"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Yang corot dan yang dominan dalam Pakatan Harapan Perak

DR MUHAIMIN SULAM 
BEBERAPA hari yang lepas, saya diajak untuk membaca sebuah posting dalam media sosial. Oleh kerana nama saya di’tag’ dalam postingnya, maka pintu ‘rumah’ saya diketuk berkali-kali. Khabarnya, ada ‘maklumat’ panas tentang Pakatan Harapan (PH) Perak.

Sudah beratus-ratus di’likes’, di’share’ dan kemudian disiarkan oleh akhbar politik di talian. Selanjutnya merebak menjadi bualan yang langsung tidak membina negara. Orang kampung kata ‘buang beras’.

Ia tentang pembahagian kerusi di kalangan PH di Perak. Tajuknya, ‘DAP mendominasi PH Perak. AMANAH pula di tempat corot’.

Headline atau tajuk berita itu sendiri mempunyai motif negatif dan mengajak pembaca mengikut acuan yang dikehendaki. Tajuk itu sudah ada unsur propaganda dan provokasi. Pemilihan terma ‘dominasi’ dan ‘corot’ bukan kebetulan tetapi adalah usaha pembenihan doktrin kepada pembaca. Manakala DAP dan AMANAH menjadi objek utama untuk ‘dikerjakan’ sebaik-baik yang mungkin demi kepentingan tertentu.

Memang jika dilihat dari ‘maklumat’ yang dihuraikan dalam tulisan itu dengan pemilihan terma propaganda dan provokasi tertentu, ia akan menguak emosi seketika. Sayangnya ‘maklumat’ yang dihuraikan itu adalah mentah dan lebih bersifat imaginasi. Elok renungi puisi Usman Awang yang bertajuk ‘Melayu’ yang berbunyi:

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Memang jika seseorang melihat dari segi kuantitatif dan berfikir selapis, cepat membuat rumusan bahawa 18 lebih besar daripada 15 dan 15 lebih besar daripada 10. Itu memang saya tidak menafikan rumusan sebegitu sekiranya diandaikan politik itu semata-mata matematik.

Politik itu logik. Politik itu rasional. Politik itu lebih kurang seperti menonton hikayat ringan sambil makan kunyah ‘pop corn’. Hoi! Politik tidak semudah itu untuk difahami dan difikirkan, kawan.

seni bergaul

Secara skema akademiknya, politik itu adalah suatu tatacara mempengaruhi sesuatu kelompok bagi mendapat kuasa untuk memerintah sesuatu kelompok, wilayah atau tempoh tertentu. Menurut Johannes Althusius politik itu adalah seni bergaul dengan manusia. Mao Tze Tung pula berkata, kuasa politik ditegakkan dengan kotak senjata dan Francis Bacon menyebut pula bahawa ilmu pengetahuan adalah kuasa. Bahkan ada berkitab-kitab menimbun menceritakan makna politik dan kuasa yang tak akan terkhatam oleh pemilik akal yang sendat dan singkat.

Aristotle mengajar kita tentang konsep manusia lahiriahnya sebagai haiwan politik. Mereka tinggal bersama atas sebab yang dipersetujui bersama bagi mencapai kehidupan yang sejahtera. Lalu terbentuklah budaya bermasyarakat yang memastikan segala tujuan kehidupan dapat tercapai. Wujudnya kelompok yang ditadbir dan pentadbir. Kedua-dua kelompok sama penting tetapi berbeza peranannya. Sekiranya pentadbir dikuasai iblis, mementingkan kelompok sendiri, itulah petanda kehancuran masyarakat. Masyarakat juga akan hancur jika golongan yang ditadbir bersikap mementingkan dirinya sendiri.

DAP dominan

Sejarah DAP dominan di Perak sebagai parti pembangkang bukanlah sejak dua tiga pilihan raya umum kebelakangan ini. Kerusi yang DAP bertanding di Perak adalah kerusi yang majoritinya pengundi majoriti bukan Melayu. Mengambil kira kemungkinan persempadanan semula dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, perkiraan tersebut mungkin sahaja boleh berubah. Tarikh penamaan calon masih jauh lagi. Ada seribu satu kemungkinan yang akan berlaku.

Kiranya dominasi DAP adalah suatu ancaman pada keamanan rakyat di Perak, apakah pengundi di Perak berani memilih DAP sebagai parti pilihan mereka? Mengapa pengundi di 18 Dewan Undangan Negeri (Dun) memberi sokongan kepada DAP dalam dua kali pilihan raya lalu? Apakah DAP menggunakan ilmu hitam sehingga pengundi tidak punya akal sihat untuk membuat keputusan yang waras?

DAP semakin dominan kerana ‘gerrymandering’ SPR telah menghimpunkan pengundi DAP dalam karung yang sama. Dalam kondisi kecenderungan pengundi Cina yang masih bersama pembangkang, DAP terus memiliki keistimewaan yang diperolehi dari sistem pilihan raya negara kita.

DAP dibiarkan dominan (dalam pembangkang) untuk kekal menjadi hantu bagi menakut-nakutkan pengundi yang miliki emosi melebihi akal. Saya fikir, DAP tidak selama-lama dijadikan hantu yang langsung tidak menguntungkan politik mereka.

landskap politik

Situasi landskap politik negara sudah banyak berubah. Politik perkauman dan sentimen keagamaan tidak lagi satu-satunya tiket untuk mendapat sokongan politik. Tanpa menafikan kedua-dua pendekatan masih wujud dalam masyarakat namun kadarnya sudah banyak terhakis.

Penghakisan politik perkauman dan keagamaan bukan kerana kaum dan agama sudah tidak penting. Masyarakat mula sedar wujudnya pihak yang berlindung di sebalik kepentingan kaum dan agama.

Hari ini DAP lebih terbuka dan ramai orang Melayupun menyertai dan ada yang menjadi pemimpinnya. DAP terpaksa menerima hakikat bahawa merekapun tidak boleh berjuang sendirian untuk berperanan lebih dalam negara demokratik ini. Sebagaimana parti-parti lain juga berpandangan sama.

Zaman ‘big brother’ sudah berlalu. Mana-mana parti sekalipun samada dalam PH, BN atau Gagasan Sejahtera usah mendabik dada konon ‘pemegang kunci syurga’. Hegemoni politik yang dinikmati oleh Umno selama ini dimusnahkan sendiri oleh pemimpin-pemimpin mereka. Parti yang berlagak memiliki ‘dragon ball’ akan memusnahkan kekuatan dirinya kerana terperangkap dengan minda tahyul. Didodoi mimpi panjang yang tiada kesudahannya.

AMANAH dikatakan tercorot dalam pengagihan kerusi di Perak kerana hanya diperuntukan 13 kerusi saja. PPBM dan Keadilan masing-masing memiliki 14 kerusi. Sebaliknya semasa Pakatan Rakyat dahulu Pas memperolehi 22 kerusi, manakala Keadilan dan DAP bertanding di 19 dan 18 kerusi.

Hujah itu kelihatan agak munasabah untuk AMANAH kecewa untuk menjadi gah seperti Pas yang mampu bertanding hingga 59 kerusi di Perak. AMANAH Perak rasanya tiada kudrat segagah Pas Perak yang bersemangat kental itu. AMANAH tidak perlu sebiji menjadi Pas. Ada eloknya difikirkan tentang kewajaran analogi ‘kecil-kecil cili api’. Begitulah juga dalam politik yang serba memungkinkan. Perlu berfikir secara ‘kuih lapis’, jangan berfikir lurus bendul.

tugas nasional

Berbalik kerja sebagai penulis. Kerja menulis adalah tugas nasional. Dalam konsep yang lebih luas ia adalah ibadah. Tulisan seharusnya membina dan membangkitkan martabat akal dan mengelakkan diri diperhamba dengan kebodohan diri sendiri dan kejahatan sang cerdik pandai.

Kita tidak perlu bersikap neutral bagi mempamerkan keegoan sarjana. Sebagai penulis, kita ada idea dan pendirian sendiri. Pertahankan pendirian tanpa memperbodohkan pembaca.

Posting sebegitu hanyalah suatu gerakan mendodoi orang Melayu agar terus tidur nyenyak. Bangkitlah!
_________________________
Dr Muhaimin Sulam ialah Naib Pengerusi AMANAH Perak.

Tiada ulasan: