"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mukhriz: Daripada hidup biar mati berdiri

Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar berkuat kuasa serta-merta selepas tidak lagi memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata beliau sudah mengemukakan perkara itu kepada Sultan Kedah.

"Saya sudah sembah maklum kepada sultan atas sebab saya hilang majoriti, saya dengan ini meletak jawatan menteri besar berkuat kuasa serta merta," katanya dalam sidang media di Wisam Darul Aman hari ini.

Ini kali kedua Mukhriz terpaksa melepaskan jawatan sebagai menteri besar selepas mengalaminya pada 2016 di bawah pentadbiran BN.

Mukhriz melepaskan jawatan itu selepas Perikatan Nasional (PN) memiliki 23 daripada 36 kerusi Adun bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Ia setelah dua adun PKR, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin, keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada PN pada 12 Mei lalu. Langkah itu disusuli dengan empat Adun Bersatu.

Sebanyak 23 akuan bersumpah (SD) daripada Adun Kedah juga dipersembah kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan mencadangkan calon baru menteri besar.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Adun Jerlun berkata beliau digulingkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri.

Beliau berkata, dua sebab yang mungkin menjadi alasan kepada Muhyiddin untuk menggulingkannya dan kerajaan PH Kedah ialah usul undi tidak percaya yang dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad, serta keputusannya untuk bertanding bagi jawatan presiden dalam pemilihan Bersatu akan datang.

"Umum juga mengetahui saya mencabar jawatan presiden bagi merebut presiden Bersatu dan ayahanda Dr Mahathir cabar dengan undi tidak percaya di Parlimen.

"(Ini) Dua penyebab kenapa saya nak dijatuhkan sebagai menteri besar, jelas Muhyiddin di belakang," katanya lagi.

Katanya lagi, keputusan itu menyaksikan Bersatu hilang sebuah lagi negeri yang ditadbirnya selepas Johor, yang kembali diketuai BN.

"Saya langgar dia (Muhyiddin), dia tak berapa yakin maka ambil tindakan drastik cari cara nak gulingkan saya sebagai menteri besar...Saya mampu jatuhkan dia sebagai presiden parti," katanya lagi.

Mukhriz berkata beliau mempertahankan kerajaan PH di Kedah selari dengan prinsip Mahathir, selaku pengerusi Bersatu, yang enggan bersekongkol dengan Umno.

"Oleh kerana PAS bekerjasama Umno dalam Muafakat Nasional maka saya putuskan tidak menerima pelawaan untuk bersama PN Kedah.

"Lebih baik saya jadi pembangkang daripada gagasan politik yang dipenuhi skandal antarabangsa, daripada hidup biar mati berdiri," katanya lagi.

Tiada ulasan: