"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar perlu beri laluan kepada pemimpin muda, kata penganalisis

Robin Augustin
PETALING JAYA:
Beberapa penganalisis politik sangsi dengan kemungkinan Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan kembali berkuasa.

Ahmad Fauzi Abd Hamid daripada Universiti Sains Malaysia, Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah serta bekas pensyarah Jeniri Amir percaya Anwar tidak lagi berkarisma seperti dahulu dan beliau perlu memberi laluan kepada pemimpin muda.

Mereka mengulas laporan memetik bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkata, suaminya lebih berkemungkinan mentadbir negara berbanding Dr Mahathir Mohamad, jika PH kembali berkuasa.

Katanya, PH yang baru-baru ini digulingkan akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu.

Dengan menyifatkan Anwar sebagai individu yang menjadi inspirasi kepada ramai pejuang keadilan, Fauzi berkata, penting untuk beliau tahu yang beliau sudah kehilangan sejumlah sokongan dalam beberapa tahun ini.

Beliau mendapati sesetengah penyokong tegar Anwar seperti Mohamed Azmin Ali, Kamaruddin Jaffar dan Mansor Othman, kini berpaling daripadanya.

“Relevannya sebagai simbol ketidakadilan dan penindasan ialah sesuatu yang diabadikan. Tiada orang boleh mengambilnya daripada beliau.

“Masalahnya ialah beliau masih menyimpan cita-cita menjadi perdana menteri. Tetapi disebabkan beliau sudah lama berada dalam politik, beliau mempunyai ramai musuh yang tidak selesa dengannya menjadi perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PH perlu menunjukkan tiada pemimpin yang sangat diperlukan dan “Malaysia Baru” berdasarkan satu wawasan, bukannya cita-cita seorang individu.

“Anwar sudah memberikan sumbangannya, tetapi beliau tidak boleh menjadi tumpuan selamanya. Ia hanya adil untuk memberi ruang kepada pemimpin muda seperti yang dilihat di seluruh dunia.”

Katanya, beliau akan memberi nasihat sama kepada Mahathir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam mana-mana kes, Fauzi berkata, Anwar perlu menjadi pemimpin tidak tercabar PH terlebih dahulu jika beliau mahu menjadi perdana menteri, tetapi ini dilihat tidak mungkin dengan adanya Mahathir.

Lee pula mendapati PH mengubah pendiriannya lebih daripada sekali antara menyokong Anwar dan Mahathir dalam seminggu susulan pembentukan blok oleh PPBM, Umno dan PAS.

Oleh itu katanya, lebih baik jika kenyataan Wan Azizah yang dilaporkan media datang daripada mulut Mahathir.

Beliau berkata, Anwar tidak boleh mendapat sokongan 112 ahli Parlimen – majoriti mudah yang diperlukan – untuk menyokong beliau walaupun sebelum nama Muhyiddin Yassin muncul sebagai calon perdana menteri blok baru itu.

“Adalah baik jika kita boleh melangkaui politik Mahathir dan Anwar.”

Jeniri berkata, PH perlu memilih seorang pemimpin baru untuk mara dan individu itu perlulah diterima serta dihormati rakyat Malaysia.

Katanya, PH dan PKR yang diketuai Anwar perlu melangkauinya kerana beliau tidak mendapat sokongan rakyat secukupnya, walaupun daripada partinya sendiri.

Beliau berkata, krisis politik baru-baru ini semuanya berpunca daripada perselisihan antara Anwar dan Mahathir.

“Mereka tidak boleh bertentang mata dan politik mereka merosakkan parti mereka. Tiba masanya untuk pemimpin baru.”

Tiada ulasan: