"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Kelantan ‘rehatkan’ Adun Kelaboran

Bernama 

TUMPAT: PAS Kelantan hari ini mengesahkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran Mohamad Zaki Ibrahim direhatkan dan tidak akan bertanding bagi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata perkara itu diputuskan PAS Pusat selepas PAS Kelantan menyerahkan senarai calon untuk disemak oleh badan berkenaan baru-baru ini.

“Apabila jemaah (PAS Pusat) memutuskan seseorang itu direhatkan, kita rehatkanlah. Samalah dalam kes Mohamad Zaki ini antara senarai yang direhatkan, bukan digugurkan.

Kerehatan ini diberikan untuk kebaikan dia. Maka kita sebagai ahli jemaah hendaklah mematuhi arahan daripada jemaah dan saya sebagai pesuruhjaya (PAS Kelantan) kena akur atas kehendak jemaah (PAS Pusat),” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu hari ini.

Terdahulu, Ahmad yang juga menteri besar Kelantan menerima memorandum daripada kira-kira 100 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pergerakan Prihatin Rakyat Kelaboran, yang diketuai Pengerusinya Mohd Shafie Abdullah.

Memorandum itu diserahkan bagi memberi sokongan kepada Mohamad Zaki supaya dikekalkan untuk bertanding di kerusi DUN Kelaboran.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata NGO berkenaan berpendapat tiada calon lain yang sesuai untuk bertanding di kerusi berkenaan kerana Mohamad Zaki menjalankan tugasnya dengan baik sejak 3 penggal lalu.

Tiada ulasan: