"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DAPAT RAMAI MENTERI ‘SAKIT’, SAKIT MUHYIDDIN PUN BERTAMBAH SAKIT

Shahbudin Husin

Semua orang tahu Muhyiddin Yassin adalah seorang yang tidak berapa sihat berikutan pernah menjalani pembedahan kanser di bahagian pankreasnya pada Julai 2018 lalu.

Susulan itu, beliau seterusnya menjalani pula rawatan kimoterapi sebanyak lapan kali bagi mengembalikan kesihatannya.

Sejak itu, Muhyiddin kelihatan menyusut berat badannya, malah kelihatan cengkung berbanding sebelumnya.

Banyak mesyuarat kabinet turut tidak dapat dihadirinya, selain ada juga mesyuarat peringkat kementerian terpaksa diadakan di rumahnya.

Bagi yang lama mengenali beliau, terutama dengan fesyen baju labuh dan seluar longgarnya, pasti dapat melihat perbezaannya antara sebelum dengan selepas menjalani pembedahan.

Yang nyata, melihat pula gayanya berjalan dan caranya bercakap sekarang, harus diakui Muhyiddin dulu dan sekarang agak jauh berbeza.

Tambahan pula, difahamkan beliau masih perlu mengambil ubat secara berjadual setiap hari.

Dengan kesihatannya yang sebegitu, ditambah bebas tugas sebagai Perdana Menteri, kehidupan seharian yang dilaluinya bukanlah mudah.

Dikategorikan masih dalam keadaan sakit dan tidak berapa sihat, penanggungan Muhyiddin sebenarnya lebih bertambah berat kerana dikelilingi oleh ramai menteri-menteri yang “sakit”.

Tidak sampai dua bulan Muhyiddin menerajui kerajaan tebuk atap bersama kelompok yang kalah dan ditolak dalam PRU14 lalu, menteri-menteri yang “sakit” bagai berebut-rebut menonjolkan diri masing-masing.

Antara menteri “sakit” yang menjadi bualan ramai ialah menteri air suam, menteri mewa, menteri mencari virus Covid-19 dalam sistem pembentungan, menteri doraemon, menteri letak nama menteri di dahi, menteri buluh, menteri sembur jalan dan bangunan tinggi untuk bunuh virus Covid-19, menteri tik-tok dan menteri gunting rambut.

Menteri Kesihatan yang sebelum ini terkenal dengan jolokan menteri air suam, tampil sekali lagi menunjukkan

“kesakitannya” dengan mendakwa ada 500 negara di dunia ini.

Sebelum itu, beliau pernah mengatakan Malaysia ini ada 15 negeri di dalamnya.

Dalam era BN sebelum ini, ada juga menteri “sakit” yang menjadi bahan ketawa ramai seperti Hassan Malek dan Ahmad Maslan atau di era PH macam menteri kasut hitam dan menteri kereta terbang, tetapi jumlahnya boleh dikata agak terhad.

Sebaliknya, di bawah Muhyiddin ini, jumlahnya bukan saja berganda-ganda, malah mereka seperti bangga dapat menonjolkan diri yang “sakit” itu.

Itu baru dua bulan, malah ramai yang percaya dengan peredaran masa, lebih ramai menteri-menteri yang “sakit” akan termuncul dengan sendirinya.

Mungkinkah munculnya menteri-menteri “sakit” yang bertali arus ini kerana tulah berikutan khianat terhadap mandat rakyat dan menubuhkan kerajaan dengan cara menebuk atap?

Yang pasti, kehadiran ramai menteri-menteri “sakit” dalam kerajaan sekarang dengan sendirinya menyebabkan keyakinan ramai makin merosot terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Ia diburukkan lagi dengan keputusan beliau mengadakan sidang Parlimen hanya sehari pada 18 Mei depan yang dikaitkan dengan ketakutannya berdepan realiti untuk mengesahkan sokongan majoriti yang benar-benar dimilikinya.

Meskipun demikian, di samping sakit yang dideritainya akibat kanser serta tidak boleh menerima tekanan berlebihan dalam kehidupan seharian, ramai yang menjangkakan kerajaan ini tidak mungkin mampu bertahan lama.

Khususnya kerana terseksa jiwa disebabkan menteri-menterinya ramai yang “sakit” itu, sakit yang ditanggung oleh Muhyiddin dengan sendirinya akan bertambah-tambah sakit lagi jadinya. (ShahbudinHusin 20/04/2020)

Tiada ulasan: