"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peguam: Khairuddin akan buktikan Rosmah ada berlian merah jambu RM115 juta

PETALING JAYA: Pengkritik 1MDB, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akan memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan dalam usahanya membuktikan seutas rantai bertatah berlian merah jambu 22 karat yang bernilai kira-kira RM115 juta masih dalam tangan Datuk Seri Rosmah Mansor, kata peguamnya.

Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, anak guamnya mempunyai bukti prima facie yang isteri bekas perdana menteri itu memiliki barang kemas itu.

“Kita akan memanggil saksi, termasuk mereka dari luar negara yang berlian itu dihantar kepada pihak ke-3 yang kemudian menyerahkannya kepada Rosmah,” katanya kepada FMT.

Sri Ram mengulas pendedahan polis hari ini 25 beg mengandungi 12,000 jenis barang kemas dianggarkan bernilai RM440 juta dirampas dalam serbuan ke atas 6 premis dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak, bulan lepas.

Bagaimanapun, berlian merah jambu yang sukar ditemui itu tiada dalam inventori.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, secara keseluruhannya kira-kira RM1 bilion barangan berharga, termasuk wang tunai sebanyak RM116.7 juta dirampas dalam serbuan pada 16 dan 17 Mei lalu.

Barang kemas termahal yang dirampas dalam serbuan itu ialah seutas rantai leher berlian putih bernilai RM6.4 juta.

Sri Ram berkata, berlian merah jambu itu diserahkan kepada seorang wanita yang bertindak sebagai ejen Rosmah, namun beliau tidak mengulas lanjut.

“Jika perbicaraan diteruskan, banyak yang perlu dijelaskan Rosmah.”

Ogos lalu, Khairuddin memfailkan saman bagi mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi ke atas Rosmah untuk mengembalikan barang kemas itu kepada 1MDB.

Beliau mendakwa barang kemas itu, termasuk sebutir berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM96.77 juta) dan seutas rantai bernilai AS$4.3 juta (RM18.08 juta), diberikan kepada Rosmah sebagai hadiah pada Mac 2014.

Beliau juga mahu ahli perniagaan, Low Taek Jho membayar semua wang yang didakwa diseleweng dari syarikat itu, kepada 1MDB.

Beliau juga mahu Rosmah dan ahli perniagaan yang dikenali sebagai Jho Low, memberi pampasan kepada 1MDB atas dakwaan penyelewengan dana dan penggunaan barang kemas itu, serta memulangkan baki wang kepada syarikat itu.

Selain Rosmah dan Jho Low, Khairuddin turut menamakan 1MDB sebagai defendan ke-3 dalam samannya.

Katanya, 1MDB memperoleh AS$6.5 bilion (RM27.93 bilion) dengan meminjam daripada pemberi pinjaman luar negara, dan syarikat itu pemilik benefisial wang tersebut.

Beliau berkata, Jho Low menerusi ejennya, Tan Kim Loong, membeli barang kemas itu daripada Loraine Schwartz di New York pada harga AS$27.3 juta, iaitu wang yang didakwa dicuri ahli perniagaan itu.

Samannya berdasarkan dakwaan yang Rosmah tidak mampu memperoleh hak milik ke atas barang kemas itu, walaupun ia diberikan kepadanya sebagai hadiah.

Rosmah memfailkan permohonan mengetepikan saman Khairuddin, tetapi bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu sedang mencabar tindakan itu.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan 2 saman sivil ke atas aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) yang didakwa dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB.

Saman sivil itu ialah tindakan undang-undang terbesar di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi DoJ.

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Tiada ulasan: