"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB jadi pengkhianat akhirnya PH tumbang di Perak

Malaysiakini
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak apabila Perikatan Nasional (PN) kini mempunyai 32 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, berkata PN akan memohon perkenan untuk mengadap Sultan Perak bagi memaklumkan perkara itu.

"Saya dengan ini ingin memaklumkan kepimpinan Bersatu, Umno dan PAS Perak telah mencapai persetujuan untuk bentuk gabungan baru.j

"Gabungan ini melibatkan empat Adun daripada Bersatu iaitu saya sebagai Adun Chenderiang dan Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi serta dua lagi Adun yang telah menyertai Bersatu iaitu Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

"Gabungan ini turut melibatkan kesemua 25 Adun daripada Umno dan tiga Adun daripada PAS. Dengan gabungan ketiga-tiga parti ini, maka PN negeri Perak dapat menubuhkan Kerajaan negeri Perak yang baru, dengan jumlah majoriti 32 Ahli Dewan Negeri," katanya dalam satu sidang media khas, di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

Perak menjadi negeri ketiga jatuh ke tangan PN selepas Johor dan Melaka.

PN terbentuk selepas Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak keluar PH sehingga mengakibatkan kejatuhan kerajaan pusat.

Keputusan Bersatu meninggalkan PH disusuli dengan tindakan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersama 10 anggota Parlimen yang lain turut keluar parti dan menyertai Bersatu.

Situasi itu membawa kepada krisis politik yang menyaksikan Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan selaku perdana menteri ketujuh.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan membentuk PN dengan sokongan Umno, PAS, GPS.

Dalam pada itu, Faizal berkata beliau yakin gabungan ini mampu membentuk kerajaan yang kuat dan stabil untuk berkhidmat kepada rakyat.

Pada sidang media itu, Faizal turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada Adun PH yang sebelum ini memberi kerjasama kepadanya sebagai menteri besar

Ditanya mengenai kedudukannya sebagai menteri besar Perak, Faizal berkata beliau masih lagi memegang jawatan itu sehingga kerajaan baru dibentuk.

"Hari ini saya masih menteri besar Perak, ketiga-tiga parti, ketiga-tiga kepimpinan sepakat untuk sembah senarai nama (calon menteri besar) parti masing-masing kepada Sultan Perak.

"(Jika diperkenan), calon tersebut hendaklah angkat sumpah sebagai menteri besar dan menubuhkan Exco (kerajaan negeri) baru," katanya lagi.

Sementara itu, Saarani berkata ketiga-tiga parti telah bersetuju bahawa hak untuk melantik menteri besar adalah bidang kuasa sultan.

Katanya, mereka berpegang teguh dan menerima keputusan sultan untuk memilih menteri besar berdasarkan kepada senarai yang dipersembahkan.

"Kita berpegang teguh hak melantik menteri besar adalah hak Sultan Perak, kita serah nama pada sultan insya-Allah sultan pilih mengikut kuasa baginda.

"Siapa saja yang dipilih dia bukan menteri besar Umno, menteri besar PAS, menteri besar Bersatu, tapi menteri besar kerajaan Perak," katanya.

Tiada ulasan: