"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir sudah mulakan kempen untuk Mukhriz jadi Presiden Parti Bersatu, kedudukan Muhyiddin dalam bahaya?

TEMA KEMPEN MAHATHIR #SelamatkanBERSATU, MUHYIDDIN DALAM BAHAYA?
Shahbudin Husin
Hanya beberapa ketika selepas diisytihatkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamad sudah pun memulakan langkah kempennya.

Melalui media sosial, beliau memperkenalkan tema kempennya ialah #SelamatkanBERSATU.

Sambil memberitahu beliau merupakan pengasas dan mempunyai keahlian No 1 dalam Bersatu, bekas Perdana Menteri itu turut meletakkan gambarnya ketika mengisi borang keahlian parti itu pada tahun 2016 dahulu.

“Saya Dr Mahathir, ahli no.1 BERSATU dan Pengasas parti ini.

“Saya menawarkan diri saya untuk bertanding sebagai Pengerusi untuk #SelamatkanBERSATU yang kini sebahagian pemimpinnya berkerjasama dengan kleptokrat dan UMNO untuk mendiri Kerajaan dari pintu belakang. Sertailah perjuangan kami untuk mengembalikan Parti kita ke jalan yang benar.

#KekalBerprinsip

#SelamatkanBERSATU

“Gambar ini semasa saya mendaftarkan diri sebagai Ahli No 1 BERSATU pada tahun 2016.”

Begitulah apa yang ditulis di laman sosial milik Tun Mahathir sejak petang semalam lagi.

Dengan mempekenalkan tema #SelamatkanBERSATU dalam kempennya, bermakna ia tidak lain ialah untuk Tun Mahathir ingin memastikan kemenangan pasukannya, khusus anaknya Mukhriz yang bertanding merebut jawatan Presiden menentang Muhyiddin Yassin.

Untuk dirinya yang sudah diumumkan menang tanpa bertanding, Tun Mahathir pada hakikatnya tidak perlu lagi berkempen atau memperkenalkan sebarang tema untuk pemilihan ini.

Tetapi, tentulah keutamaan Tun Mahathir kini ialah untuk memastikan Muhyiddin dapat ditewaskan dan anaknya, Mukhriz memperolehi kemenangan.

Meskipun tema #SelamatkanBERSATU yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir masih boleh dipertikaikan sama ada beliau benar-benar ingin menyelamatkan parti atau masa depan anaknya, tetapi di peringkat awal ini Tun Mahathir nampaknya telah berjaya memperolehi kelebihan dari segi sentimen untuk dimainkan dalam gerakan kempennya.

Adalah tidak dinafikan melalui gerakan turun padang dan kempen untuk kononnya menyelamatkan BERSATU itu, Tun Mahathir akan lebih berjaya mempengaruhi ahli dan perwakilan untuk menyokong pasukannya.

Memainkan sentimen dan perasaan orangranai bukan asing dilakukan oleh Tun Mahathir sebelum ini di mana beliau pernah melakulannya ketika mahu menjatuhkan Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak sebelum ini.

Ini sekaligus bermakna, dengan mainan sentiman untuk menyelamatkan parti dan menonjol kedudukannya sebagai pemegang keahlian No 1, kedudukan Muhyiddin adalah dalam bahaya untuk mempertahankan jawatan Presiden BERSATU nanti.

Mahu tidak mahu, Muhyiddin yang kini merupakan Perdana Menteri harus meningkatkan lagi usaha dan memikir sesuatu di luar kotak untuk memastikan beliau tidak tewas di tangan Mukhriz yang diusahakan oleh bapanya, Tun Mahathir.

Jika tewas, ia bukan saja merupakan keadaan yang memalukan bagi Muhyiddin serta mengancam kedudukannya sebagai Perdana Menteri, malah akan memberi ruang kepada Tun Mahathir untuk terus dilihat relevan dalam politik negara ini.

Untuk memastikan beliau lebih selesa daripada ancaman dan gangguan Tun Mahathir, Muhyiddin, tanpa kompromi, mesti memastikan bellau dan pasukannya menang dengan bergaya dalam pemilihan Bersatu kali ini.

Setidak-tidaknya jika hanya Tun Mahathir seorang saja yang ada dalam barisan kepimpinan Bersatu nanti, manaka yang lain-lainnya dikuasai oleh pasukan Muhyiddin, ia dengan sendirinya menjadikan seolah-olah tangan dan kakinya selaku Pengerusi Bersatu seolah-olah terikat untuk melakukan banyak gangguan bagi memenuhi dendamnya. (ShahbudinHusin 17/03/2020)

Tiada ulasan: