"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Air Kelate: Mung lah yang terjun, kata ibu muda kepada Nik Amar

MALAYSIA DATELINE
Video seorang ibu muda yang bangkit menentang kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengenai air di Kelantan kini tular selepas selama ini hanya orang-orang politik sahaja yang dilihat bersuara.

Tanpa diketahui siapa nama dan siapakah ibu muda ini, ia menjadi video tontotan pelbagai pihak terutama ketika umat Islam membuat persiapan untuk menghadapi Hari Raya Aidil Fitri.

“Takdo lagi orang mati kerana air Kelate. Ambo (saya) besar dengan air telaga, air cemar tu hingga boleh jadi exco molek-molek ada,” kata Nik Amar yang kini disebarkan dan diulas oleh orang ramai termasuk ibu muda ini.

“Apa yang dia kata ni tidak menunjukkan sedikit prihatin kepada rakyat. Kita jadi menteri ke, exco ke, YB ke, pertama sekali kita kena ada sifat prihatin kepada rakyat.

“Bila rakyat bersuara dan sedikit mogok, mogok ni pula isu yang penting iaitu air. Bila isu penting macam air ni sepatutnya tak dibuat main dan dikaitkan dengan politik.

“Sepatut kita bila exco ni bercakap dengan lebih berakal, orang Kelantan kato lebih cerdik. Bila kita exco cakap seolah-olah nganjing, mempersendakan rakyat, nak gi belarok ke Tesco dan sebagainya,” kata ibu muda ini.

Bagi beliau, apabila Nik Amar menjadi pemimpin dari parti Islam Pas, beliau sepatutnya bercakap berdasarkan iman.

“Kita tidak boleh berkecek (bercakap) mangok (sombong) lagu tu. Kita tak boleh berkecek agah (samseng) lagu tu.

“Maaflah saya bercakap agak lantang. Di bulan-bulan Ramadhan ini saya merasa sendiri betapa payahnya bila tidak ada air di rumah saya di Pasir Pekan terutamanya,” kata ibu muda ini.

Pasir Pekan adalah kawasan pilihan raya yang diwakili oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub.

Bagi beliau perkara seperti ini tidak boleh dibuat main.

“Orang Kelantan kata, tak ada bajet, dah ada doh. So di mana tempat rakyat nak bersuara kalau bukan kepada YB-YB, orang-orang besar ini. Sepatutnya orang-orang besar inilah yang memainkan peranan membantu rakyat.

“Kalau nak cerita hal air Sungai Kelantan yang berkelodak dan kuning ni, orang tak berkecek lagu tu. Sebab takkan nak mandi nak terjun lagu tu. Mung (awak) lah terjun, bukan suruh rakyat terjun. Tak payahlah suruh lagu tu,” kata ibu muda itu.

Ini ekoran kenyataan Nik Amar yang berkata, di sebelah Tesco tempat rakyat Kelantan berhimpun membantah masalah air di Kelantan itu ada Sungai Kelantan.

“Berlambak air di situ, terjunlah kalau nak minum gak,” kata Nik Amar yang menyebabkan ramai yang marah termasuk ibu muda ini.

Bagi beliau, Nik Amar sepatutnya tidak bersikap seumpama itu.

“Sepatutnya kita sebagai pemimpin ini, semakin tinggi kedudukan kita, semakin sopan sebagaimana rasmi padi, semakin berisi semakin menunduk.

“Bila kita beriman ni, kita semakin low profile (merendah diri). Kita bukan nak bercakap soal politik di sini tetapi nak bercakap soal keperihatinan seorang exco dan YB,” kata beliau menempelak kenyataan Nik Amar sambil menenangkan anak beliau yang merengek di sebelahnya ketika merakamkan video itu.

Tiada ulasan: