"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dalil Hasni MB Johor tersingkat dalam sejarah

AMNI JAGAT
Seakan tidak pernah reda ragam politik di Johor sejak Februari lalu. Kesannya masih berbahang dengan tuntutan pelbagai pihak berkenaan pentadbiran di negeri itu sehingga apa yang dapat dipastikan ketidakselesaan pemerintahan di Johor nyata wujud.

Sekurang-kurangnya Johor telah menyaksikan beberapa sejarah besar yang berlaku bermula dengan PRU14, isu Sungai Kim Kim, pertukaran Menteri Besar (MB) yang sebanyak tiga kali (setakat hari ini), perubahan kerajaan antara Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) dan yang terbaru sekali lagi ura-ura kerajaan akan berubah semula.

Bumi terselatan Semenanjung ini telah banyak merakam sejarah yang sebenarnya mematangkan semua pemerhati politik.

Apatah lagi Johor terkenal dengan sistem kesultanan yang disegani pelbagai pihak sehingga terkadang banyak mata tertumpu kepada baginda berkenaan sesuatu isu.

‘Tiang seri Umno’ itu telah menjadi mitos apabila pada PRU14 lalu, Johor bukan lagi kubu kuat Umno. Dua minggu lalu, pentadbiran Johor dilanda badai.

Gegaran di Kota Iskandar dapat dirasakan apabila PH Johor melalui pemikir AMANAH Johor telah mengumumkan jumlah kerusi yang cukup untuk mengambil alih semula tampuk pemerintahan di Nusajaya.

Hal itu berlaku apabila ada beberapa ADUN kerajaan di Johor mulai mesra PH serta dikhabarkan bersedia untuk merubah haluan ke arah sokongan terhadap PH kembali.

Ia memeranjatkan kerana sebelum pemikir tersebut menyatakan perkara itu, sehari sebelumnya Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengeluarkan kenyataan yang bermaksud sama.

Memang perkara tersebut menggegarkan pentadbiran negeri sehingga pada 3 Jun lalu, Tuanku Sultan Johor mengeluarkan titah untuk membubarkan DUN sekiranya perebutan kuasa di negeri itu terus berlaku.

Kesannya bukan sahaja berhenti di situ, namun apa yang lahir adalah ura-ura politik yang akhirnya membawa ketidakstabilan berlaku di bawah pemerintahan PN di Johor.

Menteri Besar (MB) Johor, Dato Ir Hasni Mohamed dalam satu kenyataan menyatakan beliau kemungkinan menjadi MB paling singkat.

Perkhabaran itu membawa pelbagai maksud yang tersirat. Adakah kenyataan itu sebenarnya diisyaratkan kepada ADUN kerajaan yang lain? Hakikatnya, pasti. Hasni hari ini mengemudi PN di Johor dalam keadaan yang terlalu tidak stabil.

Ia boleh digambarkan dengan perbezaan dua kerusi (29 PN – 27 PH) di Johor. Sekiranya ada seorang ADUN dari PN yang lompat menyokong PH, kedudukannya pasti akan menjadi rumit dengan kerusi yang diperolehi akan menjadi sama.

Ada beberapa dalil yang boleh dibahaskan mengenai kenyataan Hasni berkenaan dengan MB Johor paling singkat. Pertama, wujud kelompok di kalangan ADUN dalam komponen PN Johor yang mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi MB.

Turut diingatkan, dalam komponen PN hari ini mereka mempunyai dua orang mantan MB Johor iaitu Datuk Osman Sapian yan merupakan bekas MB Johor ke-16 dan Datuk Sahruddin Jamal MB Johor ke-17. Pastinya yang menjadi cabaran kepada Hasni kini adalah mengendalikan mereka yang sudah berpengalaman dalam mengurus tadbir negeri itu.

Turut diberikan perhatian, kelompok yang ingin menjadi MB Johor ini turut mempunyai pengaruh dan mereka akan mencari peluang pada bila-bila masa untuk menjatuhkan Hasni jika beliau tidak dapat memenuhi kehendak mereka.

Inilah ancaman serta sabotaj yang berkemungkinan tinggi berlaku dalam pentadbiran di Johor. Antara lain, kini MB Johor yang mengambil alih pentadbiran pada 28 Februari lalu, kini terpaksa berhadapan laluan yang sukar iaitu pemulihan ekonomi negeri.

Pastinya kerja tersebut sangat sukar apatah lagi pengalaman yang ditagih dalam menguruskan kemelesetan ekonomi era wabak Covid-19.

Syak wasangka

Menjadi permasalahan Hasni adalah untuk menutup pelbagai ruang kelemahan yang ada dari sisi sabotaj, ketidakstabilan politik dan ekonomi ini adalah suatu tugas yang terlalu berat.

Jadi, boleh digambarkan bayangan beliau untuk menjadi MB Johor paling singkat itu disuarakan bagi menyatakan bahawa beliau seperti tidak mampu untuk memimpin Johor jika apa yang dikatakan itu benar-benar wujud.

Sebelum ini, sewaktu menjadi Ketua Pembangkang di DUN Johor, boleh dikatakan idea beliau banyak menumpukan kepada reaksi yang progresif.

Namun, selepas menjadi MB, boleh dilihat idea serta tindak tanduk beliau sewaktu Ketua Pembangkang itu tidak dilaksanakan secara jernih.

Inilah kebarangkalian yang dinyatakan tadi sebagai sabotaj dalaman terhadap pentadbirannya. Dari sisi partinya pula, boleh dikatakan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamad kerap kali mengeluarkan kenyataan yang tidak mengiktiraf rakan PN mereka dari Bersatu dan beliau kerap kali mengkritik parti bunga raya itu.

Ia seperti tidak selari dengan harapan kestabilan politik untuk PN apabila Nur Jazlan seperti sengaja mencari salah untuk memperkecilkan rakan mereka tanpa beliau sedar atau tidak, hal itu akan menimbulkan syak wasangka terhadap pemimpin parti Bersatu.

Ia juga membuka ruang ‘perang’ di antara Umno dan Bersatu jika tindakan Timbalan Pengerusi Umno Johor itu tidak dihalang.

Samalah kalau dilihat dalam sebuah laman Facebook yang pro kepada Umno di Johor, boleh dikatakan setiap lontaran statusnya hanya mengutuk ADUN, pemimpin dan kelemahan parti Bersatu. Apakah mungkin hubungan komponen PN akan akrab dengan tindakan demikian?

Mungkin Umno mudah lupa, apabila hari ini mereka berkuasa semula di Johor adalah atas dasar ihsan dari ADUN dan pemimpin Bersatu semata-mata.

Tanpa 11 ADUN Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap mereka, pastinya kerajaan PN di Johor tidak akan terbentuk seperti mana hari ini.

Apa yang pasti sebelum ini rekod MB Johor tersingkat masih dipegang oleh MB Johor 17 iaitu Sahruddin Jamal yang memegang jawatan itu hanya dalam tempoh 10 bulan.

Sekiranya badai politik terus melanda Johor dengan menukar semula kerajaan, akan tertaballah juara baharu yang tercatat dalam rekod MB Johor tersingkat dalam sejarah negeri itu nanti.

Tiada ulasan: