"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pencalonan Ku Li hadapkan Umno dengan dilema

Sheridan Mahavera

KEPUTUSAN Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan presiden Umno membayangkan dilema parti orang Melayu itu yang sedang bertatih untuk bangun semula selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Umno perlukan darah baru serta idea yang juga baru untuk keluar daripada kepompong legasi korupsi dan kronisme yang dipalitkan padanya oleh bekas presiden Najib Razak, yang memimpin Umno untuk kalah pilihan raya pada 9 Mei lepas, dan seterusnya hilang kuasa.

Tetapi Tengku Razaleigh, 81, calon untuk perubahan Umno, seorang pemimpin dari masa silam.

Putera diraja Kelantan itu seorang ahli politik veteran yang kemuncak kariernya 23 tahun lalu, ketika beliau menerajui Semangat 46, sebuah parti pembangkang, melawan Barisan Nasional (BN) dalam dua pusingan pilihan raya umum. Beliau kalah dalam kedua-dua pusingan itu.

Ku Li, begitulah beliau lebih akrab disebut namanya, menubuhkan Semangat 46 selepas gagal menyingkirkan Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden Umno pada 1987. Semangat 46 masuk pilihan raya pada 1990 dan 1995.

Dalam PRU 1995 itu, parti itu kalah besar sekali lagi. Ku Li membubarkan partinya dan kembali ke pangkuan Umno, yang pada masa itu masih lagi dipimpin oleh seteru politiknya, Dr Mahathir.

Pada pemilihan Umno kali ini, ahli Parlimen Gua Musang itu berdepan dengan Ahmad Zahid Hamidi, pemangku presiden Umno, bekas orang nombor dua Najib dan terpalit dengan skandal bekas ketuanya itu.

"Inilah dilema Umnno. Macam tak ada alternatif lain (bagi calon presiden) untuk memulakan proses menyelamatkan Umno. Ini yang sedih," kata penganalisis politik, Hisomuddin Bakar daripada Ilham Center.

"Bagi ramai pengundi, Ku Li sudah hilang daripada radar mereka. Dia bukan calon yang terbaik," katanya.

Siapa lebih kurang beban?

Pendukung Tengku Razaleigh, bagaimanapun yakin, beliau yang calon terbaik yang ada untuk parti itu sekarang.

Rekodnya bersih, kalau dibanding dengan pemimpin lain yang ada dalam Kabinet Najib. Beliau juga ada pengalaman memimpin.

Itulah yang disebut oleh beliau ketika ditanya apa yang beliau tawarkan berbanding Zahid.

"Ahli-ahli mahu perubahan," katanya, ketika mengumumkan pencalonannya semalam.

Beberapa hari sebelum itu dalam sebuah majlis dialogi di Kuala Lumpur pada 12 Jun, ahli-ahli Umno yang rata-rata dalam lingkungan umur 30-an berhujah yang Tengku Razaleigh calon terbaik kerana beliau tidak terpalit dengan skandal Najib.

"Kita perlukan seorang presiden yang bersih, yang tiada isu yang boleh menjadi titik bengik untuk kita," kata Zulkifli, ahli Pemuda Umno Wilayah Persekutuan.

Seorang pemimpin Pemuda Umno Selangor yang ikut hadir pada sidang media Tengku Razaleigh mengumumkan pencalonannya semalam mendakwa sekarang ini sedang ada gelombang daripada akar umbi yang akan menyingkirkan bukan saja Zahid tetapi semua pemimpin Umno yang dikaitkan dengan Najib.

Ini termasuk pemimpin kanan seperti Annuar Musa, Mohamad Hasan, dan Khairy Jamaluddin, yang dianggap sebahagian daripada Ahli Majlis Tertinggi Umno di bawah Najib.

Annuar dan Mohamad menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden manakala Khairy mahu merebut satu daripada tiga kerusi naib presiden.

Sumber dalaman Umno mendakwa Tengku Razaleigh mendapat sokongan daripada kebanyakan 26 bahagian di Johor dan beberapa bahagian di Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Selangor.

Mazlan Harun, bekas ketua Umno bahagian Petaling Jaya, berkata, Tengku Razaleigh ada daya kepimpinan yang lebih baik berbanding Zahid.

"Dia dah berkhidmat sejak era Tunku Abdul Rahman sampai ke era Tun Hussein Onn. Zahid baru mula di bawah Abdullah dan Najib.

"Dia orang yang lama tapi berkebolehan untuk membawa perubahan bagi Umno," katanya Mazlan, yang mengaku akan membantu kempen Tengku Razaleigh.

Berdepan musuh lama

Penyokong Tengku Razaleigh mengangkat prestasi beliau selama ini, termasuk tahun-tahun beliau berkhidmat sebagai menteri kanan di portfolio kewangan dan perdagangan antarabangsa.

Tetapi ada juga dalam kalangan pemimpin bahagian Umno yang merasakan Tengku Razaleigh bukanlah calon terbaik untuk memimpin Umno mengharungi landskap baru politik hari ini.

"Kita perlukan orang baru, semangat baru," kata seorang ketua bahagian dari Wilayah Persekutuan yang tidak mahu namanya dipetik.

Seorang ahli Majlis Tertinggi juga meremehkan usaha Tengku Razaleigh. Katanya, Umno tidak boleh berharap untuk meremajakan parti kalau bergantung pada "pemimpin masa lalu".

Rekod Tengku Razaleigh melawan Dr Mahathir dulu jadi beban padanya, kata Hisomuddin.

Sebagai calon ketua pembangkang, Tengku Razaleigh akan dibandingkan dengan musuhnya yang kini menjadi perdana menteri.

Bukan saja Tengku Razaleigh kalah dengan Dr Mahathir dalam Umno dan dalam dua kali pilihan raya umum, beliau tunduk kepada musuhnya apabila kembali ke pangkuan Umno.

Dalam erti kata lain, orang yang ahli-ahli Umno hendak ketengahkan melawan Dr Mahathir ialah orang yang Dr Mahathir kalahkan dulu, berkali-kali.

"Zaman Ku Li sudah beredar. Dia tidak akan memberi inspirasi untuk baik pulihkan Umno," kata Hisomuddin.

Tiada ulasan: