"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH, DAP hormati keputusan PKR tetapi fakta sebenar tidak perlu disembunyi

MALAYSIA DATELINE
Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP menyarankan Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung supaya merujuk kepada Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifudin Nasution sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung opsyen Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan bersama, AMANAH dan DAP berkata, pihaknya merujuk kepada kenyataan Lee Chean Chung yang mempertikaikan kenyataan AMANAH dan DAP semalam berhubung dua (2) opsyen calon Perdana Menteri yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 30 Mei 2020.

“Sdr Lee Chean Chung bukan anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan dan beliau tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat Majlis Presiden.

“Justeru itu, beliau tidak tahu isi kandungan perbincangan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat 30 Mei tersebut.

“Kami mengeluarkan kenyataan semalam kerana itulah yang telah diputuskan dan ianya telahpun diminitkan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu oleh Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook.

AMANAH dan DAP mencadangkan supaya Lee merujuk kepada Ketua Setiausaha PH Datuk Saifudin Nasution untuk mendapatkan cabutan minit mesyuarat tersebut sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya.

“Seperti yang dikatakan semalam, kami menghormati keputusan dan pendirian PKR dan menerimanya dengan hati terbuka namun fakta sebenar tidak perlu disembunyikan,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, dalam satu kenyataan, AMANAH dan DAP mengesa PKR kembali kepada keputusan Mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei 2020 yang telah dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri iaitu menerima opsyen kedua iaitu menamakan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tiada ulasan: