpa kerangka besi setinggi satu meter yang nyaris meragut nyawa seorang kanak-kanak.

Tiada ulasan: