"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketegangan Maza, Siti Kasim berlanjut ke alam maya

Siang tadi, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) hadir memberi keterangan dalam sidang siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kes kehilangan Amri Che Mat, pengasas NGO Perlis Hope dan dua individu lain.

Bagaimanapun, ketika inkuiri berlangsung, percubaan Siti Kasim yang mewakili Majlis Peguam membangkitkan unsur ekstrem dalam fahaman Sunni sewaktu soal balas dengan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin itu telah mencetuskan ketegangan.

Dalam hantaran terbaru Asri di Facebook, sarjana Islam itu dipercayai cuba menggambarkan pengalaman beliau bersoal-jawab dengan peguam hak asasi manusia, Siti Kasim pada sesi inkuiri Suhakam itu.

"Saya tidak hairan apabila menerima beberapa soalan 'tidak cerdik' dari seorang yang pernah membicarakan tentang Tuhan dan 'getaran'.

"Jika dalam bab ketuhanan yang merupakan asas kewujudan insan dia gagal berfikiran seimbang, apatah lagi bab yang lain," kata Asri.

Tanpa menyebut nama, beliau menzahirkan rasa hairan terhadap seseorang dengan latar belakang undang-undang tetapi disifatkan beliau sebagai dangkal.

"Namun, saya agak hairan apabila seorang yang berlatarbelakangkan undang-undang seperti dia itu sangat dangkal tahap pengetahuan asas bagi istilah-istilah yang dia gunakan sendiri.

"Dia bercakap dengan istilah yang dia sendiri tidak faham. Kemudian dia beraksi untuk memberikan tafsiran berkaitan agama," kata Asri.

Asri turut mempersoalkan kenapa pertubuhan berkaitan undang-undang memilih seorang yang 'ganjil' sebagai wakil mereka.

"Apakah jika hanya kerana seseorang itu 'ganjil' pada penampilan dan songsang pada pemikiran maka dia pun ditabalkan oleh pertubuhan yang berkaitan undang-undang sebagai wakil mereka.

"Sudah tiada orang lainkah yang mempunyai nilai pekerti dan kesopanan sebagai manusia berpendidikan untuk diwakili? Sudah habiskah rakyat dalam negara ini?" Soal beliau lagi.

Ekoran hantaran FB Asri itu, sejam kemudian peguam Siti Kassim memuat-naik hantarannya pula dipercayai ditujukan kepada Mufti Perlis itu.

"Ada orang tu bila kalah dalam sidang, dia balik dok ngumpat-ngumpat dekat FB dia .

"Terserlahlah pekung habit pembulinya - dia tak dapat menang hujah, dia pun main mengejek dan tohmah orang yang dia tak boleh nak jawab dalam sidang.

"Itu kah yang konon intelektual sangat. Low class punya level adalah," tulis Siti Kassim.

'Wanita dangkal'

Ini bukanlah kali pertama Asri membidas Siti Kassim. Tahun lalu, Asri ketika mengulas mengenai kontroversi 'Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin' turut menempelak Siti yang disifatkan sebagai wanita dangkal atas laporan kenyataan beliau tentang kewujudan tuhan .

"Dukacita apabila media mengutip berita 'bomoh' yang penuh khurafat dan memalukan masyarakat bertamadun, dan seorang wanita dangkal minda yang entah apa latarnya.

"Seorang membuat 'kerja' yang melambang masalah akal yang serius.

"Seorang pula membuat kenyataan tentang agama, tuhan dan pelbagai lagi yang juga melambangkan kedangkalan pengetahuan dan ketandusan kepercayaan terhadap konsep ketuhanan," kata beliau.

Tiada ulasan: