"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Double standard’ tahanan PKP undang kecaman

AMNI JAGAT
Tindakan untuk memilih bulu atau ‘double standard’ dalam operasi penahanan pesalah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung mendapat kecaman hebat dari pelbagai pihak.

Antara yang memberi kecaman adalah Exco Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Johor, Mohd Azam Mektar yang berkata, perkara itu seperti mewujudkan jurang dalam perlaksanaan undang-undang di negara ini.

“Semalam tersebar pula teks tulisan Nurul Hidayah anak Presiden Umno dalam media sosial yang mencabar pihak yang mengkritiknya atas dakwaan beliau dan suaminya melanggar PKP.

“Sebelum ini terdapat gambar yang membabitkan Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Pendidikan negeri Perak yang makan bersama membelakangkan PKP tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Namun pengkritik (Azlan Ishak) dari Iskandar Puteri, Johor pula yang dijemput oleh pihak polis di rumahnya serta diambil kenyataan kerana tindakan beliau mengkritik Timbalan Menteri dan Exco tersebut.

“Perkara ini bercanggah sedangkan dalam ucapan Menteri Pertahanan menyatakan bahawa tidak ada sesiapa yang terlepas dari dikenakan tindakan sewaktu PKP ini berlangsung tidak wujud sama sekali kerana berlakunya keadaan pilih bulu seperti ini,” katanya di media sosial miliknya.

Beliau yang juga merupakan Exco Pemuda AMANAH Nasional berkata, perkara itu membuatkan rakyat hidup dalam kekeliruan apabila berlakunya keadaan tersebut.

Katanya lagi, rakyat sedang memerhati tindakan yang dilakukan oleh pemimpin di negara ini sebagai ikutan mereka.

“Rakyat masih ternanti-nanti mahu melihat perkembangan pihak polis dalam menjalankan tugas mereka mendakwa sesiapa saja yang terbabit dalam melanggar undang-undang PKP ini.

“Semua senario ini diikuti secara rapat oleh rakyat dan mereka membuat perbandingan atas perlaksanaan undang-undang ini untuk mereka pertimbangkan.

“Sekarang kerajaan dilihat gagal menguatkuasakan undang-undang secara adil dan saksama kepada seluruh rakyat sehingga ada yang bercakap soal yang pemimpin terus menjadi penguasa kebal serta rakyat menjadi mangsa tertindas,” katanya lagi.

Tambahnya, sebagai sebuah kerajaan yang dikenali sebagai kerajaan Melayu Islam seharusnya ia memperlihatkan keadilan untuk semua bukan bersikap pilih bulu.

Tiada ulasan: