"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 maut di Kanada dalam amukan 12 jam

FMT Reporters

Pasukan polis bersedia menahan seorang individu di sebuah stesen minyak di Enfield, Nova Scotia pada 19 April. (Gambar AP)
PORTAPIQUE: Seorang penembak di wilayah Nova Scotia, Kanada membunuh lebih 10 orang, termasuk seorang anggota polis ketika amukan selama 12 jam, kata pihak berkuasa pada Ahad.

Ia adalah kes pembunuhan beramai-ramai terburuk dalam 30 tahun sejarah negara itu.

Menurut polis Kanada, Gabriel Wortman, 51, yang memandu kereta seperti kereta peronda polis, menembak orang ramai di beberapa lokasi di wilayah Atlantic.

Pihak berkuasa berkata, mereka sedang cuba menentukan jumlah kematian dalam amukan itu.

Menurut polis, Wortman sudah mati, tetapi enggan mengesahkan laporan media beliau ditembak mati Polis Diraja Kanada (RCMP).

“Hari ini ialah hari yang menyedihkan bagi Nova Scotia dan ia akan terpahat dalam ingatan untuk tahun-tahun akan datang,” kata Lee Bergerman, pegawai pemerintah RCMP di Nova Scotia.

Kejadian itu terburuk sejak seorang penembak membunuh 15 wanita di Montreal pada Disember 1989.

Seorang lelaki memandu van dan merempuh orang ramai, menyebabkan 10 maut di Toronto pada April 2018.

Tembakan rambang jarang berlaku di Kanada yang mempunyai undang-undang kawalan senjata api lebih ketat daripada Amerika Syarikat.

Polis berkata, mereka menemui beberapa mayat pada lewat malam Sabtu selepas mendapat panggilan mengenai kekacauan di bandar pesisir pantai Portapique di wilayah Atlantic, kira-kira 130km utara ibu wilayah Halifax.

Siasatan awal menunjukkan Wortman turut membunuh individu di beberapa lokasi lain, kata Chris Leather, pegawai operasi jenayah RCMP Nova Scotia.

“Lebih 10 orang terbunuh,” katanya.

Leather berkata, Wortman pernah dilihat berbaju seragam polis, tetapi beliau tidak menjelaskan sama ada suspek menyamar sebagai polis ketika pembunuhan berlaku.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau ketika bercakap kepada wartawan di Ottawa menyifatkan kejadian itu sebagai “keadaan dahsyat”.

Menurut laman web Persatuan Gigi Palsu Nova Scotia dan Biro Perniagaan di wilayah itu, Wortman mengendalikan sebuah klinik gigi palsu di Dartmouth, dekat Halifax.

Penduduk Portapique berkata, petanda pertama kejadian itu muncul pada Sabtu malam apabila polis meminta semua penduduk tidak keluar rumah.

Seorang lelaki berkata, beliau menyaksikan sekurang-kurangnya 3 tembakan berasingan berlaku.

Seorang penduduk tempatan berkata, beliau ternampak 2 kenderaan polis dibakar ketika memandu pada Ahad.

“Ada seorang pegawai di tempat kejadian dan tiba-tiba beliau berlari ke arah kenderaan terbakar itu,” kata Darcy Sack kepada Canadian Broadcasting Corp.

“Kami terdengar bunyi tembakan.”

Tiada ulasan: