"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas bergambar dengan MP Kuching, Dr Mahathir jalani kuarantin

ARIF ATAN
Gara-gara pernah bergambar dengan Ahli Parlimen Kuching dari DAP, Dr Kelvin Yii yang disahkan positif koronavirus baharu (Covid-19), Tun Dr Mahathir bertindak menjalani kuarantin secara sukarela.

Dalam satu klip video yang dikongsi eksklusif bersama Buletin Utama TV3 malam tadi, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mengikut arahan dan sanggup berkurung selama 14 hari supaya jangkitan wabak itu tidak merebak kepada orang lain.

“Ini pengalaman saya sekarang ini, terkurung di rumah tidak boleh keluar, tidak boleh jumpa sesiapa pun, tidak boleh bersalam dengan orang tapi Alhamdulillah tidak begitu berat bagi saya,” jelasnya.

Dalam masa sama, bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menasihatkan orang ramai agar tidak perlu pulang ke kampung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengingatkan rakyat supaya berwaspada dan mengawal diri kerana tempoh dua minggu ‘mengurungkan’ diri adalah untuk kebaikan bersama.

“Ini usaha kita menunaikan ajaran agama iaitu kita perlu berusaha sendiri sebelum berdoa dan solat hajat kita dimakbulkan oleh Allah.

“Bukan balik kampung atau tinggal di kampung tetapi tinggal di tempat kita berada sekarang.

“Tidak (perlu) balik kampung kerana kalau kita balik, seolah kita bercuti, mungkin kita bawa penyakit (Covid-19) ini ke kampung.

“(Jika) di kampung kita tak jaga diri kita, maka orang kampung pula dapat sakit, oleh itu jangan balik kampung,” jelasnya lagi.

Dr Kelvin dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak selepas disahkan positif Covid-19 berdasarkan hasil keputusan ujian yang dibuat Jabatan Kesihatan di hospital itu,16 Mac lalu.

Dr Kelvin, 34, memberitahu beliau tidak mempunyai sebarang gejala virus sejak dua minggu lalu bahkan tiada demam.

Terdahulu, beliau pernah berurusan dengan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu pada 2 Mac lalu yang sebelum itu telah positif wabak tersebut.

Tiada ulasan: