"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya dan Subky Latif

ZULKIFLI SULONG
“Saya tidak berjaya membawa Harakah sebagaimana yang saya mahu, tetapi murid saya berjaya membawa Harakah ke tahap yang ada sekarang.”

Demikian kata Haji Subky Latif, kepada rakan wartawannya dari Turki yang melawat kami di Harakah pada awal tahun 2001.

Ia adalah momen yang berharga bagi saya selaku Ketua Pengarang Harakah ketika itu apabila diiktiraf oleh guru sendiri.

GAMBAR TERAKHIR DENGAN SUBKY… Saya berhubung dengan Subky melalui panggilan video. Saya ke Hospital UIA Kuantan untuk bertemu beliau yang dirawat di sana tetapi tidak boleh bertemu kerana PKP .

Ketika itu Harakah berada di kemuncak pencapaiannya. Menjelang pilihan raya umum 1999 hingga awal 2000, Harakah dicetak 380,000 setiap keluarannya.

Apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran negara, antara langkah awal beliau adalah menyekat Harakah. Dari dua kali seminggu Harakah dibenarkan terbit hanya dua kali sebulan sahaja.

Ia menyebabkan Harakah hilang momentumnya dan mula jatuh di pasaran. Cabaran dari internet mengurangkan lagi pengaruh Harakah.

Tokoh yang sentiasa ada di belakang Harakah adalah Haji Subky Latif yang meninggalkan kita buat selama-lamanya jam 11.05 pagi 22 Jun 2020.

Harakah mula di asaskan pada awal tahun 1987 oleh Subky Latif dan Nakhaie Ahmad. Ia menjadi pencatat sejarah penting negara. Kemenangan Pas di Kelantan dalam pilihan raya umum 1990 sebahagiannya adalah kerana Harakah.

Pemergian Haji Subky adalah kehilangan besar untuk Pas. Ketika rakan-rakannya di Lembah Klang lari meninggalkan Pas apabila parti itu berpecah dan menghasilkan AMANAH pada tahun 2015, Haji Subky kekal setia dengan Pas.

“Di Taman Melewar ini tinggal saya sekeluarga dan Ustazah Nuridah Salleh sekeluarga sahaja yang masih Pas,” kata Subky kepada saya ketika mengunjungi beliau di awal perpecahan pada 2015 lalu.

Padahal Taman Melewar adalah kubu Pas. Di situlah terletaknya Markas Tarbiyah Pas Pusat dan di situlah juga terletaknya rumah Subky Latif dan rakan-rakan rapat beliau termasuk Allahyarham Ustaz Hassan Shukri, bekas Timbalan Presiden Pas.

Subky antara yang tidak senang dengan golongan ulama muda dalam Pas yang menguasai Pas sekarang berbanding dengan kumpulan profesional yang dipimpin Mohamad Sabu dan Salahudin Ayub.

Namun kerana keyakinan yang tidak berbelah bahagi beliau kepada institusi ulama dan jamaah, Subky kekal bersama Pas sehingga akhir hayatnya.

Bahkan beliau adalah antara benteng utama yang mempertahankan Pas dari roboh selepas berpecah pada 2015.

Apabila golongan veteran Pas mula disisihkan oleh ulama muda yang menguasai Pas, Subky antara golongan awal yang menyedari hal ini.

Beliau menubuhkan As Sabiqun, sebuah NGO Pas yang bertujuan mengumpulkan golongan veteran yang mula terpinggir dari arus perdana parti itu dan mendekatkannya dengan pucuk pimpinan utama Pas.

Subky boleh dikatakan golongan yang setia kepada Pas.

Ketika Datuk Nakhaie Ahmad, bertembung dengan pucuk pimpinan utama Pas, beliau memihak kepada Pas dibawah pimpinan Yusof Rawa ketika itu.

Padahal ketika itu Nakhaie adalah ketua beliau di Harakah.

Begitu juga ketika rakan-rakannya golongan profesional bertembung sehingga berpecahnya Pas pada 2015, beliau kekal bersama Pas.

Subky adalah tokoh Pas yang tidak pernah berputus asa dengan golongan bukan Islam di negara ini.

Sejak awal menyertai Pas, beliau sentiasa berusaha mendekatkan Pas dengan orang bukan Islam khususnya masyarakat Cina di negara.

Beliau antara tokoh terlibat dalam pembentukan CCC atau Chinese Consultative Counsil. Usaha ini dilakukan beliau dengan Ustaz Nakhaie Ahmad.

Pemergian beliau bakal memberikan impak besar kepada Pas terutama sokongan pengundi bukan Melayu.

Ketika Pas dan Umno bekerjasama sehingga menjauhkan mereka dari sokongan bukan Melayu, Pas kehilangan pula Subky Latif.

Semoga roh Haji Subky diterima Allah dan segala amal baiknya menjadi bekalan untuk beliau di akhirat nanti.

Alfatihah.

Tiada ulasan: