"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usul percaya PAS: Rahmat atau bala buat Muhyiddin?

Malaysiakini

Keputusan PAS untuk mengemukakan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menimbulkan spekulasi dalam dunia politik tanah air.

Pemimpin PAS memberikan jawapan berlapik apabila ditanyakan tentang usul itu, dan hanya menyatakan mereka yakin sokongan parlimen akan berpihak kepada Muhyiddin.

Usul undi percaya mahupun usul undi tidak percaya, kedua-duanya hanya berbeza pada nama, sedangkan tujuannya sama, iaitu untuk menentukan nasib seorang perdana menteri.

Beberapa pemimpin pertengahan Bersatu yang dihubungi Malaysiakini, nampaknya tidak tahu mengenai usul tersebut, manakala pemimpin tertinggi parti itu masih belum membuat sebarang kenyataan.

“Kita tak tahu. [...] Macam ni, saya tak dapat maklumat jelas tentang ini. Saya ingat saya pun tak boleh komen,” kata Ahli Parlimen Sungai Besar dari Bersatu, Muslimin Yahya.

“Saya belum dapat info mengenai itu dari kepimpinan Bersatu,” kata ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman.

Bagaimanapun, Muhammad Faiz percaya PAS “berniat baik" terhadap Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu.

“Kami percaya ketelusan PAS,” jelasnya.

'Muslihat PRU mengejut'

Di pihak pembangkang, desas-desus rancak menyatakan terdapat konspirasi sedang dalam percaturan.

“Saya rasa ini muslihat Muafakat Nasional untuk paksa buat pilihan raya mengejut.

“Kalau mereka jujur sokong Muhyiddin, mereka sepatutnya benarkan usul tak percaya oleh Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir (Mohamad) diteruskan, dan (pastikan usul itu) ditewaskan,” kata Ahli Parlimen Tanjung Malim dari PKR, Chang Lih Kang.

Muafakat Nasional ialah gagasan kerjasama antara Umno dan PAS. Sesetengah pemimpin dalam kedua-dua parti itu yakin bahawa BN dan PAS dapat mengecap kejayaan sekiranya PRU disegerakan, tanpa Bersatu.

Mahathir telah mengemukakan usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin pada Mei.

Sebahagian pemimpin PAS yang dihubungi Malaysiakini berkata, PAS hanya mahu membuktikan bahawa Muhyiddin sebagai perdana menteri mempunyai sokongan majoriti.

'Usul makan tuan?'

“Kita kemukakan usul ini kerana kita yakin perdana menteri mempunyai sokongan yang mencukupi.

“Usul ini untuk membuktikan kepada mereka yang masih pertikai kedudukan perdana menteri walaupun sudah ditegur oleh Yang di-Pertuan Agong,” kata timbalan menteri besar Kelantan, yang juga Naib Presiden PAS, Nik Mohd Amar Abdullah.

Ditanya apakah usul itu ada dibincangkan dahulu bersama Umno sebelum dikemukakan, dia menjawab: “Ini usul PAS”.

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad pula berkata usul itu sama sahaja seperti usul percaya yang dikemukakan parti itu ketika Mahathir masih perdana menteri.

“Konsepnya sama. Untuk kita menunjukkan kepada parlimen dan awam bahawa dalam keadaaan sekarang, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin memiliki majoriti sokongan di parlimen untuk mentadbir negara,” katanya.

Disoal apakah PAS merasakan usul itu akan ‘makan tuan’ sekiranya Muhyiddin gagal mendapatkan sokongan majoriti, Kamaruzaman menepis kebarangkalian itu.

“Apabila kita mengusulkan itu, maknanya kita yakin insya-Allah perdana menteri memiliki majoriti yang cukup utk mentadbir negara. Insya-Allah,” katanya.

Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad turut menyuarakan keyakinan Muhyiddin akan mendapat sokongan dalam undi percaya itu nanti.

“Keputusan sebesar ini tidak akan dilakukan oleh PAS bersendirian. PAS dan Umno sentiasa bertemu melalui Sekretariat Muafakat Nasional,” tambahnya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang juga menteri undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan PAS mengemukakan usul undi percaya kepada Muhyiddin.

Di pihak pembangkang, langkah itu dilihat mengejutkan memandangkan mereka sudah berbulan-bulan cuba untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Kedua-dua usul percaya dan usul tidak percaya memerlukan undi menyokong atau tidak menyokong ke atas Muhyiddin bagi mengukur sama ada beliau mempunyai majoriti atau tidak di Dewan Rakyat.

Berdasarkan susunan kerusi dalam sidang parlimen pada Mei, Muhyiddin dipercayai hanya mempunyai majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat.

Ini kemudiannya meningkat menjadi tiga apabila Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang keluar PKR.

Bagaimanapun, rundingan masih diteruskan di kedua-dua belah pihak bagi mengukuhkan bilangan sokongan masing-masing di Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: