"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerusi PM kekal di tangan PPBM selepas tukar kerajaan

Timmy Say

“Jika Perdana Menteri ke-7, Dr Mahathir Mohamad memilih untuk menyerahkan kerusi PM kepada Anwar Ibrahim, kerusi PM itu mungkin hilang daripada tangan PPBM selama-lamanya.”

Kenyataan di atas ialah kegusaran sebenar yang menjadi titik keruntuhan Pakatan Harapan dan itulah yang mencetuskan krisis politik Malaysia baru-baru ini.

Mana-mana parti di dunia akan memilih untuk terus memegang jawatan tertinggi di dalam kerajaan daripada menyerahkannya kepada parti kawan mahupun lawan.

Kini, meskipun kerajaan bertukar, kerusi PM kekal di tangan PPBM.

Ada yang berkata, kerana Muhyiddin Yassin ingin menjadi PM, maka PPBM kehilangan jawatan menteri besar Johor, bakal kehilangan jawatan menteri besar Perak dan Kedah di dalam krisis politik ini.

Sebenarnya, tiada jaminan perkara yang sama ini tidak akan berlaku jika PKR menguasai jawatan PM.

PPBM juga kemungkinan besar kehilangan semua kerusi MB dipegangnya pada pilihan raya umum ke-15 nanti, jika Anwar yang menjadi PM dan PH kekal berkuasa. Cuma mungkin hanya lambat sedikit saja. Jadi ketika itu, PPBM bukan saja kehilangan kerusi PM, malah semua kerusi MB.

Hakikatnya, kerusi MB Johor, Perak dan Kedah datang bersama kerusi PM yang disandang PPBM dalam PH. Tanpa kerusi PM, hilang semua daya rundingan PPBM. Jadi, tiada apa yang lebih penting daripada memegang jawatan PM bagi parti baru seperti PPBM.

Oleh itu, krisis politik yang berlaku hanyalah satu permainan survival politik.

Mereka yang tidak sebulu dengan Anwar, dan terfikirkan masa politik gelap di bawah Anwar, mengambil keputusan melakukan sesuatu untuk terus hidup.

Kerajaan PH sememangnya goyah, terutamanya selepas Pilihan Raya Kecil Port Dickson diadakan secara pintu belakang untuk membolehkan Anwar kembali ke Parlimen.

Sejak itu, berita yang mendominasi kerajaan PH hanya satu – “bilakah Anwar akan menjadi PM”?

Soalan itu diulang-ulang sehingga menjadi tekanan dalaman kepada PH. Antara mereka yang bertanggungjawab mengulang-ulangnya ialah penyokong Anwar.

Kerana ia diulang-ulang, soalan yang mudah itu berubah menjadi polemik apabila jawapan yang seringkali tidak sama diberikan Mahathir.

Jika dilihat daripada konteks lebih besar ialah PKR kem Anwar, DAP dan Amanah sedang mengasak PPBM melepaskan jawatan PM kepada PKR. Daripada polemik, ia bertukar menjadi satu ancaman politik.

Di mata rakyat, jelas kerajaan PH terbelah kepada dua, kem yang menyokong Mahathir untuk terus menjadi PM dan kem yang menyokong Anwar bagi menggantikan Mahathir sebagai PM secepat mungkin.

Kerajaan ini dilihat tidak dapat berfungsi dengan baik kerana hampir setiap masa soalan “Bilakah Anwar akan menjadi PM?” menjadi berita terbesar kerajaan PH.

Bukan itu saja, tindakan saling menyerang sesama menteri sendiri, saling mengutuk ahli Parlimen sendiri sehinggakan ada menteri PKR menyaman menteri PKR di dalam Kabinet sama terus merudum keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan PH untuk terus mentadbir.

Akhirnya PH berpecah. PKR juga berpecah. Nasi sudah jadi bubur bagi PKR kem Anwar.

Hakikatnya, krisis politik ini menyebabkan PPBM bertambah kuat dengan kemasukan kem Azmin Ali.

Krisis ini juga menyebabkan PPBM dilanda masalah dalaman antara mereka, tetapi tidak sampailah parti berpecah dengan ada yang keluar parti.

Beberapa kerusi MB mungkin terjejas, tetapi tiada yang lebih penting daripada kerusi PM tetap kekal di tangan PPBM. Perkara ini rasanya Mahathir tidak marah.

Yang Mahathir marah cumalah kerisauan mereka yang didakwa mencuri diberikan tempat di kerajaan diterajui PPBM. Itu saja yang perlu diselesaikan Muhyiddin. Jika ia dapat diselesaikan dengan baik, maka Mahathir akan tumpang gembira senyap-senyap di hati.

Tiada ulasan: