"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Putrajaya bersih aset negara, lebih ramai CEO GLC disingkir

The Malaysian Insight

PUTRAJAYA menyingkirkan lebih ramai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam proses pembersihan besar-besaran dilakukan ke atas lantikan politik Barisan Nasional (BN) selepas kerajaan berubah kesan pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan memperbaharui kontrak CEO Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Mohd Badlisham Ghazali yang tamat hujung bulan ini dan CEO Malaysian Resources Corporation Berhad Mohamad Salim Fateh Din akan bersara pada akhir Jun ini, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan yang pengganti mereka akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi. Badlisham yang menjadi CEO MAHB pada Jun 2014 adalah sebelum ini bersama Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), Salim pula adalah pemegang kepentingan utama MRCB menerusi syarikatnya, Gapurna. Majoriti kepentingan MRCB adalah dana pencen awam, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Salim sudah meluahkan hasrat untuk berundur kepada lembaga pengarah pada Januari selepas melengkapkan pelan transformasi MRCB termasuklah penstrukturan semula hutang," kata sumber.

Sumber juga menyebut yang beberapa orang lagi CEO syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan bank dijangka akan ditamatkan perkhidmatan menjelang September, beberapa orang pegawai tinggi kerajaan juga akan digantikan dalam masa terdekat.

“Untuk lantikan politik, hanya tunggu masa, terutama sekali mereka yang dilihat rapat atau berkempen untuk kerajaan BN pada pilihan raya 2018,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Ia adalah soal profesionalisme dan kesetiaan. Putrajaya mahu mereka yang boleh bekerja, bukan mereka yang dilihat hanya sebahagian daripada pancaragam kerajaan lama,” sindirnya dengan merujuk sebuah video musik memaparkan 53 orang CEO GLC menyanyikan lagu “Hebatkan Negaraku” dalam kempen pilihan raya BN sebelum ini.

Tukang kreatif video itu yang juga dalang kempen pilihan raya BN, Mohamed Shazalli Ramly sudah meletak jawatan sebagai CEO Telekom Malaysia Berhad bermula 6 Jun lalu.

“Ada orang akan nampak macam balas dendam tetapi realitinya PH mahukan mereka yang boleh buat kerja sebagai CEO- iaitu menerajui syarikat dan memberikan pulangan terbaik kepada pemegang kepentingan iaitu kerajaan.

“Mereka tak mahu budak pancaragam menerajui komponen kritikal ekonomi negara,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insight.

Katanya, wujud cubaan melobi untuk mengekalkan CEO ini tetapi kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad sudah bertegas mahukan semua lantikan politik digugurkan.

Kebanyakan CEO ini sudah bertemu dan menjelaskan kerja mereka kepada Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusi bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin sejak kerajaan baru PH dibentuk 10 Mei lalu.

CEO berkenaan adalah dari GLC dan GLIC seperti Kumpulan Khazanah Nasional Berhad dibawah Syarikat Milik Kementerian Kewangan (Diperbadankan), syarikat-syarikat pegangan KWSP dan syarikat-syarikat milik Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Difahamkan yang sebahagian CEO GLIC juga akan digugurkan, paling lewat pada Hari Malaysia 16 September depan.

Sumber juga menyebut beberapa penjawat tinggi awam sudah berjumpa dengan ahli Majlis dan sedang menunggu nasib mereka yang akan diputuskan selepas cuti panjang Hari Raya.

“Penjawat awam tinggi ini akan menyertai senarai mereka yang digugurkan. Malah, ada beberapa orang juga perlu menjangkakan yang mereka akan didakwa atas kesalahan jenayah kerana peranan mereka dalam kerajaan dahulu,” kata sumber lagi.

“Kita perlu baiki institusi ini dan dapatkan yang terbaik untuk bekerja, bukan mereka yang berada di situ kerana jaringan dan ikatan politik,” tambahnya.

Tiada ulasan: