"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK Sg Kandis: Protes senyap penyokong PAS?

Bernama

PRK SG KANDIS | Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini jelas memperlihatkan bahawa ‘kerjasama’ yang terjalin antara Umno dan PAS masih belum mampu menggugat penguasaan PKR di kawasan itu.

Meskipun calon BN Datuk Lokman Noor Adam bersungguh-sungguh memainkan sentimen Islam dan Melayu sepanjang 14 hari tempoh berkempen, namun ia belum cukup mampu mempengaruhi pengundi di kawasan berkenaan yang lebih 70 peratus adalah Melayu.

Seruan pemimpin PAS kepada penyokong parti itu yang meminta supaya menyokong calon BN pada PRK tersebut juga dilihat tidak cukup kuat ‘menembusi kekebalan’ PKR apatah lagi dengan keputusan parti itu (PKR) mempertaruhkan anak tempatan Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang jelas mempunyai track record bersih sebagai seorang pengetua maahad tahfiz.

Hasilnya hari ini, seramai 15,427 pengundi DUN Sungai Kandis sepakat memilih Mohd Zawawi sebagai wakil rakyat baharu mereka berbanding 9,585 pengundi yang memilih Lokman Noor sementara calon Bebas, K. Murthy pula hilang wang deposit selepas hanya memperoleh 97 undi.

PRK ini bagaimanapun menyaksikan Mohd Zawawi memperoleh majoriti 5,842 undi yang lebih rendah berbanding yang diperoleh wakil rakyat lalu kawasan itu, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) iaitu 12,480 undi.

Peratusan keluar mengundi juga memperlihatkan hanya 49.4 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka hari ini berbanding sasaran 80 peratus yang disasarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRK itu merupakan yang pertama diadakan selepas PRU14, berikutan kematian Mat Shuhaimi akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pembunuhan karakter

Mengulas lanjut, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Sivamurugan Pandian berpendapat kerjasama Umno dan PAS ‘tidak menjadi’ pada PRK ini berkemungkinan disebabkan penyokong PAS yang tidak keluar mengundi berikutan keputusan pasti Islam itu untuk tidak meletakkan calon.

“Sepatutnya kalau digabungkan keputusan undi diperoleh calon BN dan PAS pada PRU14, calon BN pada PRK ini boleh memperoleh lebih 19,000 undi tetapi itu tidak menjadi, bermakna mungkin juga ada penyokong PAS melakukan protes secara senyap atas kerjasama ini.

“Selain itu, isu-isu dibawa BN tidak begitu sesuai dengan keadaan di Sungai Kandis dan pembunuhan karakter berlaku secara besar-besaran di PRK ini.

“Bagi saya PRK ini juga terlalu dekat dengan PRU lepas dan barangkali pengundi berpendapat keputusan PRK ini tidak akan membawa perubahan kepada kedudukan kerajaan negeri di DUN Selangor,” katanya kepada Bernama.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara kampus Raub, Pahang, Che Hamdan Che Mohd Razali senada dengan Sivamurugan berkenaan hubungan Umno-PAS di mana beliau berpendapat ramai penyokong PAS melakukan protes dengan tidak keluar mengundi.

Menurutnya, jika dilihat kepada budaya penyokong PAS, sentimen anti BN dan Umno sangat kuat sebelum ini.

“Melalui pemerhatian saya, selepas Pakatan Harapan rampas Selangor daripada BN pada 2008, banyak kelebihan yang PAS dapat di mana mereka dapat jalankan banyak aktiviti di masjid berbanding sebelum itu.

“Kerajaan negeri beri peluang kepada PAS berdakwah dengan lebih baik, cuma kali ini BN mainkan sentimen kononnya kerajaan pusat dikawal oleh DAP tetapi sentimen itu tidak menjadi di Selangor.

“Faktor lain pula calon BN bukan penduduk tempatan berbanding Mohd Zawawi dan isu-isu yang dimainkan BN melibatkan Melayu Islam tidak memberi kesan di Selangor.

“Jika mereka mainkan isu itu di Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin boleh mendatangkan kesan tetapi di Selangor kedua-dua isu itu bukanlah isu besar walaupun Sungai Kandis majoriti penduduknya orang Melayu,” katanya.

Tiada ulasan: