"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lepas sebut 'cengeng', Anwar minta Azmin bertenang

Ng Xiang Yi

Presiden PKR Anwar Ibrahim menasihatkan timbalannya, Mohamed Azmin Ali agar "tenangkan diri" berhubung isu tertentu.

"Saya rasa dia perlu bertenang sedikit. Saya rasa dia perlu sentiasa menumpukan kepada isu-isu pusat.

"Ada orang yang mahu lindungi prinsip dan pendirian, ada orang yang hanya cuma mahu mempertahankan kedudukan dengan apa cara sekali pun. Jadi anda perlu ambil kira perkara ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Azmin melalui Twitter yang menyebutkan bahawa Malaysia memerlukan pemimpin yang akan berjuang sehingga ke saat akhir, dan bukannya pemimpin yang "cengeng".

Meskipun tidak menyebut nama pemimpin yang dimaksudkan, kenyataan menteri hal ehwal ekonomi itu dipercayai ditujukan buat anak perempuan Anwar yang juga bekas naib presiden PKR Nurul Izzah.

Kenyataan itu dibuat Azmin selepas media melaporkan wawancara Nurul Izzah dengan media Singapura yang antara lain menyatakan kekecewaan terhadap PH kerana usaha perubahan yang perlahan di bawah pentadbiran kerajaan baru.

Nurul Izzah turut menyatakan kekecewaan kemasukan bekas pemimpin Umno ke dalam parti komponen PH.

Selain itu, ahli parlimen Permatang Pauh itu juga menyentuh tentang cabaran bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya sebagai "bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan".

Nurul Izzah juga memberi gambaran bahawa penggal ini merupakan yang terakhir baginya sebagai wakil rakyat.

Susulan kenyataan Azmin, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengirim ciapan di Twitter yang berkata tidak wajar untuk menggelarkan "seorang wanita yang menyatakan pendirian sebagai cengeng".

Mengulas perkara itu, Anwar berkata beliau berharap penegasan sokongannya terhadap Dr Mahathir akan mengurangkan ketegangan dalam PKR.

"Kerja masing-masing ada tugas besar bangunkan ekonomi rakyat, sibuk soal-soal ini pasal apa?" katanya.

Tiada ulasan: