"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohamad Sabu sahkan akan bertanding kerusi Parlimen di Selangor

MOHD ALI HASHIM 
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengesahkan akan bertanding di salah sebuah kerusi Parlimen di Selangor menjelang pilihan raya umum bulan depan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis sumbangan Sekolah Agama Rakyat, KAFA, Maahad Tahfiz, Pondok dan Tadis di Taman Guar Perahu, Penanti, Permatang Pauh semalam.

Jelasnya lagi, kerusi yang akan ditandingi akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Namun begitu ujarnya, kerusi Sepang, Shah Alam, Kota Raja, Kuala Selangor dan Hulu Langat merupakan kerusi yang telah diberi kepercayaan kepada AMANAH.

“Kerusi yang mana akan ditandingi belum lagi pasti.

“Walau bagaimana pun salah satu kerusi di Selangor sudah pasti akan ditandingi menjelang pilihan raya ini.

“Yang pasti ia akan diketahui dalam tempoh terdekat selepas satu atau dua hari lagi, ” tegasnya lagi.

Sebelum ini kedengaran desas-desus mengenai kerusi yang akan ditandingi oleh beliau samada di Pulau Pinang maupun Negeri Kedah.

Malah katanya, kedudukan kerusi di Pulau Pinang telah pun diputuskan bagi AMANAH untuk bertanding di Parlimen Kepala Batas.

Oleh kerana itu tegasnya, calon bagi kerusi Kepala Batas sudah pun diputuskan.

“Tidak kiralah dimana saja kita bertanding, yang menjadi harapan besar kita ialah mengalahkan Umno dan BN.

“Terlalu banyak kepincangan jika dibiarkan Umno dan BN terus memerintah negara.

“Maka itu, memenangkan Pakatan Harapan adalah suatu kemenangan yang amat besar bagi seluruh rakyat dalam negara ini, ” tegasnya.

Sehubungan itu tambahnya, membiarkan Umno dan BN meneruskan kuasa akan mensengsarakan lagi rakyat bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

Hadir sama dalam program sumbangan tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Nurul Izzah Anwar.

Tiada ulasan: