"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

LINTAS LANGSUNG: Najib mengaku tak bersalah tuduhan terima RM42j wang haram

Sekali lagi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di kompleks mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, kira-kira 10 minit sebelum jam 9 pagi.

Kali ini Najib berdepan tiga tuduhan melibatkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001.

Mengikut kertas pertuduhan, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta pada 26 Dis 2014 di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur, dan ia adalah hasil daripada aktiviti haram.

Wang itu diterima melalui sistem Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (RENTAS).

Bagi tuduhan kedua pula bekas perdana menteri terbabit didakwa menerima wang berjumlah RM5 juta pada tarikh dan tempat serta kaedah sama.

Tuduhan ketiga pula membabitkan wang berjumlah RM10 juta dan ia berlaku di tempat sama, namun pada tarikh berlainan iaitu 10 Feb 2015.

Bagi ketiga-tiga tuduhan berkenaan anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Sek 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001

Jika sabit kesalahan Najib boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun, denda lima kali ganda daripada jumlah atau hasil aktiviti haram berkenaan, atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Najib ialah anak bekas perdana menteri kedua Malaysia. Beliau sebelum ini sudah didakwa atas tiga tuduhan jenayah membabitkan pecah amanah dan satu salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Malaysiakini membawa laporan secara langsung mengenai prosiding hari ini.

LIPUTAN LANGSUNG

11.45am - Shafee meminta dokumen yang belum diperoleh.

Shafee juga meminta supaya permohonan larangan media daripada mengulas isu itu didengar mahkamah pada Jumaat ini.

Untuk perbicaraan, Shafee juga berkata tarikh paling awal beliau dapat hadir pada Februari ini.

DPP Manoj pula berkata beliau tidak bersetuju dan mahu ia diadakan pada November.

11.40am - DPP Manoj minta supaya tempoh jaminan diperpanjang.

Beliau meminta kesemua dokumen berkaitan diserahkan kepada pihak pembelaan.

11.33am - Shafee mengingatkan bahawa badan kehakiman harus kekal bebas.

Hakim Nazlan berkata beliau telah menerima dan membacanya.

DPP Manoj berkata pemindahan hakim itu adalah perkara biasa. Beliau bertanya kenapa Shafee membangkitkan perkara itu sedangkan beliau tiada bantahan.

Shafee dan Manoj bertelagah.

DPP memohon kes perbicaraan dipercepat.

11.25am - Shafee membantah dan menunjukkan surat Ketua Hakim Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Katanya, surat itu adalah pemerhatian terhadap pentadbiran keadilan di negara ini berkaitan kes itu.

Shafee juga merujuk kepada pemindahan hakim Sophian. Katanya, beliau tidak memperkecilkan kelayakan hakim Nazlan.

Shafee berkata, anak guamnya mengadu berkaitan pentadbiran keadilan dan menegaskan kes itu sebagai kes yang sagat sensitif.

“Bila pemindahan (hakim) berlalu, Majlis Peguam senyap,” katanya.

11.18am – DPP Manoj berkata mereka telah meminda pertuduhan pada 4 Julai lalu.

Pertuduhan baru itu menyebut:

Najib memperoleh RM42 juta di Jabatan Perdana Menteri dan meluluskan dana KWAP sebanyak RM4 bilion.
Najib di Amisamic Bank sebagai penjawat awam yang diamanahkan dengan SRC International telah memperoleh RM27 bilion.
Najib di Amislamic Bank sebagai penasihat emeritus SRC menerima RM5 juta.
Najib di Amislamic Bank menerima RM10 juta dari SRC.
Manoj meminta kes-kes itu disatukan.

11.15am - Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup berkata tuduhan baru ke atas Najib sudah disebut di Mahkamah Tinggi 1.

Beliau kemudian meminta tuduhan itu dibacakan sekali lagi dan kenyataan Najib diambil.

Tuduhan tersebut kemudian dibacakan bersama hukuman yang boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan. Najib dilihat kemudian mengangguk sebagai tanda memahaminya.

Najib kemudian mengaku tidak bersalah dan meminta kesnya dibicarakan.

11.03am: Najib memasuki mahkamah dan duduk di kandang tertuduh, manakala anak-anaknya mengambil tempat di kerusi baris kedua galeri awam.

Turut kelihatan ialah pembantu sekali gus setiausaha akhbar Najib Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Kes ini didengar hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menggantikan hakim sebelum ini Datuk Sophian Abdul Razak.

10.36am: Hanafiah meminta supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 dan urusan ikat jamin, katanya, wajar dilakukan di situ.

Peguam bela Najib Muhammad Shafee Abdullah turut bersetuju dengan permohonan berkenaan.

Hakim kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 hari ini selepas kedua-dua pihak bersetuju mengenainya.

Dijangkakan tiga tuduhan hari ini akan didengar serentak dengan empat tuduhan lain yang sudah dikenakan ke atas Najib sebelum ini.

10.30am: Mahkamah bersidang di depan hakim Datuk Azman Abdullah dengan dimulai pengenalan diri oleh ketua pihak pendakwa Mohd Hanafiah Zakaria, serta peguam bela dan peguam pemerhati bagi pihak Rosmah Mansor.

Hanafiah berkata kes itu dibicarakan di situ selepas dipindahkan dari mahkamah sesyen.

10am: Tiga pertuduhan dibacakan kepada Najib membabitkan penerimaan wang haram berjumlah RM42 juta dalam akaunnya empat tahun lalu.

Wang itu ialah milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Najib, 65, selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Azura Alwi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: