"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umat Islam bersolat di gereja Berlin akibat penjarakan sosial

Reuters

Jemaah menunaikan solat Jumaat di Gereja Martha Lutheran di Berlin semalam. (Gambar Reuters)
BERLIN: Sebuah gereja di Berlin membenarkan umat Islam yang tidak dapat dimuatkan dalam masjid kerana peraturan penjarakan sosial, untuk menunaikan solat Jumaat.

Masjid Dar Assalam di daerah Neukölln biasanya dapat memuatkan ratusan jemaah untuk solat Jumaat, tetapi kini ia hanya dapat menerima 50 jemaah disebabkan sekatan dilaksanakan Jerman akibat penularan Covid-19.

Sepanjang bulan Ramadan, Gereja Martha Lutheran yang terletak berdekatan tampil membantu dengan mengadakan solat dalam bahasa Arab dan Jerman.

“Ia adalah petanda baik dan membawa kegembiraan ketika Ramadan dan krisis ini,” kata Mohamed Taha Sabry, imam masjid itu yang mengetuai solat berjemaah.

“Pandemik ini menjadikan kita sebuah komuniti. Krisis menyatukan rakyat.”

Rumah ibadat di Jerman dibuka semula 4 Mei lalu selepas ditutup selama berminggu di bawah sekatan pergerakan Covid-19, tetapi penganut atau jemaah perlu mengekalkan jarak 1.5m antara satu sama lain.

Seorang jemaah bernama Samer Hamdoun berkata: “Ia adalah perasaan pelik disebabkan gambar dan peralatan muzik. Tetapi, apabila anda lihat, apabila anda lupa butiran kecil, ini ialah rumah Tuhan juga.”

April lalu, Majlis Islam yang menaungi 400 masjid berkata, ia mungkin muflis disebabkan penutupan masjid sehingga bulan Ramadan yang biasanya ialah tempoh penting untuk menerima sumbangan.

Pastor gereja itu, Monika Matthias berkata beliau terpanggil dengan seruan umat Islam menunaikan solat.

“Saya mengambil bahagian dalam solat itu. Saya memberikan ucapan dalam bahasa Jerman. Ketika solat, saya hanya boleh kata ya, ya, ya kerana kita mempunyai kebimbangan sama dan kita mahu belajar daripada anda.”

Tiada ulasan: