"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

WAJIB BACA: Soalan lazim berkait Perintah Kawalan Pergerakan

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Majlis Keselamatan Negara hari ini menjawab beberapa soalan lazim berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan perdana menteri semalam.

1. Nama perintah
Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order).

2. Tempoh masa
Perintah ini berkuat kuasa dari 18 – 31 Mac 2020.

3. Liputan kawasan perintah
Perintah ini terpakai di seluruh Malaysia.

4. Kuat kuasa undang-undang
Perintah ini disandarkan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

5. Arahan-arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan
Terdapat 6 arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini iaitu:

i. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya;

ii. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara;

iii. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

iv. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

v. Penutupan semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

vi. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta, kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

6. Adakah majlis keraian/ perkahwinan/ kenduri atau sebagainya boleh diadakan?
Upacara pernikahan boleh dilaksanakan dengan tidak melibatkan kehadiran ramai. Bagi majlis persandingan dan resepsi serta majlis lain, disarankan untuk ditangguhkan sehingga isu penularan Covid-19 di Malaysia tamat.

7. Adakah Perintah Kawalan Pergerakan mempunyai tempoh waktu tertentu sepanjang 18 – 31/3/2020?
Tidak. Perintah ini berkuat kuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu.

8. Sekiranya barang keperluan habis, adakah boleh keluar membeli dan terus balik?
Ya.

9. Saya merupakan seorang warganegara Malaysia dan suami saya merupakan warganegara UK. Adakah kami dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini?
Boleh dengan syarat pasangan boleh membuktikan kesahan perkahwinan tersebut sama ada didaftarkan dengan kerajaan Malaysia atau kerajaan negara asal. Pasangan perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

10. Anak saya yang merupakan seorang pelajar di institusi luar negara. Adakah beliau dibenarkan pulang ke Malaysia?
Dibenarkan. Mana-mana rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara boleh pulang dalam tempoh sekatan ini. Bagaimanapun, individu tersebut perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

11. Saya merupakan pemegang pas jangka panjang di Malaysia dan telah pulang ke negara asal saya sebelum perintah ini dikeluarkan. Adakah saya dibenarkan kembali ke Malaysia bagi tujuan kerja semasa tempoh sekatan ini?
Hanya migran asing yang bekerja di dalam sektor perkhidmatan penting negara sahaja yang dibenarkan masuk semula ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini. Migran asing tersebut perlu mendapatkan satu surat pengesahan daripada majikan masing-masing dan dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia semasa berada di pintu masuk.

12. Saya bekerja di Singapura. Adakah saya dibenarkan berulang-alik ke pejabat di Singapura?
Tidak. Perintah Kawalan Pergerakan adalah terpakai kepada semua individu yang berada di dalam negara. Dalam hal ini, atas dasar keselamatan komuniti, mana-mana individu yang bekerja di negara jiran, tetapi tinggal di Malaysia tidak dibenarkan keluar masuk secara harian dan dipohon untuk memaklumkan kepada majikan masing-masing berkenaan perkara ini.

13. Saya telah membuat perancangan untuk bercuti di Malaysia dan membuat pembayaran sepatutnya. Adakah saya masih boleh meneruskan percutian saya?
Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai dilarang pergi ke mana-mana tempat, termasuklah pusat peranginan untuk aktiviti sosial dan sekiranya kunjungan tersebut tidak melibatkan perkara berkaitan perkhidmatan penting negara. Anda dinasihatkan tidak meneruskan percutian anda.

14. Bolehkah saya memandu ke lapangan terbang untuk mengambil rakan yang baru pulang dari luar negara atau saudara yang bekerja dalam sektor berkaitan perkhidmatan penting negara?
Pergi ke satu tempat dengan cepat dan ringkas adalah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

15. Adakah sekolah perlu melaksanakan kelas ganti?
Tidak perlu.

16. Adakah kelas pengajian dan semua aktiviti yang melibatkan pelajar IPT awam dan swasta serta institut latihan kemahiran tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan?
Ya.

17. Bagaimana dengan pelajar yang menginap di fasiliti IPT awam dan swasta, khususnya pelajar luar negara?
Semua pelajar IPT awam dan swasta diarahkan kembali ke kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Pelajar luar negara dinasihatkan pulang ke negara asal dalam tempoh ini. Pelajar yang pulang ke negara asal tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa. Pelajar asing yang mengambil keputusan untuk terus berada di negara ini dan menginap di fasiliti IPT awam dan swasta perlu melaporkan kepada pihak pengurusan IPT dan tertakluk kepada perintah yang berkuat kuasa.

18. Adakah kedai makanan seperti makanan segera, restoran atau pusat makanan penjaja boleh dibuka?
Kedai makanan boleh dibuka, tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti GrabFood atau Food Panda.

19. Adakah pengangkutan awam seperti bas, LRT, MRT, KTM boleh beroperasi?
Semua perkhidmatan pengangkutan awam diteruskan dalam tempoh perintah kawalan ini berkuat kuasa.

20. Saya telah membayar penginapan saya di hotel untuk bercuti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan. Adakah saya boleh meminta wang saya dikembalikan?
Orang ramai digalakkan berbincang terus dengan pihak hotel dalam urusan pengembalian wang yang telah dibayar bagi tempahan yang dibuat sebelum perintah ini diumumkan.

21. Sekiranya berlaku kematian di rumah (bukan pesakit Covid-19), adakah solat jenazah dan tahlil dibenarkan?
Boleh diuruskan dengan waris terdekat sahaja bersama kariah masjid/surau sahaja. Solat jenazah sahaja tanpa tahlil.

Tiada ulasan: