Al-Abror Mohd Yusuf
PULASAN | Bukan kemahuan sesiapa pun, rasanya, untuk melihat pilihan raya kecil diadakan ketika jari sebahagian rakyat masih ada kesan hitam yang kadang-kadang membuat mereka rasa menyampah.
Belum 100 hari pun pilihan raya umum (PRU) berakhir, kita kena berdepan pula dengan pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Kandis.
Takdir tetaplah takdir. Ajal maut memang ketentuan Tuhan dan kita sebagai makhluk tidak mampu berbuat apa-apa. Dan memang betul PRK itu hanya melibatkan segelintir daripada lebih 3 juta pengundi di seluruh negara.
Nah, sekarang ini masalahnya: bahang PRK itu bukan saja terhad di kawasan tertentu malah tempiasnya terpaksa ditanggung oleh semua orang.
Dan bukan semua orang mempunyai daya tahan daripada melugai melihat, mendengar atau membaca kerenah ahli politik yang ada di negara ini.
Atas semangat dan kefahaman itu jugalah kita berharap parti yang kalah - serta parti yang mengharapkan parti kalah itu menang - mengawal mulut masing-masing daripada terus bercakap tentang hal-hal memualkan.
Keputusan sudah dimuktamadkan malam tadi. Kalah menang memang adat pertandingan dan hidup perlu diteruskan.
Kita boleh faham parti parti yang kalah - serta parti yang mengharapkan parti kalah itu menang - perlu bercakap sesuatu. Selain harus memujuk kekecewaan penyokong masing-masing, air muka pengucap serta penceramah yang berkobar-kobar itu perlu juga dijaga.
Wajah dan keaiban bukannya boleh ditanggalkan dan disimpan dalam almari.
Rendahkan diri kalau bukan suara
Betul, segala kata-kata, ajakan, dorongan, tekanan atau 'fatwa' yang dikeluarkan sebelum PRK Sungai Kandis perlu diabsahkan. Kerana memang begitulah politik.
Cuma apabila pengabsahan itu dibuat keterlaluan - dan sangat ketara pandirnya - ia akan membuat rasa mual itu datang dengan lebih kerap dan sukar untuk dihilangkan.
PAS terutamanya, wajar belajar mengawal lidah agar tidak lebih petah berbanding otak yang ada. Seni politik memanglah rumit dan berbelit-belit namun ia tetap perlu bersandarkan kepada realiti.
Kecuali di kalangan pengagum dan penyokong tegarnya, PAS ialah sebuah lelucon sejak sebelum PRU ke-14 lagi. Cuma sebelum 9 Mei itu kepandirannya belum jelas.
Selepas PRU ke-14 kepandiran itu makin jelas. Dan apa yang mereka lakukan di Sungai Kandis ialah pengesahan kepada kepandiran berkenaan.
Sebagai orang yang selalu memetik nas itu ini dalam setiap pendiriannya, sangat wajar PAS merendahkan diri - kalau pun terlalu sukar untuk mereka merendahkan suara - buat seketika.
Selepas ini ada kemungkinan PAS kena mengerah tenaga, masa dan materi di kawasan Seri Setia pula. Seperti muafakat tak rasmi yang dibuat dengan Umno, maka giliran PAS pula menurunkan panglima mereka.
Sama ada panglima itu setaraf dengan Datuk Lokman Noor Adam atau tidak, ia tentu sangat menarik diperhatikan. Justeru mereka perlu belajar dengan tekun ilmu mengawal lidah dan otak masing-masing.
Lebih banyak komen untuk meyakinkan orang ramai bahawa mereka konon-konon tidak silap di Sungai Kandis, maka lebih lucu jadinya pemimpin PAS itu.
Kecualilah mereka sebenarnya mahu menyedapkan hati sendiri. Jika itulah tujuannya, sila buat di media sosial masing-masing atau dalam lidah rasmi parti.
Tak semua orang ada daya tahan yang tinggi untuk melawan rasa melugai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan